Skip to main content

Singapura

PERGERAQ lancar buku sempena ulang tahun ke-20

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 May 2026 05:36PM Dikemas Kini : 31 May 2026 01:35PM
SINGAPURA: Sebuah buku yang menghimpunkan cabaran dan pencapaian Persatuan Guru-Guru Al-Quran (PERGERAQ) dilancarkan pada Ahad (17 Mei) sebagai meraikan ulang tahun ke-20 pertubuhan itu.

Buku yang berjudul PERGERAQ – Kisah Dua Dekad itu menghimpunkan perjalanan dan usaha-usaha yang dijalankan badan itu sejak ditubuhkan pada 2006.

BUKU PERGERAQ -KISAH DUA DEKAD TAMPIL KAN USAHA BERTERUSAN GURU NGAGI, ASATIZAH

Presiden PERGERAQ, Ustaz Achmed Fahdly Mohd Kamsari berkata penerbitan buku tersebut menjadi lambang usaha berterusan guru-guru ngaji, asatizah, sukarelawan dan penyokong pertubuhan itu dalam memperkukuhkan pendidikan Al-Quran dalam masyarakat.

Ustaz Fahdly berkata: "Mereka yang menyokong PERGERAQ dapat mengadakan satu perubahan yang besar di mana kita inginkan mereka celik al-Quran dan juga mereka dapat menunjukkan bahawasanya dalam usahanya guru-guru ngaji dapat membaiki taraf diri mereka.

Ustaz Fahdly turut menambah bahawa perjalanan dua dekad persatuan itu satu cerminan bahawa ia masih relevan dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam di Singapura.
Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)
Sepanjang dua dekad lalu, PERGERAQ bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan guru-guru Al-Quran, malah memperluaskan usaha mendekati golongan yang memerlukan melalui pelbagai program kemasyarakatan dan pendidikan.

Bagi PERGERAQ, usaha tersebut penting dalam memastikan pendidikan Al-Quran dapat diakses semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau kekurangan yang dihadapi seseorang individu.

“Kita bersifat inklusif kepada pelajar, peserta-peserta yang ada, yang diuji dengan penyakit barah, yang kurang upaya dan sebagainya supaya kita menunjukkan bahawasanya Islam ini luas, ia merangkumi kesemuanya,”kongsi Encik Fadhly.

Buku tersebut juga mengisahkan bagaimana peranan guru-guru ngaji tempatan sudah berubah sejak dua dekad lalu.

"Peranan guru al-Quran daripada 20 tahun yang lalu, perubahannya adalah apabila sekarang ini, ia menjadi lebih digital. Usaha mereka dahulu setakat untuk mengajar mengaji. Tetapi sekarang, guru-guru al-Quran memainkan peranan lebih besar. Peranan yang di mana mereka bukan sahaja setakat menjadi guru ngaji, bahkan mereka harus memperbaiki ilmu supaya dapat menolong ahli keluarga yang menuntut dengan mereka ataupun belajar dengan mereka, fikir berkaitan dengan akhlak dan sebagainya," tambah Ustaz Fahdly.
Related article image
Presiden PERGERAQ, Ustaz Achmed Fahdly Mohd Kamsari. (Gambar: Aqil Ezat)
20 TAHUN KE HADAPAN PERGERAQ

Lantaran itu, PERGERAQ merancang untuk memperluaskan lagi program pendidikannya menerusi platform digital.

Ustaz Fahdly berkata: "Sekarang untuk kita memperluaskan lagi bacaan Al-Quran adalah di mana antaranya kita akan guna platform digital. Kalau katakan sekarang ramai yang pandai dan mahir menggunakan aplikasi Zoom ataupun TikTok dan sebagainya. Kita akan cuba untuk mengajar asatizah kita supaya mereka mahir dan peka dalam mempergunakan alat-alat ini."

Selain itu, beliau juga berkata bahawa PERGERAQ ngin memperkukuhkan program latihan guru Al-Quran sedia ada seperti Sijil Peningkatan Guru Al-Quran dan Diploma Peningkatan Guru Al-Quran.

"Mungkin dalam lima tahun lagi, akan ada pengkhususan dalam diploma lanjutan ataupun mungkin kita berusaha anjurkan program ijazah dengan universiti yang terdekat, kalau boleh berkaitan dengan Singapura. Kalau ada universiti di sini, kita dapat menghantar pelajar-pelajar kita ke sana,” luah Ustaz Fahdly.

Dalam masa yang sama, PERGERAQ juga berharap dapat memperluaskan penyampaian program agar mesej Al-Quran dapat dikongsi dengan masyarakat yang lebih luas dalam konteks masyarakat majmuk Singapura.

"Sekarang ini, program-program berlandaskan dalam bahasa Melayu. Dalam 2 atau 3 tahun, Insya Allah kita akan cuba mengadakan dalam bahasa Inggeris dan kalau boleh dalam bahasa Mandarin. Ini kerana Islam ini bukan khusus untuk orang Melayu. Di Singapura, kita hidup dengan masyarakat majmuk, maka kita ingin menyampaikan mesej ini kepada semua,'" kata Ustaz Fahdly.
Related article image
Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Dr Syed Harun Alhabsyi. (Gambar: Aqil Ezat)
PEMBANGUNAN ASATIZAH TERUS MENJADI SATU KEUTAMAAN

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Dr Syed Harun Alhabsyi merasmikan pelancaran buku tersebut yang diadakan di The Village Hotel Bugis.

Dalam ucapannya semasa acara pelancaran buku itu, Dr Syed Harun menegaskan bahawa peranan asatizah bukan sahaja lagi sebagai penyampai ilmu agama.

Mereka bahkan perlu menjadi pembimbing nilai-nilai agama, dan menjadi peran contoh perpaduan untuk masyarakat.

Dr Syed Harun berkata: "Dalam hal ini, persatuan seperti PERGERAQ akan terus menjadi rakan seperjuangan yang penting. Usaha anda dalam pendidikan al-Quran dan pembangunan guru-guru al-Quran saling melengkapi usaha-usaha kita di peringkat nasional sambil kita memastikan kepimpinan agama, masyarakat kita kekal relevan dan juga diyakini masyarakat dan negara."

Beliau turut menggalakkan PERGERAQ untuk terus memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak demi membina masyarakat yang bersatu hati dan terus maju bersama.

Buku PERGERAQ - Kisah Dua Dekad masih boleh didapatkan menerusi laman badan itu

Setiap buku berharga S$50 untuk bukan ahli PERGERAQ.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita