Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERGAS perkenal bantuan khas bagi asatizah bebas, penyedia pendidikan Islam

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) pada Khamis (27 Mei) memperkenalkan bantuan khas bagi membantu para asatizah bebas atau bekerja sendiri serta pusat-pusat dan penyedia pendidikan Islam (IECP) yang terjejas oleh pelaksanaan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Anggaran Waktu Membaca:
PERGAS perkenal bantuan khas bagi asatizah bebas, penyedia pendidikan Islam

Gambar fail asatizah bersama pelajar madrasah.

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) pada Khamis (27 Mei) memperkenalkan bantuan khas bagi membantu para asatizah bebas atau bekerja sendiri serta pusat-pusat dan penyedia pendidikan Islam (IECP) yang terjejas oleh pelaksanaan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) bertujuan mengawal penularan COVID-19.

Di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), kelas-kelas agama disyorkan diadakan secara online sehingga akhir Fasa 2 atau sehingga notis lanjut diberikan, atau pun menggantung semua kegiatan berkumpulan.

Tinjauan PERGAS mendapati tidak semua IECP dilengkapi sepenuhnya dengan sumber dan keupayaan untuk memindahkan kegiatan pengajaran online menjangkaui platform Zoom dan terus menyediakan sokongan teknikal bagi mendampingi para asatizah bebas di tengah-tengah pandemik ini.

Justeru, Pakej Rahmah Khas - Dana Keupayaan IECP diperkenalkan dengan tujuan memberi kestabilan kepada IECP dan para asatizah bebas dengan menyediakan khidmat perundingan digital percuma seperti pembelajaran online, pemasaran dan penghasilan bahan digital serta sokongan gaji kepada IECP untuk membantu mereka mengekalkan dan melindungi para asatizah.

Pakej Rahmah Khas - Dana Keupayaan IECP terbahagi kepada empat aspek:

1. Geran Transformasi Digital dan Penjajaran GP (GPTag)

GPTag menyasarkan IECP dengan menyediakan akses khas kepada ruang digital baru di Pergas secara percuma atau pada kadar subsidi.

(Gambar: Pergas)

Selain itu, PERGAS akan menawarkan sesi konsultasi digital secara percuma dan ruang iklan pada wadah digital PERGAS untuk meningkatkan keupayaan digital IECP.

Pendaftaran bagi geran GPTag boleh dibuat melalui laman http://bit.ly/gpiecp.

2. Laluan Alternatif Kerjaya GP (GPCap):

GPCap menyasarkan golongan asatizah bebas atau bekerja sendiri.

Ia adalah program kerjaya sementara yang bertujuan menyediakan pekerjaan alternatif. Para asatizah akan dipadankan kepada majikan berpotensi selama tempoh tiga hingga enam bulan.

3. Skim Penstabilan GP (GPSS):

GPSS adalah skim sokongan pekerjaan bagi IECP. Ia menyediakan sokongan gaji bagi IECP untuk mengekalkan para asatizah bebas.

PERGAS akan menawarkan sokongan pekerjaan melalui pembiayaan bersama sehingga 70 peratus daripada gaji asatizah bebas yang digajikan melalui GPCap.

4. Sokongan Wang Tunai GP:

Pakej bantuan ini menyasarkan para asatizah bebas berusia 55 tahun ke atas atau mereka yang menghidap penyakit kronik. Di bawah pakej bantuan ini, para penerima akan mendapat bayaran wang tunai sebanyak S$400 setiap bulan selama enam bulan.

PERGAS menganggarkan kesemuanya akan menelan kos sebanyak S$700,000.

Mereka yang berminat menyumbang kepada dana ini boleh melungsuri laman https://www.giving.sg/pergas/special-gp-iecp-capability-fund atau www.pergas.org bagi kaedah bayaran online yang lain.

701 ASATIZAH DIBANTU MENERUSI PAKEJ RAHMAH

PERGAS melancarkan Pakej Rahmah pada 20 Mac tahun lalu bagi membantu para asatizah bebas atau bekerja sendiri yang pendapatan mereka terjejas oleh COVID-19.

Menerusi Pakej Rahmah, seramai 701 asatizah dibantu dan dana berjumlah S$561,412 yang berjaya dikumpukan hasil sumbangan anggota masyarakat sepanjang 12 bulan lalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan