Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perintah berkurung di Shanghai tidak jejas teruk bekalan makanan & perubatan S'pura: MTI

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perintah berkurung COVID-19 di Shanghai tidak dijangka akan menjejas teruk bekalan makanan dan produk jagaan kesihatan Singapura, kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling pada Isnin (9 Mei).

"Kebergantungan kami kepada China agak rendah dan bandar-bandar di mana kami mengimport sebahagian besar bekalan makanan kami tidak disenaraikan sebagai berisiko tinggi buat masa ini," kata beliau di Parlimen, sambil menambah bahawa Pemerintah akan terus mengamalkan "pendekatan mempelbagaikan sumber import, meningkatkan pengeluaran tempatan dan simpanan stok" untuk mengurangkan gangguan bekalan.

Cik Low berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) He Ting Ru (WP-Sengkang) tentang kesan perintah berkurung COVID-19 di China ke atas rantaian bekalan dan harga meningkat di Singapura.

Cik He juga ingin tahu perusahaan atau barangan dan perkhidmatan yang terjejas atau dijangka paling teruk terjejas serta sama ada langkah-langkah lanjut akan dilaksanakan to mengurangkan kesan tersebut.

China sedang bergelut dengan penularan COVID-19 paling teruk dalam dua tahun dan bertindak dengan menguatkuasakan perintah berkurung sepenuhnya atau separa di pelbagai bandar sebagai sebahagian daripada pendekatan "sifar COVID" negara itu.

Cik Low berkata memandangkan China adalah pembekal utama kepada seluruh dunia, aktiviti ekonomi yang lembab pastinya akan menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan, terutamanya dalam memenuhi tempahan dan penghantaran.

"Bagaimanapun, kargo masih dapat keluar dari pelabuhan Shanghai dan jika perlu, ditukar ke pelabuhan lain di China atau jenis pengangkutan lain seperti pesawat," tambahnya.

Import utama Singapura dari China termasuk barangan elektronik, mesin dan besi, yang merupakan barangan keperluan asas firma dalam sektor pengilangan dan binaan, kata Cik Low.

"Berdasarkan maklum balas daripada syarikat-syarikat dalam sektor ini, kami maklum bahawa kebanyakannya dapat bertahan dengan kiriman yang tertangguh dari China," katanya di Parlimen.

Menjawab soalan berasingan mengenai kesan dasar kewangan yang lebih ketat, Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan berkata dolar Sing yang lebih kukuh "tidak dijangka memberi kesan negatif yang ketara" ke atas eksport negara.

Sebagai contoh, pertumbuhan dalam eksport domestik bukan minyak Singapura kekal kukuh pada suku pertama, katanya.

Encik Tan, yang juga anggota lembaga MAS, menambah bahawa eksport Singapura secara asasnya bergantung kepada permintaan, dan bukannya kadar pertukaran. Beliau memetik tinjauan jangkaan perniagaan terbaru Lembaga Kemajuan Ekonomi dalam kalangan pengeluar, yang menunjukkan bahawa dolar Singapura "bukan faktor utama" menjejas pesanan eksport firma.

"Eksport Singapura adalah produk dan perkhidmatan nilai tambah yang tinggi, di mana permintaan kurang terkesan terhadap harga sekali gus, perubahan kadar pertukaran," katanya.

“Kadar pertukaran yang lebih kukuh juga membantu mengurangkan kos import yang dihadapi industri eksport kami.”

Menurutnya langkah mengetatkan dasar kewangan adalah perlu untuk mengurangkan inflasi dan membantu mengekalkan kuasa beli perniagaan dan isi rumah di Singapura.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan