Skip to main content

Singapura

PERGAS lancar platform rangkaian asatizah, perkukuh peranan dan jaringan asatizah tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah platform bagi menghimpunkan golongan asatizah dari pelbagai kepakaran untuk berkolaborasi dan mempertingkat kemahiran dilancarkan pada Sabtu (4 Okt).

Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN) yang diperkenalkan oleh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) itu bertujuan mempersiap para asatizah dalam menangani keperluan masyarakat Islam yang kian pelbagai.

APVN ditubuhkan di bawah Pusat Pembangunan dan Kepimpinan Asatizah Pergas (CRADLE), sebagai satu ruang berstruktur untuk para asatizah.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Max Atria, Singapore EXPO itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong, dengan kehadiran Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Presiden PERGAS, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.

APVN SEBAGAI WADAH HUBUNGKAN PARA ASATIZAH DENGAN MASYARAKAT MEMERLUKAN BANTUAN

Dalam ucapannya, Ustaz Tarmizi berkata bahawa dalam dunia yang kian kompleks, peranan asatizah kini melangkaui batas tradisional.

“Asatizah bukan lagi sekadar guru atau pendakwah. Mereka juga kaunselor, penyelidik, pembuat dasar, pengantara, dan bahkan penginovasi teknologi. APVN akan menghubungkan mereka dengan komuniti yang memerlukan dan menyediakan latihan yang relevan dengan cabaran masa kini,” ujar beliau.

Lantaran itu, pelancaran APVN bukan sekadar satu inisiatif sahaja.

Ia merupakan wadah untuk menghubungkan para asatizah kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

Ustaz Tarmizi berkata: "Ia sebuah ruang bagi asatizah untuk berani melangkah ke ruang yang belum diterokai. Walaupun memelihara tradisi kekal penting, kita tidak lagi boleh terikat kepada lingkungan tradisional semata-mata. Kerana wad hospital, katil pesakit, sel penjara, dan bilik mesyuarat korporat — semuanya juga adalah pentas dakwah dan khidmat kita."

"APVN akan membekalkan mereka dengan latihan yang disesuaikan dengan cabaran masa kini. Menggabungkan panduan abadi Islam dengan realiti kompleks kehidupan moden," tambah Ustaz Tarmizi.
Related article image
Sesi bergambar bersama Perdana Menteri Lawrence Wong (tengah) semasa di majlis pelancaran Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN) (Gambar: Nurhelmy Hakim)
PENUBUHAN APVN LANGKAH BERMAKNA UNTUK PERKUKUH PERANAN ASATIZAH SG

Semasa berucap di majlis pelancaran rangkaian itu di Singapore EXPO, Perdana Menteri Lawrence Wong menyifatkannya sebagai satu “langkah bermakna untuk memperkukuh peranan asatizah di Singapura”.

PM Wong berkata: "Asatizah kita memainkan peranan penting dalam dunia yang semakin kompleks. Mereka membimbing masyarakat Islam kita menghadapi cabaran masa kini dan mengamalkan agama dengan yakin dalam masyarakat majmuk Singapura sambil terus memupuk keharmonian antara kaum."
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong semasa memberi ucapan di Majlis Pelancaran Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (Gambar: Nurhelmy Hakim)
PM Wong menegaskan bahawa asatizah adalah “pemimpin yang dihormati, dipercayai untuk membimbing masyarakat kita dalam dunia yang semakin kompleks”.

Menurut PM Wong, APVN akan mengukuhkan sokongan dalam kalangan asatizah, membolehkan mereka belajar daripada kekuatan dan pengalaman antara satu sama lain.

“Dengan APVN, asatizah kita akan mempunyai lebih banyak peluang untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura — dalam penjagaan pesakit, mendampingi belia berisiko, dan memperkukuh fabrik sosial kita,” kata PM Wong.

Dr Faishal pula berpendapat bahawa APVN ditubuhkan tepat pada masanya kerana ia menghimpunkan ilmuwan agama, golongan karyawan dan para relawan.

Dr Faishal berkata: "Ia juga menggalak kerjasama, membuka peluang untuk menimba ilmu daripada satu sama lain, dan juga menyediakan ruang bagi pembangunan profesional para anggotanya. Ini bagi memastikan asatizah kita disokong dalam perjalanan mereka untuk berkhidmat dengan berkesan merentas pelbagai sektor."
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
"Saya berharap agar rangkaian ini menjadi wadah yang kukuh untuk meluaskan peranan asatizah dan membolehkan mereka untuk terus cemerlang dalam ruang keagamaan mahupun ruang sivik," tambah beliau.

PELUASAN BIASISWA PERGAS UNTUK SOKONG STRUKTUR APVN

Sebagai sebahagian daripada pelancaran APVN, PERGAS turut mengumumkan peluasan kriteria Biasiswa Possiswazah PERGAS.

Dalam hal itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERGAS, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman berkata: "Biasiswa ini sebenarnya sudah ditawarkan sejak beberapa tahun lalu (tahun 2007) tetapi hanya menumpukan kepada pengajian bidang sektor keagamaan. Memandangkan ada keperluan di luar sektor keagamaan untuk melatih para asatizah, PERGAS terbuka untuk menyokong para asatizah yang berminat."

Kami juga faham ada keperluan untuk para asatizah berkhidmat di institusi kesihatan seperti hospis, institusi sosial seperti rumah-rumah kebajikan. Kerjasama mengembangkan lagi perkhidmatan asatizah semestinya memerlukan sokongan bukan sahaja dari pihak organisasi Melayu/Islam tetapi juga agensi kesihatan. Para asatizah belum mempunyai rangkaian untuk turun padang ke institusi-institusi kesihatan sebegitu," jelas Ustazah Nurdiana lagi.

Mulai tahun depan, kriteria biasiswa itu akan diperluas daripada hanya pengajian Islam kepada antaranya bidang gerontologi, penglibatan belia, dan penjagaan paliatif — bidang-bidang yang dilihat penting untuk memenuhi keperluan masyarakat Muslim yang semakin pelbagai.

“Kita mesti melabur dalam asatizah yang bukan sahaja bersemangat, tetapi juga terlatih secara profesional. Mereka inilah yang akan menyentuh bahagian paling rapuh dalam masyarakat — anak muda yang mencari arah, ibu bapa yang menua, pesakit yang sakit, dan keluarga yang berduka,” kata Ustaz Tarmizi.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.