Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perhimpunan Clarke Quay cetus kemarahan ramai; masyarakat makin bosan, kecewa terhadap sekatan

Masuk tahun ketiga dunia melawan pandemik COVID-19, terbit berita tentang betapa penduduk dunia mula letih dengan sekatan sosial yang ditimbulkan dek krisis kesihatan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Perhimpunan Clarke Quay cetus kemarahan ramai; masyarakat makin bosan, kecewa terhadap sekatan

Orang ramai bersantai di Marina Bay, Singapura. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 05 Jan 2022 09:57AM Dikemas Kini : 05 Jan 2022 09:59AM

SINGAPURA: Masuk tahun ketiga dunia melawan pandemik COVID-19, terbit berita tentang betapa penduduk dunia mula letih dengan sekatan sosial yang ditimbulkan dek krisis kesihatan itu.

Maka ia tidak mengejutkan bagi sesetengah penduduk di Singapura — meskipun segelintir yang lain marah dan kecewa — terhadap sekumpulan besar orang yang bersuka ria mengingkari dan melanggar peraturan keselamatan COVID-19 untuk berhimpun melebihi had yang dibenarkan pada malam Tahun Baru di Clarke Quay. Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang menanggalkan terus pelitup.

Seorang ahli psikologi memberitahu Mediacorp perbuatan itu mungkin satu petanda orang ramai sudah semakin kecewa dengan peraturan keselamatan COVID-19 di Singapura.

Encik Praveen Nair, seorang pakar psikologi di Raven Counselling and Consultancy, berkata: "Singapura sudah dikenali dengan kepelbagaian syarat dan peraturannya... tetapi sebahagian besar sanggup melaluinya selagi mereka boleh menjalani kehidupan seharian mereka.

“Namun tengkarah yang ditimbulkan oleh COVID-19 adalah ia mengganggu kehidupan seharian, maka itu orang ramai bertanggapan seolah-olah semua ini sudah keterlaluan dan mereka tidak boleh menahannya lagi."

Pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) COVID-19 sebelum ini memperakui kekecewaan dan kekeliruan masyarakat berhubung sekatan yang kian berubah-ubah. Namun, ia menjelaskan bahawa perubahan sekatan disebabkan oleh keadaan semasa pandemik yang juga cepat berubah sedang banyak maklumat dan data mengenai koronavirus timbul. Peraturan keselamatan juga diperketatkan dari semasa ke semasa untuk mengawal penularan ketika kelompok COVID-19 muncul.

Walaupun membawa gangguan kepada kehidupan seharian mereka, sesetengah individu memberitahu Mediacorp mereka masih melihat keperluan untuk mengawal jangkitan.

Bagi yang bosan mematuhi peraturan sepanjang masa, mereka mengakui bahawa mereka kurang berjaga-jaga apabila tiada sesiapa di sekeliling mereka.

Sepanjang hujung minggu lalu, tular video di media sosial yang menunjukkan ramai orang berkerumun bagi menyertai acara kiraan detik sempena sambutan tahun baru di Clarke Quay, dengan ramai yang kelihatan tidak memakai pelitup.

Dalam kenyataannya pada Ahad (2 Jan), MTF menyatakan pihak berkuasa sedang menyiasat perhimpunan di Clarke Quay itu yang "melibatkan beberapa pelanggaran peraturan pengurusan selamat secara terang-terangan dan merupakan satu acara yang berpotensi menyebabkan penularan meluas."

MTF menambah ia memahami "keinginan dan semangat untuk menyambut tahun baru terutama selepas sekatan sosial selama dua tahun". Namun, ia juga mengingatkan masyarakat bahawa Singapura "masih mengalami pandemik" dan menggesa setiap penduduk supaya terus mengamalkan tanggungjawab sivik.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Nair berkata walaupun rakyat Singapura secara amnya mematuhi undang-undang dan peraturan, beliau menyifatkan insiden yang berlaku di Clarke Quay sebagai satu "isyarat yang membayangkan bahawa ada sesuatu perkara yang tidak betul".

Encik Nair menambah sebahagian daripada kekecewaan penduduk tercetus daripada peraturan yang kerap berubah-ubah, yang boleh mengakibatkan penyampaian maklumat yang tidak konsisten tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan.

Encik Kenny Liew, seorang pakar psikologi klinikal di firma runding cara psikologi Mind What Matters, berkata golongan yang melanggar peraturan mungkin mementingkan kesenangan atau keselesaan dan bukan manfaat jangka panjang yang diraih daripada mematuhi langkah-langkah keselamatan.

“Mengekalkan tingkah laku yang baru juga kerap memerlukan penguatkuasaan semula dan ganjaran, menjangkaui sekadar menghentikan tingkah laku lama," terang Encik Liew.

“Oleh demikian, mungkin terdapat keletihan jika tumpuan nampaknya lebih kepada 'hukuman' ke atas tingkah laku sebelumnya dan bukannya faedah bagi tingkah laku yang baru."

KEKECEWAAN MULA TERASA

Ternyata, sekurang-kurangnya tujuh daripada sembilan rakyat Singapura memberitahu Mediacorp mereka bosan dengan tempoh peraturan COVID-19 yang berlarutan. Ini khususnya apabila mereka merasakan tiada banyak perkara yang sudah berubah ataupun sama ada peraturan itu tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang masuk akal bagi mereka.

“Dua tahun sudah berlalu dan sekalipun selepas berlaku kematian, kebimbangan, rejim vaksinasi... tiada apa yang nampaknya sudah berubah. Peraturannya ibarat ambil setapak ke hadapan, mundur dua tapak," kata seorang siswazah berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Syed.

Misalnya tambah beliau, varian Omicron dilaporkan sebagai lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta namun, peraturan di pejabat dan sekolah semakin longgar.

Beliau juga menarik perhatian bahawa peraturan untuk orang ramai duduk makan di luar dihadkan kepada saiz kumpulan lima orang semeja tetapi orang ramai mungkin boleh menghadiri beberapa perhimpunan sosial dalam sehari.

Encik Paul Tan, 51 tahun, berkata beliau melihat ada ironi dari segi orang ramai tidak dibenarkan untuk berkumpul di sebuah gim tetapi mereka boleh berbuat demikian di pusat beli-belah di mana terletaknya gim berkenaan.

Encik Tan, yang bekerja di sebuah gim panjat tembok, juga mengadu tentang kurangnya penguatkuasaan terhadap individu yang tidak memakai pelitup dengan betul atau mereka yang menurunkan pelitup hingga ke dagu ketika berada dalam pengangkutan awam.

Encik Nigel Sim, seorang usahawan berusia 33 tahun, bagaimanapun tidak terkejut dengan perhimpunan di Clarke Quay meskipun beliau tidak menjangkakan perhimpunan besar seumpama itu.

"Kebanyakan (orang di Singapura) sudah divaksin dan kami diberitahu bahawa individu divaksin lebih berdaya tahan terhadap virus itu... (tambahan pula) seluruh penduduk sudah disekat buat sekian lama," tambahnya.

Sesetengah individu yang diwawancara Mediacorp mengakui kadangkala mereka mungkin kurang berjaga-jaga namun, melalui cara yang kecil.

TEKANAN KE ATAS PEKERJA JAGAAN KESIHATAN

Dalam kalangan mereka yang menyokong keperluan bagi peraturan COVID-19 yang berterusan ialah Encik Juan Foo, seorang penerbit filem berusia 40-an tahun.

Berikutan pengalamannya dijangkiti COVID-19 pada November tahun lalu dan kini sudah pulih, Encik Foo amat menyedari akan keperluan bagi jarak selamat dan sikap saling bertimbang rasa.

“Apabila saya dimasukkan ke hospital, saya melihat sendiri tekanan melampau yang dihadapi kakitangan barisan hadapan dan dedikasi mereka untuk mengharunginya. Ia sangat membuka mata dan merendahkan diri," ujarnya.

“Ini adalah satu pandemik dan kita perlu benar-benar bertimbang rasa secara menyeluruh. Jadi saya cukup mengambil berat tentang peraturan keselamatan."

Encik Tan, pekerja gim panjat tembok, berkata satu kelompok saja sudah cukup untuk menutup seluruh kemudahan itu - prospek yang tidak diingini oleh sesiapa pun dalam industri sukan setelah menyaksikan betapa teruknya padah yang perlu ditanggung oleh sektor tersebut.

Bagi pengurus pemasaran berusia 29 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, beliau berkata peraturan itu membantu untuk menjaga keselamatan keluarga mudanya.

Cik Siti sedang menantikan kelahiran anak keduanya.

“Dijangkiti (COVID-19) i bukan lagi satu perkara besar lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah divaksin. Hanya kanak-kanak yang kami lebih bimbangkan."

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan