Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERGAS bentang 3 tumpuan untuk asatizah dan masyarakat bagi tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
PERGAS bentang 3 tumpuan untuk asatizah dan masyarakat bagi tahun ini

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) akan tingkatkan lagi usaha membina kepakaran golongan asatizah, memperhebatkan lagi usaha mendampingi masyarakat serta memupuk pelapis dalam kalangan asatizah muda.

Demikian antara pelan tindakan yang dibentangkan PERGAS semasa acara perjumpaan Hari Raya bersama 150 asatizah, sukarelawan dan penderma pada Ahad (29 Mei).

Acara yang kembali diadakan secara fizikal selepas dua tahun itu turut dihadiri tetamu terhormat, Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal dalam Negeri, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.


TINGKATKAN KEPAKARAN ASATIZAH

Bagi memperkayakan kemahiran para asatizah untuk mendampingi dan  membantu masyarakat, PERGAS akan menumpukan kemahiran dalam bidang kaunseling.

Sejauh ini, para asatizah yang mengikuti program Diploma Pos-siswazah dalam bidang Kaunseling Islam diberi peluang untuk menjalani latihan praktikal mereka di madrasah-madrasah, masjid-masjid dan pusat-pusat pemulihan seperti Rumah Peralihan Pertapis dan badan-badan kaunseling seperti Club HEAL.

Ini agar para asatizah dapat mendampingi masyarakat dengan lebih berkesan lagi.


"Kita sedang membangunkan program kaunseling kita untuk melahirkan ramai asatizah kita dalam bidang kaunseling dan kita sedang mendapatkan pengakuan daripada pusat-pusat kaunseling dunia dan juga Singapura supaya mengakui program kaunseling kita, demi untuk kita melaksanakan tugas kita sebagai kaunselor," kata Presiden PERGAS, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan.

Di samping itu, PERGAS juga ingin membangunkan pusat latihan dan kajian untuk mendalami tiga bidang ukhrawi - Usul Fiqh, Usul Hadith dan Usul Tafsir.

PERGAS merancang untuk bekerjasama dengan para pakar dan rakan rakan kerja bagi membangunkan pusat tersebut. 

Pusat itu juga akan menawarkan tiga program kaunseling dan satu latihan pemulihan.

LEBIH KANDUNGAN UNTUK MENDEKATI MASYARAKAT

Lebih banyak usaha mendampingi masyarakat menerusi kandungan dan panduan keagamaan juga menjadi tumpuan PERGAS tahun ini.

Ini antara lain dengan menghasilkan bahan-bahan online yang boleh dijadikan panduan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha, pihaknya baru sahaja menghasilkan panduan mengenai keganasan rumah tangga, yang boleh dimuat turun.

Ia berharap dapat menghasilkan banyak lagi bahan seperti video dan siri dokudrama pada masa akan datang.

Sebelum ini, PERGAS sudah melancarkan sebuah geran yang bernama Geran Dakwah Kreatif bagi menyokong usaha menghasilkan karya-karya kreatif berbentuk digital untuk media sosial.

Sebanyak lima kumpulan berjaya mendapatkan geran tersebut yang bernilai S$10,000 secara keseluruhan.

Memandangkan sambutan yang memberangsangkan, PERGAS bakal membuka permohonan bagi geran itu setiap tahun.

PERGAS juga merancang untuk mengeluarkan tiga panduan keagamaan tentang isu LGBT, pengaraban atau 'arabisation' serta kepimpinan bukan Islam untuk kumpulan minoriti Muslim.  


Selain kandungan video, PERGAS juga merancang untuk memperbanyakkan kandungan audio sehingga tiga program seminggu. 

Ini bermakna sebanyak 144 episod akan diterbitkan setiap tahun.
 
Selain itu PERGAS juga akan bekerjasama dengan madrasah untuk mempertingkatkan sistem pengurusan perpustakaan mereka dan sistem pementoran dengan pegawai madrasah juga. 

PUPUK PELAPIS ASATIZAH MASA DEPAN

PERGAS juga akan meningkatkan usaha memupuk pemimpin masa depan, dengan menjalin lebih banyak kerjasama dengan asatizah yang lebih berpengalaman.
 

Ustaz Qusairy berkongsi lebih lanjut: “Contohnya (untuk) asatizah muda, kita adakan program pementoran dengan asatizah yang mapan bagaimana mereka ada program bersama.”

“Kita boleh melatih para asatizah muda mungkin terlibat dalam aktiviti-aktiviti penting dalam kemasyarakatan ataupun dalam persatuan agar mereka boleh 'sit in' untuk belajar daripada asatizah yang mapan ini,” kata Ustaz Qusairy.

Ustaz Qushairy menambah, pelan-pelan tersebut dapat membolehkan PERGAS untuk semakin berkembang dan menjadi satu institusi penting untuk asatizah dan juga masyarakat di Singapura.

“Pelan-pelan ini sebenarnya dilakarkan untuk memastikan bahawa PERGAS dan juga asatizah kekal relevan dalam masyarakat yang rencam,” ujar Ustaz Qusairy. 

Selain bidang keagamaan, PERGAS akan memulakan Gerakan Hijau PERGAS yang mengajak para asatizah untuk kurangkan pembuangan sisa dan jejak karbon sekali gus menjadikannya sebuah pertubuhan yang mesra alam dan berteknologi tinggi. 

Untuk itu, PERGAS akan mendapatkan khidmat pihak ketiga tentang perubahan ke arah budaya mesra alam itu. 

SOKONG INISIATIF GARIS PANDUAN GAJI (CSG) ASATIZAH

Dalam kesempatan itu, PERGAS menyambut baik skim Garis Panduan Gaji (CSG) untuk asatizah yang diumumkan semasa Pelan Kerja MUIS 2022 pada Sabtu (28 Mei).

“‘Pada awal tahun ini, PERGAS telah mengambil langkah yang hampir sama tapi untuk PERGAS kita sangat gembira kerana skim ini dikembangkan kepada asatizah di masjid dan juga di madrasah. 

“Kita telah dan sedang bekerjasama dengan MUIS dalam inisiatif-inisiatif penting ini yang ada berkaitan dengan asatizah,” jelas Ustaz Qushairy.

PERGAS kini sedang membangunkan model gaji progresif bagi kakitangan asatizah dan anggotanya. 

Di bawah model tersebut, asatizah yang bertugas di PERGAS dan memegang jawatan peringkat eksekutif ke atas boleh mendapat gaji antara $2,400 hingga $7,500.   

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan