PERGAS lancar Pusat Pembangunan & Kepimpinan Asatizah serta biasiswa sarjana muda
SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) melancarkan dua inisiatif baharu bagi memperkasa golongan asatizah dalam majlis Gema Kesyukuran 2024 pada Ahad (3 Mac).
Yang pertama adalah sebuah pusat untuk Pembangunan dan Kepimpinan Asatizah (CRADLE).
Pusat baharu itu dijangka akan menjadi tumpuan bagi ekosistem yang komprehensif untuk para asatizah.
Di bawah CRADLE, lebih ramai asatizah diharap dapat dilatih untuk dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran untuk mengendalikan dan memperluas program seperti Insan Mukmin.
Ia juga akan meningkatkan lagi usaha dalam membina keupayaan asatizah untuk mengatasi isu-isu seperti kesihatan mental dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut PERGAS, ini lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan isu-isu yang boleh mencetus pelbagai emosi dan kedukaan dalam masyarakat seperti apa yang sedang berlaku di Gaza.
"Pusat Pembangunan dan Kepimpinan Asatizah adalah untuk kita menggilap potensi asatizah generasi baharu dengan mendampingkan mereka bersama asatizah generasi dahulu dan yang masih aktif lagi sekarang ini," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), PERGAS, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman.
"Asatizah perlu memainkan peranan dengan lebih jitu, dengan penuh keyakinan apabila mereka memberi kepimpinan dan pendidikan Islam lebih-lebih lagi dengan adanya norma-norma baharu dan perkara-perkara yang menjangkaui sempadan keagamaan. Jadi para asatizah perlu rasa yakin dengan ajaran mereka dengan sentiasa membangunkan ilmu mereka dan sentiasa melalui latihan bagi memperkasakan ilmu dan juga kemahiran mereka," tambahnya.
Satu lagi tumpuan yang ingin diperkukuh menerusi pembangunan CRADLE ialah rangkaian penyelidik dalam kalangan asatizah untuk menyokong PERGAS.
Ini sedang mereka memperluaskan lagi penyelidikan dalam pelbagai bidang bagi isu-isu sosio-agama yang menjejas asatizah dan masyarakat Islam.
BIASISWA BAHARU DILANCAR UNTUK GRADUAN MADRASAH LANJUTKAN PELAJARAN DI PERINGKAT SISWAZAH
Allahyarham merupakan ulama perintis PERGAS yang dikenali dengan kemahiran menulisnya.
Ia dikhususkan untuk graduan madrasah yang melanjutkan program-program sarjana muda sepenuh masa dalam Pengajian Islam, Kewangan Islam, Pendidikan Islam dan Kaunseling.
"Sebenarnya, PERGAS sudah memberikan biasiswa bertahun-tahun lamanya tetapi biasiswa tersebut adalah untuk para pelajar ataupun para graduan madrasah yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat pos-siswazah. Barulah tahun ini, selepas kita berbual dengan rakan-rakan dan juga dengan pelajar-pelajar madrasah, ada keperluan di situ untuk kita menyebarkan lagi bantuan dari sudut menyokong pengajian mereka di peringkat universiti kepada asatizah yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat siswazah," ujar Ustazah Nurdiana kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Jumlah S$30,000 diperuntukkan bagi biasiswa itu setiap tahun.
PERGAS akan mengumumkan lebih banyak perincian mengenai kedua-dua inisiatif baharu itu dalam masa terdekat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.