Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERGAS buka ruang hijau, libatkan asatizah bagi pupuk sifat cinta pada gaya hidup mesra alam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (PERGAS) merasmikan pembukaan ruang hijau di ibu pejabatnya Paradise@PERGAS di Changi Road pada Rabu (1 Mac).

Projek itu diharap dapat melibatkan sama para asatizah dalam usaha memupuk rasa cinta dan timbulkan keprihatinan masyarakat terhadap isu-isu alam sekitar.
(Gambar: PERGAS)
Ruang hijau itu juga mempunyai tanam-tanaman seperti lobak, terung, bendi dan pelbagai herba unik lain seperti balsem limau dan bayam Brazil.
(Gambar: PERGAS)

Tanaman yang dikelolakan duta-duta hijau dari PERGAS dan para sukarelawan awam itu bertujuan untuk membimbing masyarakat Melayu/Islam untuk mengorak langkah kepada arah gaya hidup yang lebih mesra alam.

"Kami sebagai golongan asatizah ingin memupuk kepada rakyat Singapura khususnya masyarakat Islam tentang peri pentingnya kita bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar, sebenarnya kita ingin menjadi khalifah yang terbaik di atas muka bumi ini. Jadi bukan sahaja dengan sifat tak mahu membazir tetapi menyayangi ciptaan-ciptaan Allah," kata Ustazah Nur Khadijah Ramli, Ketua Duta Ruang Hijau PERGAS.

(Gambar: Nurfazirah Azman)

ADA BENGKEL TENTANG PERTANIAN IKAN DAN AKUAPONIK

Jurucakap PERGAS, Ustaz Abdul Majeed,memberitahu BERITAMediacorp bahawa Duta Ruang Hijau terdiri daripada para asatizah yang berkhidmat di dalam Majlis Tertinggi PERGAS (MTP) dan kakitangan PERGAS.

Beliau yang juga merupakan Peneraju Projek itu berkongsi lanjut tentang peranan PERGAS dalam mendorong dan memupuk asatizah-asatizah untuk turut prihatin tentang isu-isu alam sekitar.

(Gambar: Nurfazirah Azman)

Selain menguruskan tanaman-tanaman, para asatizah juga diberi peluang mengikuti pelbagai bengkel seperti kaedah pertanian yang menggabungkan unsur-unsur akuakultur dan hidroponik.

"Kami akan mendapatkan lebih ramai relawan untuk kenali PERGAS dan sertai secara 'hands-on'. Kami berharap untuk memberi motivasi dan mendorong mereka serta memberikan latihan. Jadi dengan cara ini, mereka akan lebih memahami ruang hijau di PERGAS," ujar beliau.

(Gambar: Nurfazirah Azman)

Inisiatif terbaru PERGAS itu dirasmikan Menteri Negara bagi Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim dalam satu majlis pada Rabu pagi.

"Saya rasa gembira kerana PERGAS turun padang, memainkan peranan dan memberi ruang bagi masyarakat kita untuk bukan sahaja mengambil bahagian dalam inisiatif ini tapi menghayati dan menerapkan dalam kehidupan kita," kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim.

"Dengan adanya ruang hijau PERGAS ini, ia memantapkan usaha kita dari segi masyarakat Islam dan juga masyarakat Singapura secara keseluruhannya, tambah beliau.

(Gambar: Nurfazirah Azman)
Menurut kakitangan PERGAS, Encik Ahmad Sofiy, idea membina ruang hijau itu tercetus pada akhir tahun 2020 semasa pembangunan pelan strategik PERGAS bagi tahun 2021 hingga 2024.

Tambah beliau, PERGAS memikirkan bahawa ia adalah cara yang baik untuk membuka ruang kepada para asatizah untuk mendekati masyarakat Islam Singapura khususnya dalam mendidik orang awam tentang peri pentingnya untuk menjaga alam sekitar dan mengelak dari pembaziran makanan.

Projek ruang hijau yang terletak di bangunan Paradise@PERGAS di Changi Road itu juga diilhamkan bagi menyokong Pelan Hijau Singapura 2030.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan