Skip to main content

Singapura

PERGAS keluarkan hujah Al Quran, perlunya laporkan individu radikal kepada pihak berkuasa

Ia menyatakan demikian dalam satu kenyataan media hari ini (15 Jun) sebagai mengulas penangkapan Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari atau 'Izzah'

Anggaran Waktu Membaca:
PERGAS keluarkan hujah Al Quran, perlunya laporkan individu radikal kepada pihak berkuasa

Logo PERGAS. (Gambar: Laman Islamic Events)

Diterbitkan : 15 Jun 2017 08:53PM Dikemas Kini : 15 Jun 2017 09:02PM

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (PERGAS), menekankan bahawa mana-mana kumpulan berfahaman radikal yang cenderung menumpahkan darah orang-orang yang tidak bersalah, adalah bertentangan dan langsung tidak mempunyai kaitan dengan ajaran Islam.

Ia menyatakan demikian dalam satu kenyataan media hari ini (15 Jun) sebagai mengulas penangkapan Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari atau 'Izzah' - iaitu wanita pertama di Singapura diberkas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi kegiatan berkaitan pengganasan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA), Izzah yang dicekup bulan ini menyatakan "dia bersedia menjalani latihan tentera dan terbabit dalam pertempuran bersenjata untuk mempertahankan ISIS, jika diminta oleh kumpulan pengganas itu supaya berbuat demikian".

Related article image
Wanita yang didakwa Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari atau Izzah.

PERGAS: MAINKAN PERANAN "PROAKTIF" JIKA KELUARGA TUNJUKKAN TANDA MENCURIGAKAN

Dalam kenyataan tersebut, PERGAS menambah, ajaran Islam yang sebenarnya mengajak kepada keadilan, kedamaian, kebebasan beragama, melindungi golongan yang lemah dan menyebarkan kebaikan.

Tindakan ISIS menurutnya, perlu dikecam dan masyarakat Islam tidak sewajarnya menyokong perjuangan ataupun bersimpati dengan kumpulan ini.

Lantaran itu, PERGAS menasihatkan dan menggesa masyarakat serta para ibu bapa supaya "memainkan peranan proaktif dengan merujuk kepada pihak berkuasa, jika mengesyaki terdapat sebarang tanda-tanda mencurigakan pada anggota keluarga".

Ini termasuklah tanda-tanda seperti mengumpul maklumat tentang ISIS atau menunjukkan keinginan untuk ke Syria bagi membantu perjuangan ISIS.

ANJURAN SURAH AL-MAIDAH

PERGAS menyifatkan langkah tersebut sebagai sikap saling bantu membantu dalam perkara kebaikan dan bersikap prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Ini menurutnya, bersesuaian dengan anjuran Al-Quran dalam surah Al-Ma’idah, ayat 2, yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”

Tindakan proaktif seperti ini, tambah PERGAS lagi, dapat mencegah lebih awal ahli keluarga atau individu daripada terlibat dengan gejala seperti ISIS atau membuat sesuatu yang merugikan dan bersalahan di sisi agama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita