Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peringati tahun ke-79 kejatuhan Singapura kepada Jepun: Peluang teroka tapak larangan Perang Dunia Kedua

SINGAPURA: Di lereng bukit yang curam dan di sebalik semak samun, tersembunyi sebuah landasan meriam yang suatu ketika dahulu mempertahankan perairan selatan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Peringati tahun ke-79 kejatuhan Singapura kepada Jepun: Peluang teroka tapak larangan Perang Dunia Kedua

Bilik di Kompleks Terowong A di mana periuk api untuk kapal-kapal selam dahulu diperiksa dan disediakan oleh askar-askar British. (Gambar: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Di lereng bukit yang curam dan di sebalik semak samun, tersembunyi sebuah landasan meriam yang suatu ketika dahulu mempertahankan perairan selatan Singapura. Tidak jauhan dari situ menghadap Keppel Bay, pula berdiri galang-galang konkrit yang kian dimamah usia dan ditelan zaman menandakan tapak dimana dahulunya terdiri Siloso Pier, satu-satunya lombong yang pernah digunakan apabila Fort Siloso dibina pada tahun-tahun 1870-an.

Tapak itu yang lazimnya merupakan kawasan larangan akan dibuka buat julung-julung kalinya mulai Sabtu (20 Feb) ini bagi kunjungan orang ramai yang menyertai acara lawatan ‘Fort Siloso Rediscovery Tour’.

(Gambar: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

Lawatan berpandu anjuran Fort Siloso dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) itu adalah antara tawaran istimewa program ‘Battle for Singapore’ Lembaga Warisan Negara (NHB) tahun ini.

Edisi ketujuh ‘Battle for Singapore’ yang berlangsung dari 20 Feb hingga 14 Mac diadakan sempena memperingati ulang tahun ke-79 kejatuhan Singapura kepada Jepun. Para pengunjung akan dibawa mengimbas kembali penjajahan Jepun di Singapura pada 1942 serta kisah-kisah peperangan menerusi siri lawatan serta sesi dialog bersama para penggiat sejarah dan warisan.

“Kami ingin mendidik orang ramai tentang tapak-tapak seperti ini yang mungkin kurang dikenali di Singapura. Kami bekerjasama dengan rakan-rakan kami di Fort Siloso dan SDC untuk menawarkan tapak-tapak ini dan ia khas untuk program tahun ini sahaja.

“Disebabkan keadaan tanah dan jalannya yang sukar dilalui, tempat-tempat ini lazimnya tidak boleh dibuka. Tetapi buat masa ini, kami bekerjasama dengan Fort Siloso untuk mengadakan langkah-langkah keselamatan seperti tali bantuan (guide rope) untuk memastikan tapak-tapak ini lebih mudah diterokai dan setiap lawatan berpandu ini dikendalikan seorang pemandu lawatan terlatih,” kongsi Pengarah Perhubungan Antarabangsa dan Muzium NHB, Encik Gerald Wee.

Kesemuanya, terdapat tiga kawasan larangan yang akan dibuka kepada orang ramai.

Bahagian kedua yang dibuka bagi lawatan itu ialah sebuah bilik di Kompleks Terowong A di mana periuk api untuk kapal-kapal selam dahulu diperiksa dan disediakan oleh askar-askar British.

Daya tarikan ketiga dan yang paling sukar untuk diakses ialah sebuah stesen rumah api (coastal search light) yang pernah digunakan tentera British untuk membantu mengesan kapal-kapal musuh di perairan. Ia antara lima stesen serupa yang pernah mempertahankan Fort Siloso.

Memandangkan keadaan jalan ke tapak-tapak larangan itu agak mencabar, para peserta harus berusia 18 tahun ke atas.

Lokasi-lokasi lain seperti Menara Meriam dan Dewan Penyerahan Kalah turut disertakan dalam lawatan ‘Fort Siloso Rediscovery Tour’. Dua sesi sehari akan diadakan sepanjang empat hujung minggu dan bayaran sebanyak S$5 juga dikenakan.

Selain itu, mereka yang berminat berpeluang menyelami peranan tapak-tapak bersejarah seperti Bekas Kilang Ford, Bukit Brown dan Changi Point semasa Perang Dunia Kedua. Sebuah webinar oleh Profesor Madya Kevin Blackburn, yang mengajar sejarah di NTU, pula akan membentangkan dan membincangkan kisah serta pengalaman wanita penghibur (comfort women) pada zaman penjajahan Jepun.

Orang ramai boleh ke lelaman www.museums.com.sg untuk melihat senarai penuh program Battle for Singapore 2021. Pendaftaran dibuka pada tengah hari 16 Februari.

(Gambar: Izzah Imran/BERITAmediacorp)
Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan