Skip to main content

Singapura

Perikatan 3 pihak mesti sentiasa jadi 'tunjang kestabilan' Singapura, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
 Perikatan 3 pihak mesti sentiasa jadi 'tunjang kestabilan' Singapura, kata PM Lee

Para pekerja di Raffles Place, 6 Sept, 2021. (Gambar fail: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 01 May 2022 02:43PM Dikemas Kini : 01 May 2022 02:45PM

SINGAPURA: Perikatan tiga pihak mesti sentiasa menjadi "tunjang kestabilan" Singapura, tekan Perdana Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Rapat Hari Buruh hari ini (1 Mei).

Kerjasama perikatan tiga pihak dalam kalangan kesatuan, majikan dan Pemerintah adalah hasil sejarah panjang negara ini dalam kerjasama kesatuan perdagangan dan "hubungan erat yang saling mempercayai antara satu sama lain", dijalin melalui krisis demi krisis.

"Perikatan tiga pihak mesti sentiasa menjadi tunjang kestabilan Singapura. Kita mesti terus mengesahkan hubungan ini dan mengekalkannya dari satu generasi ke satu generasi," kata beliau.

Pembaharuan kepimpinan penting bagi kerjasama seperti itu antara Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) dikekalkan, kata beliau.

PM Lee juga bercakap tentang "langkah besar ke hadapan" dalam tampuk kepimpinan politik di peringkat nasional, dengan Menteri Kewangan sebulat suara dipilih semua rakan Kabinetnya dan kemudian oleh semua Anggota Parlimen PAP sebagai ketua pasukan 4G.

Encik Wong akan memikul tanggungjawab berat, kata PM Lee, sambil menambah pemimpin baru itu perlu menerajui Singapura dalam dunia yang "berbeza dan tidak menentu".

"Beliau perlukan sokongan penuh rakan-rakan Kabinetnya dan juga mesti bergantung kepada semua saudara saudari untuk bekerjasama dengannya dan pasukannya dan untuk terus bekerjasama dengan mereka untuk membawa Singapura maju ke masa hadapan," ujar PM Lee, semasa berucap kepada sekitar 2,000 pemimpin gerakan buruh dan rakan perikatan tiga pihak yang menghadiri rapat itu baik secara fizikal atau maya.

PM Lee menggesa mereka supaya memberikan sokongan penuh kepada Encik Wong dan pasukannya.

FIRMA UTAMAKAN PEKERJA AKAN LEBIH MAJU

PM Lee juga bercakap tentang firma-firma yang berubah dan menyesuaikan diri untuk merebut peluang-peluang baru, bagi menangani cabaran-cabaran, dengan bantuan kesatuan.

Syarikat-syarikat yang mengutamakan pekerja akan lebih maju dalam pasaran buruh masa akan datang, ujar PM Lee, sambil berkata pandemik sudah mengubah norma kerja.

"Bekerja dari rumah sudah menjadi amalan biasa. Pekerja mengutamakan aturan kerja fleksibel dan bebas."

Singapura perlu memanfaatkan potensi tenaga buruh domestik, memandangkan jumlahnya "hampir tidak meningkat" dan tenaga kerja yang semakin menua, kata beliau.

Ekonomi sedang mencipta lebih banyak pekerjaan berbanding jumlah pekerja yang ada dalam negara ini, kata PM Lee.

Tiga cara untuk merealisasikan transformasi perniagaan adalah dengan mengubah perniagaan supaya mengikut trend industri, melaksanakan penjenamaan semula untuk menarik lebih ramai pekerja dan mewujudkan aturan kerja fleksibel untuk mengekalkan pekerja, ujar PM Lee, yang berkongsi pengalaman tiga buah firma.

PM Lee juga menarik perhatian bahawa firma-firma itu diterajui wanita. Beliau berkata "Mungkin inilah yang perlu dilakukan untuk memacu perubahan. Ia menunjukkan sejauh mana bakat dan potensi yang ada dalam tenaga kerja kita."

Langkah tiga firma itu - iaitu firma kejuruteraan jitu, firma kitar semula dan pengurusan sisa serta firma perubatan tradisional Cina - bekerjasama dengan kesatuan untuk mengubah perniagaan hanya berlaku di "segelintir negara", kata PM Lee.

"Hanya di Singapura dan hanya disebabkan NTUC. Inilah amalan perikatan tiga pihak, iaitu satu kelebihan besar berdaya saing untuk kita," kata beliau.

PM Lee menambah beliau amat menghargai sumbangan pergerakan buruh.

"Ia mewakili kepentingan ramai pekerja, bukan sahaja yang berpangkat rendah. Ia membantu menyatukan rakyat Singapura, supaya mereka tahu mereka tidak bersendirian," kata beliau.

"Tiada orang yang akan ketinggalan sedang ekonomi kita maju."

MASALAH KURANG PEKERJA

Jumlah pekerja akan terus menjadi masalah yang dihadapi Singapura, kata PM Lee, sambil menambah garis panduan akan datang bagi perikatan tiga pihak mengenai aturan kerja fleksibel akan membantu menangani trend ini.

Meskipun ia akan melibatkan sedikit "penyesuaian" dan memerlukan disiplin daripada majikan dan pekerja, jika dilaksanakan dengan baik, aturan itu akan membolehkan lebih ramai orang, lebih-lebih lagi kaum ibu dan penjaga, untuk terus bekerja dan mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan, kata PM Lee.

Mungkin terdapat juga manfaat-manfaat lain seperti kurang kesesakan pada waktu sibuk dan meningkatkan kadar kesuburan, kata beliau.

Menggulung ucapannya, beliau berkata, perubahan perniagaan dan tenaga kerja kini "semakin penting".

Singapura sedang bangkit daripada pandemik ke dalam dunia yang bukan sahaja diubah dek COVID-19 tetapi juga diancam cabaran-cabaran keselamatan yang ketara, kata beliau.

Singapura boleh merasakan cabarannya, meskipun ia sedar tentang peluang-peluang baru yang muncul. "Bagi kita, perubahan akan menjadi tugas yang tiada penghujungnya, sedang kita terus mencipta semula diri untuk mengekalkan kedudukan kita di dunia ini."

Setelah melawan COVID-19 bersama, Singapura boleh berasa yakin dapat menempuhi cabaran-cabaran ini dan memanfaatkan peluang yang datang, ujar beliau.

"Pemerintah akan memainkan peranannya untuk melindungi kepentingan negara. Kita akan bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk mencari cara terbaik untuk maju ke hadapan. Kita akan terus bekerjasama dengan pergerakan buruh untuk melabur dalam setiap pekerja, untuk menjaga setiap pekerja, untuk mempertingkat kehidupan setiap pekerja," kata beliau.

PM Lee menggesa majikan supaya mengembangkan perniagaan mereka dan membimbing pekerja supaya mereka boleh memberikan yang terbaik dalam pekerjaan mereka.

NTUC mesti kekal sebagai sebuah institusi utuh, yang berganding bahu dengan Pemerintah untuk memperoleh kepercayaan penduduk, kata beliau.

"Ini adalah hubungan simbiotik yang sudah menyumbang dengan baik kepada Singapura sejak negara ini diasaskan dan bersama-sama, ayuh kita pastikan Singapura selamat dan terus maju sepanjang generasi-generasi akan datang."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita