Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERGAS sokong langkah Pemerintah pinda perlembagaan S'pura bagi pelihara takrif perkahwinan antara lelaki dan wanita

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (PERGAS) menekankan kepentingan memelihara serta mengukuhkan dasar dan nilai kekeluargaan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Aug 2022 08:15PM Dikemas Kini : 22 Aug 2022 08:41PM

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (PERGAS) menekankan kepentingan memelihara serta mengukuhkan dasar dan nilai kekeluargaan di Singapura.

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (21 Ogos) untuk memansuhkan Seksyen 377A.

Dalam kenyataan media hari ini (22 Ogos), PERGAS turut menyatakan sokongan terhadap langkah Pemerintah untuk meminda perlembagaan Singapura bagi tujuan memelihara definisi perkahwinan antara lelaki dan wanita.

PERGAS turut menggesa agar pindaan tersebut dapat dilaksanakan dengan segera.

Menurut PERGAS, pandangan Islam yang melarang hubungan seksual sesama jenis adalah jelas dan tidak boleh diubah.

"Ia adalah sandaran yang membentuk pandangan majoriti ulama dan masyarakat Islam. Walaupun begitu, masyarakat Islam Singapura tetap bertanggungjawab untuk memastikan keamanan negara dengan menyuarakan pandangan secara hormat dan berhikmah," menurut PERGAS.

Badan itu juga menggesa anggota masyarakat terutama sekali masyarakat Islam supaya tidak meminggirkan mahupun menghina mereka yang merasakan diri mereka tergolong di dalam kumpulan LGBTQ.

Sehubungan itu, PERGAS turut menggesa masyarakat Islam Singapura supaya meningkatkan usaha untuk memahami isu rumit tersebut dengan lebih baik. 

"Masyarakat Islam Singapura perlu meningkatkan usaha untuk memahami isu rumit ini dengan lebih baik, memupuk nilai-nilai moral Islam dan mengukuhkan nilai-nilai kekeluargaan dalam kehidupan dan masyarakat kita. Ini juga bererti kita perlu meningkatkan mutu dan kandungan perbincangan mengenai isu seksualiti, perkahwinan dan keluarga di peringkat institusi pendidikan Islam," menurut PERGAS.

Dalam pada itu, PERGAS turut menyatakan ia komited dalam usaha untuk mendidik dan melahirkan generasi individu, keluarga dan masyarakat yang bertakwa serta peka dengan pegangan dan nilai keagamaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan