Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERGAS kutuk keras serangan Israel terhadap penduduk Palestin

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) "mengecam keras" serangan tentera Israel terhadap penduduk Palestin dan jemaah yang sedang mengerjakan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
PERGAS kutuk keras serangan Israel terhadap penduduk Palestin

Tentera Israel lontar bom renjatan ke arah rakyat Palestin di pekarangan Al-Aqsa pada 7 Mei 2021 (Gambar: Ahmad GHARABLI/AFP)

BERITAmediacorp: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) "mengecam keras" serangan tentera Israel terhadap penduduk Palestin dan jemaah yang sedang mengerjakan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu.

Badan itu menyatakan demikian melalui satu kenyataan media yang dikirimkan pada Selasa (11 Mei).

Dalam kenyataan itu, PERGAS juga menggesa agar Israel menghentikan tindakan mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka untuk menempatkan pendatang Yahudi.

PERGAS menambah, ia sangat prihatin terhadap "serangan yang telah mencederakan lebih seratus rakyat Palestin dan orang Islam yang lain, lebih-lebih lagi ia berlaku di persekitaran Masjid Al-Aqsa dan di dalam bulan Ramadan.

Dalam kenyataan itu, PERGAS mengingatkan bahawa ajaran agama Islam melarang umatnya sendiri untuk menceroboh dan merosakkan tempat ibadah agama lain.

Pengajaran itu, menurut badan itu, tidak hanya tertumpu kepada umat Islam bahkan kepada semua.

Menurut PERGAS, kedamaian hanya dapat dicapai sekiranya kezaliman dan penindasan Israel dihentikan.

Ia menyifatkan langkah mengusir penduduk Palestin dari kediaman mereka di sekitar Baitulmakdis dan kawasan Sheikh Jarrah sebagai "tidak berperikemanusiaan" serta melanggar hak asasi manusia serta mencabuli etika hubungan antarabangsa.

Israel, menurut PERGAS, harus menghormati hak-hak dan kebebasan pemerintahan Palestin untuk memimpin penduduk wilayah itu secara aman.

Namun demikian, PERGAS menyeru masyarakat Islam Singapura agar bertenang dalam menerima berita keganasan itu.

Semalam, MUIS juga melahirkan rasa "amat prihatin dan berdukacita" berhubung keganasan-keganasan yang berlaku terhadap para jemaah di Masjid Al-Aqsa.

MUIS menyatakan masjid-masjid di merata Singapura akan memanjatkan doa memohon keamanan dalam hari-hari terakhir Ramadan ini dan menggesa masyarakat Islam supaya turut melakukan serupa.

"MUIS sangat bersetuju dengan pendirian Singapura yang menyokong huraian dua negara dengan Israel dan Palestin hidup sebelah-menyebelah dalam keadaan aman dan selamat," menurut kenyataan MUIS pada Isnin (11 Mei).

Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin juga mengeluarkan kenyataan media bahawa Singapura melahirkan keprihatinan amat mendalam berhubung keganasan yang berlaku di Baitulmakdis, termasuk di Haram al-Sharif dan Sheikh Jarrah sejak kebelakangan ini.

MFA menggesa semua pihak yang terlibat supaya bertindak dengan berhati-hati dan menghentikan semua keganasan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan