Skip to main content

Singapura

PERGAS akan lakar rangka kerja baharu bimbing para asatizah, luar bidang agama

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) sedang melakar rangka kerja baharu untuk menyediakan bimbingan di luar bidang agama buat para asatizah.

Rancangan itu didedahkan oleh Presiden PERGAS, Tarmizi Abdul Wahid kepada pihak media di luar Muktamar PERGAS 2025 siang tadi (24 Mei).

Tumpuan persidangan itu tahun ini adalah untuk memahami perubahan dan trend keagamaan serta kesannya terhadap masyarakat Islam di Singapura.

Ini termasuk dalam membangunkan kemahiran asatizah membincangkan isu-isu di ruang media sosial memandangkan wadah itu kian menjadi sumber utama bagi perbincangan pelbagai hal termasuk agama.

Timbalan Mufti, Dr Hannan Hassan. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Bagi Timbalan Mufti, Dr Hannan Hassan yang turut hadir sebagai salah seorang anggota panel, media sosial adalah realiti kehidupan hari ini untuk perbincangan agama, maka ia menjadikan peranan asatizah lebih genting lagi dalam membimbing masyarakat di alam maya.

"Realiti kehidupan hari ini ialah media sosial. Di situlah masyarakat semua berkumpul dan membincangkan isu-isu semasa, (seperti) Pilihan Raya baru-baru ini dan juga sebelum itu, masalah-masalah keagamaan. Apakah peranan kita asatizah dalam membimbing masyarakat? Saya rasa bahawa tanggungjawab moral kita sebagai asatizah (ialah) untuk memastikan apa juga perbincangan dalam alam maya haruslah dilakukan dengan hormat dan dilakukan dengan penuh adab, dengan nilai moral yang baik. Ini memerlukan bimbingan," kongsi Ustaz Dr Hannan kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Kadangkala ada kekhuatiran untuk terlibat dalam perbincangan-perbincangan di media sosial. Kita memahami kebimbangan ini tetapi saya rasa bahawa ini bukan hanya masalah ketidakfahaman tentang isu tetapi kemahiran dan kemampuan untuk melibatkan diri dalam media sosial bagi membincangkan isu-isu ini. Ini memerlukan kemahiran, sedikit pengalaman dan hikmah. Di sinilah, perlunya bimbingan di antara orang-orang yang lebih 'senior' atau berpengalaman, dengan yang muda," tambahnya.

Malah, tambah Ustaz Dr Hannan, adalah juga penting untuk mempersiapkan golongan asatizah untuk sedia berinteraksi dengan golongan yang mempunyai kefahaman agama yang berbeza.

WADAH UNTUK ASATIZAH KONGSI PENGALAMAN, KEPAKARAN

Presiden PERGAS, Tarmizi Abdul Wahid semasa Muktamar PERGAS 2025. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Lantaran itu, antara natijah bagi Muktamar Pergas ialah untuk melakar rangka kerja baharu bagi melatih golongan asatizah.

Ini termasuk mewujudkan wadah bagi asatizah berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing termasuk dalam industri berbeza di luar sektor agama.

Ustaz Tarmizi menjelaskan: "Antara yang kita sudah berbincang dan merancangkan adalah untuk mengadakan satu wadah bagi para asatizah yang sudahpun berkecimpung dalam industri yang berbeza di luar agama. Contohnya, ada yang mungkin dalam kalangan mereka pakar Sains, ada pakar kewangan, dan ada pula pakar kesihatan mental. Jadi mereka juga akan menjadi seolah-olah mentor yang akan mendidik dan juga berkongsi pengalaman mereka bersama para asatizah yang ingin juga memasuki industri-industri tersebut.

"Maka dengan adanya wadah seperti ini, mereka dapat berkongsi bersama dan mempelajari antara satu sama lain. Akhirnya, mendatangkan lebih ramai asatizah yang boleh memberikan sumbangan di dalam bidang-bidang tersebut,"tambah beliau.

PERGAS SEDANG BINCANG DENGAN AGENSI MELAYU/ISLAM BERHUBUNG PENJAGAAN PALIATIF, PASTORAL

Presiden PERGAS, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Ustaz Tarmizi juga menyentuh tentang akses kepada agama untuk golongan kurang upaya (PWD) dan penjaga mereka, serta keluarga yang menghadapi penyakit kritikal dan jangka panjang.

"PERGAS telah memulakan perbincangan bersama beberapa agensi Melayu/Islam yang lain adalah untuk membincangkan isu penjagaan paliatif dan penjagaan 'pastoral'. Ini adalah untuk mereka yang sudah dikhabarkan mempunyai penyakit kritikal atau yang mungkin tenat," dedah Ustaz Tarmizi.

"Maka apakah sokongan dan bantuan dari aspek agama yang boleh kita berikan kepada mereka ketika mereka melalui fasa tersebut dan juga untuk ahli keluarga yang membantu memberikan sokongan setiap hari untuk mereka? Apakah yang boleh kami lakukan untuk meningkatkan semangat mereka ketika melalui proses dan ujian ini? Jadi Alhamdulillah, sudahpun bermulanya perbincangan dan mudah-mudahan tidak lama lagi kita akan mendengar kemas kini tentangnya insya-Allah," tambahnya.

RUANG UNTUK GOLONGAN MUDA PELAJARI DARI PESERTA BERBILANG GENERASI

Peserta, Ustazah Marhamah Senewi. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Bagi para peserta yang hadir pula, mereka mengalu-alukan acara sebegini bagi berkongsi pandangan dan bertukar pendapat.

"Satu isu menonjol adalah kesedaran tentang peralihan keagamaan dalam kalangan belia dan kepentingan untuk para pemimpin masyarakat termasuk pemimpin agama untuk bersedia untuk menangani isu atau trend ini," kata salah seorang peserta, Ustazah Marhamah Senewi.

Peserta, Jihad Suhaimi. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Bagi seorang lagi peserta, Jihad Suhaimi pula berkongsi kepentingan acara sebegini bagi golongan belia sepertinya.

"Saya mempelajari banyak perkara daripada acara pada hari ini. Dan di antaranya adalah pendekatan-pendekatan yang berlainan daripada pendekatan tradisional yang kita telah pelajari selama ini. Terutamanya untuk mendekati golongan-golongan yang lebih pelbagai ataupun berlainan daripada golongan yang kita tahu," kongsi Encik Jihad kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Ia memberikan platform ataupun satu ruang untuk golongan yang lebih muda untuk mempelajari daripada mereka yang lebih arif ataupun yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan dan ia juga adalah satu usaha yang baik untuk kita mempelajari dan mungkin memberikan pandangan-pandangan daripada berlainan generasi," tambah asatizah dan aktivis belia itu.

Persidangan itu dihadiri oleh sekitar 110 peserta yang terdiri daripada asatizah, pemimpin masyarakat, profesional serta pemimpin berbilang agama.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita