Skip to main content

Singapura

PERGAS meterai MoU dengan ASME, perkukuh peranan asatizah pacu pertumbuhan perusahaan tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan pengetahuan budaya yang mendalam serta penguasaan bahasa seperti Arab dan Bahasa Indonesia, para asatizah tempatan kini boleh memainkan peranan dalam pembangunan keusahawanan setempat dengan peluang kerjaya membantu firma-firma Singapura mengemudi pasaran seperti di Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ASEAN dan Amerika Latin.

Ini menyusuli pemeteraian satu Memorandum Persefahaman (MoU) selama dua tahun, antara Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME) pada Rabu (13 Mei).
Related article image
MoU itu dimeterai oleh CEO PERGAS, Nurdiana Hanim Abdul Rahman (paling kanan, depan) dan Naib Presiden ASME, Hamidah Aidillah (paling kiri, depan), serta disaksikan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim. (Gambar: Nur Athirah Karim/BERITA Mediacorp)

ASME pula akan menyokong perniagaan — termasuk yang diterajui asatizah — untuk berkembang ke pasaran antarabangsa melalui program di bawah naungannya seperti SME UNITE.

ASME juga akan memperluas manfaat keanggotaan kepada para asatizah dengan memberikan akses kepada sumber dan set peralatan atau 'toolkit' yang menyokong pengetahuan keusahawanan serta pembangunan profesional termasuk cara memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).

MoU itu dimeterai oleh CEO PERGAS, Nurdiana Hanim Abdul Rahman dan Naib Presiden ASME, Hamidah Aidillah.

LEBIH DARIPADA KEMAHIRAN LINGUISTIK, PARA ASATIZAH JUGA MAMPU TELITI DINAMIK PASARAN SASARAN

Mengulas tentang peranan asatizah dalam MoU tersebut, Ustazah Nurdiana Hanim menekankan bahawa peranan asatizah menjangkaui kemahiran linguistik semata-mata.

Menurut beliau, asatizah juga berupaya menganalisis dinamik pasaran sasaran untuk memahami keperluan pengguna serta mengenal pasti peluang perniagaan —terutamanya di negara-negara Teluk (GCC), yang memerlukan pemahaman mendalam terhadap nilai dan konteks budaya setempat.

Related article image
Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) selama dua tahun, antara Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME) pada Rabu (13 Mei) di Maybank Tower. (Gambar: Nur Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
"Sebagai contoh, mereka bukan sahaja menterjemah ayat tetapi menterjemah makna nilai dan konteks-konteks budaya supaya mesej yang disampaikan tepat dan bermakna dan mereka dapat menilai impak komunikasi, risiko budaya dan strategi penyesuaian yang diperlukan sebelum masuk ke pasaran baharu seperti GCC," jelas Ustazah Nurdiana.

Bagi peluang perniagaan bagi pasaran GCC dan Amerika Latin, Cik Hamidah menyatakan bahawa ia masih kurang diterokai oleh perusahaan tempatan bahkan dari Asia juga.
Related article image
Naib Presiden ASME, Hamidah Aidillah. (Gambar: Nur Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Justeru, penglibatan asatizah boleh membantu perniagaan menembusi pasaran itu yang menawarkan potensi pertumbuhan merentasi pelbagai sektor — daripada bidang IT hingga tenaga, melibatkan perusahaan kecil mahupun besar.

"Sebenarnya, ada banyak potensi dan banyak peluang dalam pelbagai bidang bukan saja dalam bidang IT tetapi sekarang dalam bidang tenaga, dalam banyak lagi bidang-bidang perniagaan yang kecil dan juga besar," jelasnya.


MoU PERGAS & ASME "CONTOH YANG BAIK" SEJAJAR DENGAN SARANAN ESR, SOKONG MATLAMAT LUAS JAWATANKUASA DAYA EKONOMI

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan di Maybank Tower pada Rabu (13 Mei).

Naib Presiden Eksekutif di Maybank, Saktiandi Supaat yang juga merupakan Pengerusi bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi berkata usaha ini sejajar dengan salah satu saranan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) iaitu untuk membantu lebih banyak syarikat Singapura berkembang ke peringkat global.
"Saya melihat sendiri bagaimana akses kepada jaringan yang tepat, kefahaman budaya dan pengetahuan pasaran boleh menentukan kejayaan sesebuah perniagaan untuk berkembang ke luar negara dan di dalam negara asing itu sendiri.
Related article image
Naib Presiden Eksekutif di Maybank, Saktiandi Supaat yang juga merupakan Pengerusi bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Inilah contoh bagaimana kekuatan masyarakat dapat menyokong keperluan perniagaan. Bersama-sama, PERGAS & ASME bekerjasama, dapat membuka lebih banyak peluang baru untuk perniagaan dan golongan karyawan," jelas Encik Saktiandi.

Pembentukan Jawatankuasa Daya Ekonomi diumumkan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada 10 April lalu.

Jawatankuasa itu kini sedang meneliti saranan ESR serta merangka strategi untuk memanfaatkan peluang, mewujudkan pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan gaji, khususnya bagi pekerja serta perniagaan dalam masyarakat Melayu/Islam.

Jawatankuasa itu diterajui bersama Encik Saktiandi dan Pengarah Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita