Skip to main content

Singapura

PERGAS mahu anjur bengkel tentang LGBTQ untuk asatizah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) akan menganjurkan bengkel latihan untuk mempersiapkan golongan asatizah dengan kemahiran dalam memberi bimbingan dalam isu berhubung tarikan sesama jenis.

Ini menyusuli penerbitan panduan agama tentang 'Tarikan Sesama Jenis dari Perspektif Islam' yang diterbitkan persatuan itu baru-baru ini.
Presiden PERGAS Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid berkata rancangan untuk menghasilkan panduan agama tersebut sebenarnya sudah dimulakan pada 2019.

"Bimbingan agama ini bukanlah sesuatu yang timbul akibat pemansuhan Seksyen 377A tetapi ia lebih kepada kajian yang telah kami dapatkan dari Institut Pengajian Dasar (IPS) yang bertajuk 'Agama, Moral dan Konservatisme di Singapura'. Kajian itu mendapati bahawa begitu ramai, khususnya golongan muda, yang lebih bersikap terbuka terhadap isu golongan 'lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer' atau LGBTQ. Bahkan setiap tahun, keterbukaan sikap itu semakin meningkat," kata Presiden PERGAS, Muhammad Tarmizi Abdul Wahid kepada koresponden Rosli A Razak.

Proses untuk menghasilkan panduan agama itu melibatkan perbincangan dengan pelajar institut pengajian tinggi, guru, para kaunselor, asatizah dan juga penyokong LGBTQ.

KETENGAHKAN 5 PERKARA TENTANG HUBUNGAN SESAMA JENIS

Ustaz Tarmizi berkata isu berkaitan LGBTQ begitu luas namun sebagai langkah pertama, PERGAS memilih untuk memberikan tumpuan terhadap satu isu terlebih dahulu iaitu tarikan sesama jenis.

"Kalau saya boleh rumuskan, ada lima perkara utama yang kami ketengahkan. Yang pertama, adalah pemahaman kita mengenai konsep identiti, cinta dan kebahagiaan yang mana kita banyak mendengar dalam kempen-kempen yang dianjurkan oleh pihak yang menyokong ataupun berusaha untuk ke depan isu-isu LGBTQ, mereka sentiasa membangkitkan tiga perkara ini.

"Jadi apa yang wujud di dalam panduan agama PERGAS ini adalah bahawasanya konsep identiti, cinta dan kebahagiaan itu berakar dalam prinsip syariah dan bukan pada jangkaan sosial ataupun apa yang 'trending' sekarang ini. Yang keduanya adalah perbuatan seksual antara sesama jantina adalah dilarang di dalam Islam. Namun begitu, keinginan tersebut jika tidak dilaksanakan tidak boleh dihukum. Keinginan itu perlu diuruskan oleh individu tersebut supaya ia tidak memberikan pengaruh terhadap tindakannya. Yang ketiga, adalah masyarakat Islam seharusnya menerapkan prinsip Wasaá¹­iyah - kesederhanaan dalam menangani dan juga memberi respons terhadap isu ini. Yang keempat adalah, individu Muslim yang mengalami tarikan sama jenis atau mengenal pasti diri mereka sebagai LGBTQ dinasihatkan untuk memperkukuhkan iman mereka sebagai seorang Muslim dan menguruskan jangkaan mereka terhadap institusi agama serta komuniti Muslim secara umum," kata Ustaz Tarmizi.

Yang terakhir, tambah beliau, adalah bagi seseorang Muslim untuk "menjadi seorang pelajar dan penerima maklumat yang bertanggungjawab" apabila mereka berhadapan dengan kandungan berkaitan perhubungan sesama jenis di media sosial.

"Antara cabaran yang utamanya adalah maklumat yang tersebar luas dan pengaruh-pengaruh yang begitu kuat yang membiasakan ataupun apa menjadi normal ke arah perkara ini sehingga ramai orang lebih terdedah dengan isu ini, dan mungkin terlupa ataupun tidak lagi dipandu dengan prinsip dan nilai-nilai agama yang seharusnya mereka tahu. Filem-filem yang mereka tonton dan sebagainya karena kebanyakan ini kalau kita lihat di negara-negara lain khususnya, dan juga sekarang di tanah air kita, ia agak terbuka dan akhirnya mungkin ia mempengaruhi gaya hidup mereka juga," tegas Ustaz Muhammad Tarmizi.

Maka itu, sebagai sebuah badan kepimpinan agama, PERGAS, merasakan penting untuk menegakkan pembentukan institusi keluarga melalui pernikahan antara seorang lelaki dan seorang wanita.

PERSIAPKAN GOLONGAN ASATIZAH

Menurut Ustaz Tarmizi, semakin ramai asatizah kini yang berhadapan dengan soalan-soalan berkaitan hubungan sesama jenis.

Hal itu juga kata beliau mendorong PERGAS untuk lebih bersungguh-sungguh dan mempercepatkan lagi penghasilan dan penerbitan panduan agama tersebut.

"Kami berharap para asatizah akan ke depan dan mereka berani untuk mungkin berbincang isu ini, yakin dengan diri mereka untuk menjawab soalan- soalan yang datang kepada mereka berkaitan isu itu dengan menggunakan panduan ini," ujar beliau.

Beliau berkata bengkel-bengkel akan diadakan dalam masa enam bulan akan datang untuk melatih para asatizah cara-cara mendekati isu LGBTQ dengan lebih berkesan.

"PERGAS akan menganjurkan beberapa bengkel khas untuk para asatizah yang ingin memahami dengan lebih lanjut bagaimanakah boleh mereka gunakan panduan agama ini untuk diri mereka sendiri dan juga untuk mungkin pelajar-pelajar mereka ataupun orang-orang yang datang kepada mereka bertanyakan soalan berkaitan."

"Para asatizah juga akan menghadiri kursus-kursus latihan kemahiran dari sudut kaunseling dan komunikasi supaya mereka lebih bersedia sekiranya ada sebarang krisis dan sebagainya. Juga bagi asatizah sendiri, mereka akan diberikan latihan yang akan mungkin dapat membantu para kaunselor, ahli terapi, penyokong LGBTQ dan sebagainya yang mungkin mahukan pandangan dari sudut agama," tambah beliau.

Selain itu, ada juga rancangan untuk menghasilkan panduan lebih mudah untuk masyarakat lebih luas seperti para guru dan juga ibu bapa.

"Mungkin untuk sesetengah pihak lebih mudah untuk mereka memahami sekiranya kami dapat olah dengan cara yang lebih ringan, yang lebih mudah bahasanya, yang lebih langsung. Kami akan usahakan ini. Dalam perancangan kami ada sebahagiannya akan dikeluarkan di media sosial kami. Sesetengahnya mungkin akan kami adakan rancangan atau siri ceramah dan sebagainya supaya setiap lapisan masyarakat dapat menghayati panduan itu mengikut kemampuan mereka dan mengikut kebolehan mereka, sesuai dengan cabaran yang mungkin mereka hadapi.

"Kami didatangi ibu bapa yang khuatir dengan pengaruh di sekeliling anak-anak mereka. Anak-anak remaja dan ada juga pihak-pihak seperti kaunselor di sekolah-sekolah dan guru-guru sekolah kerana murid-murid mereka. Setiap lapisan masyarakat memerlukan sesuatu. Jadi kami berharaplah apa yang kami usahakan ini akan mendatangkan manfaat kepada mereka yang memerlukannya," jelas beliau.

Tambahnya, topik hubungan sesama jenis adalah permulaan dan akan dikembangkan lagi untuk meliputi isu-isu yang lebih rumit.

Ia akan dilakukan dengan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk golongan intelektual dan akademik.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita