Pergas tekankan 'tiada permusuhan' antara masyarakat Islam dengan Yahudi
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) mengingatkan bahawa "tiada permusuhan" antara masyarakat Islam dengan golongan Yahudi.
Logo PERGAS. (Gambar: Laman Islamic Events)
SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) mengingatkan bahawa "tiada permusuhan" antara masyarakat Islam dengan golongan Yahudi dan tidak semua bangsa Yahudi dibenci Allah.
Pergas menekankan demikian menerusi kenyataan medianya yang dimuat naik ke laman Facebook pada Rabu (10 Mac).
Kenyataan itu dibuat menyusuli penahanan seorang belia berusia 20 tahun, Amirull Ali, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang untuk membunuh orang-orang Yahudi.
Lantaran itu Pergas merasa "amat prihatin" dan "memandang berat" akan hal itu, sambil menekankan bahawa segala bentuk fahaman radikal, kezaliman serta penindasan dari mana-mana pihak tidak boleh diterima.
Menurut Pergas, umat Islam tidak ada permusuhan dengan golongan Yahudi dan terdapat juga sebilanganmereka yang tidak memusuhi agama Islam serta baik pekerti, seperti yang termaktub dalam surah al-Imran ayat 113.
Amirull Ali merancang untuk melakukan serangan ke atas orang-orang Yahudi di sebuah saumaah (synagogue) iaitu Maghain Aboth Synagogue yang terletak berdekatan stesen MRT Bras Basah.
Lantaran itu Pergas juga mengingatkan bahawa dalam surah Al-Haj ayat 40 Allah melarang perbuatan memusnahkan masjid, gereja, kuil mahupun tempat penyembahan agama lain.
Ia turut menekankan bahawa keganasan tidak mengenal agama. Ia wujud dalam kalangan pengikut setiap agama meskipun semua agama memupuk kedamaian.
Proses radikalisasi Amirull bermula pada tahun 2014 setelah dia mula menaruh minat terhadap konflik Israel-Palestin. Ini selepas dia menonton sebuah video yang menunjukkan penduduk awam Palestin dibom jet-jet pejuang Israel.
Siasatan ISD ke atas Amirull menunjukkan bahawa dia bertindak sendirian berhubung rancangan-rancangan untuk menyerang orang Yahudi itu dan tiada tanda bahawa dia cuba mempengaruhi orang lain.
Dia juga tidak membabitkan orang lain dalam rancangan-rancangan serangannya. Anggota keluarganya sendiri dan orang-orang dalam lingkaran sosialnya juga tidak sedar akan rancangannya untuk melakukan serangan ke atas orang Yahudi di negara ini.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.