Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perginya suara emas radio bergelar 'Raja Pantun' S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Perginya suara emas radio bergelar 'Raja Pantun' S'pura

Mantan penyiar radio Warna 942, Haji Mohamed Ashikm meninggal dunia pada 5 Mei 2022. (Gambar: Warna 942)

BERITAmediacorp: Suasana sayu menyelubungi kediaman Allahyarham Mohamed Ashik di Eunos Crescent petang tadi (5 Mei).

Berpuluh-puluh ahli keluarga dan sahabat handai datang ke rumah Allahyarham untuk menyampaikan takziah kepada balu Allahyarham, Maria Bachok.

Mantan penyiar radio berusia 74 tahun itu meninggal dunia sekitar 7.00 pagi di rumahnya.

<p>(Gambar: Warna 942)</p>

"Saya peluk dia dalam tiga, empat minit. Dia pergi dengan tenang, dalam pelukan saya, Alhamdulillah. Saya tahu Allah ambil dia, saya reda.

"Saya mohon kepada peminat-peminat abang yang mana sayangkan abang, sedekahkan Al-Fatihah untuk dia. Dia orang yang baik. Pada saya dia orang yang baik, terlalu baik," kata balu Allahyarham Cik Maria Bachok dengan penuh hiba.

Pada Julai tahun lalu, Allahyarham dimasukkan ke hospital selepas terjatuh di rumahnya di Johor Bahru.

Beliau kemudian meneruskan rawatannya di Hospital Besar Singapura (SGH) sehingga Februari lalu.

Pemergiannya pada 3 Syawal ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.

"Bila saya dapat berita ini, saya baru sampai tempat kerja. Jadi betul-betul tidak dijangkakan kerana dua hari lepas, Abah, walaupun masih sakit, dia segar, mata dia awas.

"Saya macam kadang-kadang rasa macam ada lagi, kalau ada kesempatan banyak lagi yang kita boleh bualkan," kata anak Allahyarham, Cik Elyani Mohamed.

<p>(Gambar: Warna 942)</p>

Allahyarham Mohamed Ashik menyertai Radio Televisyen Singapura (RTS) pada lewat 1960-an dan berkecimpung dalam dunia penyiaran selama lebih 40 tahun sebelum bersara pada 2009.

Beliau sangat terkenal dengan perwatakan lemah lembutnya dan pemergiannya satu kehilangan besar bukan sahaja bagi rakan-rakan malah juga para pendengar setia radio WARNA 942.

Rakan karib Allahyarham Encik Mohamed Zulkifli berkata: "Saya kehilangan seorang sahabat yang baik, yang karib, yang bagus. Sewaktu kita di Malaysia, selalu bersama. Mudah-mudahan dia mendapat tempat di akhirat, mudah-mudahan di dalam syurga Jannah.

"Beliau memang lemah lembut orangnya dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu. Beliau sangat berbakat dalam pantun dan juga terkenal sebagai penerbit rancangan "Firman dan Sabda," kata mantan penyiar Cik Surtini Sarwan.

Allahyarham juga menggalas beberapa tanggungjawab besar seperti editor berita radio dan beliau turut menyuntik kesegaran kepada penerbitan rancangan Bangsawan.

Antara rancangan yang dikendalikannya ialah keroncong 'Ira Kencana' pada awal 1980-an dan 'Pantun di Udara' yang mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pendengar di Singapura dan Brunei Darussalam.

Selepas bersara, Allahyarham terus menyumbang bakti dan ilmu menerusi kelas-kelas penulisan pantun di institusi-institusi pengajian tinggi.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Pusara Aman sekitar tengah hari esok (6 Mei).

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan