PERGAS amat marah dengan tinjauan lucah terhadap asatizah wanita S'pura
PERGAS amat marah dengan tinjauan lucah terhadap asatizah wanita S'pura.
Logo PERGAS. (Gambar: Laman Islamic Events)
SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) tampil bersuara dan menyifatkan tinjauan lucah terhadap para asatizah wanita tempatan sebagai menimbulkan kemarahan yang amat sangat dan mengecewakan.
PERGAS juga memandang serius perkara itu dan sedang merujuk kepada para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang.
Ia menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp hari ini (27 Mei) tentang satu tinjauan lucah ke atas sekitar 30 asatizah wanita tempatan.
Wujud dua tinjauan online yang muncul itu mengajukan soalan "Ustazah mana patut kena gangbang?" - yang bermaksud dirogol beramai-ramai - serta 'Gangbang Ustazah mana?'.
Menerusi petikan gambar yang dikongsi oleh salah seorang mangsa, Ustazah Fatin Afika, tinjauan bertarikh 25 Mei yang pada ketika itu masih dibuka, sudah menerima 245 undi. Manakala satu lagi tinjauan bertarikh 15 April pula mendapat 1,005 undi.
PERGAS memberitahu BERITAmediacorp, ia sudahpun menghubungi para asatizah, badan-badan pelajar dan bercakap kepada agensi-agensi relevan untuk memastikan para asatizah yang terjejas diberi sokongan.
Para asatizah yang terjejas akan diberi jagaan yang wajar menerusi Solace Care (bantuan sokongan moral dan spiritual) dan pasukan pengurusan krisis, menurut Pergas.
"Kami akan memberikan sebanyak mungkin bantuan kepada para asatizah yang terjejas untuk memastikan bahawa penjenayah di sebalik perbuatan terkutuk itu ditangani," tambah Pergas.
"Para peguam kami akan membimbing kami untuk menangani isu ini secara undang-undang," menurut PERGAS.
Ia juga akan memberikan panduan agama kepada anggota masyarakat tentang bagaimana Islam membenci perbuatan menjadikan wanita sebagai objek dan bahan seks.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.