Skip to main content

Singapura

Perennial Holdings dari SG firma asing pertama miliki hospital besar di China

Anggaran Waktu Membaca:
Perennial Holdings dari SG firma asing pertama miliki hospital besar di China

Hospital Besar Perennial di Tianjin, China. (Gambar: Perennial Holdings)

Diterbitkan : 17 Dec 2024 12:48PM Dikemas Kini : 17 Dec 2024 12:49PM
SINGAPURA: Firma hartanah dan jagaan kesihatan Perennial Holdings menjadi syarikat asing pertama yang memiliki sepenuhnya sebuah hospital besar swasta di China, selepas hospitalnya di bandar Tianjin diberi kelulusan oleh pihak berkuasa China.

Pada September, China mengumumkan bahawa hospital milik asing sepenuhnya akan dibenarkan beroperasi di beberapa bandar utama, termasuk Beijing dan Tianjin.

Perennial yang berpangkalan di Singapura menyatakan pada Isnin (16 Dis) bahawa Hospital Besar Perennial, iaitu sebuah hospital berbilang disiplin dengan sebanyak 500 katil, sudah lulus pemeriksaan oleh Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Tianjin dan akan memulakan operasi tidak lama lagi.

"Kami teruja untuk membangunkan, memiliki dan mengendalikan hospital besar privet milik sepenuhnya asing yang pertama di China, Hospital Besar Perennial Tianjin, berikutan langkah China baru-baru ini untuk membuka sektor jagaan kesihatannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Perennial merangkap Pengerusi Eksekutif Pua Seck Guan.

“Ini merupakan hospital besar pertama yang dibina dan diuruskan oleh Perennial Holdings yang menambahkan lagi betapa pentingnya kejayaan ini.”

Pemegang saham utama Perennial termasuk Encik Kuok Khoon Hong daripada kumpulan perniagaan Wilmar dan Encik Ron Sim, pengasas Osim International.

Ditempatkan di Daerah Xiqing, Hospital Besar Perennial dibangunkan dan dilengkapi dengan kos pelaburan sebanyak 1 bilion yuan (AS$137 juta).

Ia menampilkan konsep ruang perubatan bersama untuk doktor dan kumpulan perubatan yang diberi nama Platform Perubatan Bersama, di mana mereka menumpukan kepada usaha menyediakan khidmat pakar dan rawatan perubatan tanpa perlu melabur dalam kemudahan dan khidmat perubatan.

Doktor dan kumpulan perubatan sebaliknya boleh bergantung kepada kemudahan dan perkhidmatan perubatan yang dikongsi bersama yang disediakan dan diuruskan oleh Perennial Holdings, termasuk bilik bedah serba canggih, peralatan pengimejan diagnostik dan makmal klinikal.
Related article image
Hospital Besar Perennial di Tianjin mampu menampung 500 katil,. (Gambar: Perennial Holdings)
"Konsep ruang perubatan bersama kami yang unik untuk doktor dan kumpulan perubatan dengan model perkongsian berbeza, membolehkan kami menerima ramai karyawan perubatan dan membina ekosistem yang luas dan mampan untuk memajukan lagi perniagaan jagaan kesihatan kami di China," kata Encik Pua.

"Platform Perubatan Bersama yang dimodelkan oleh Singapura juga menyokong mereka untuk berkembang dan bekerja rapat dengan kami melalui pelaburan modal yang minimum."

Hospital tersebut juga mempunyai pasukan pakar perubatannya sendiri dalam berbilang disiplin termasuk ortopedik, oftalmologi, otolaringologi, nefrologi dan imunologi, kardiologi, onkologi dan bidang-bidang lain.

Hospital itu adalah sebahagian daripada hab perubatan bersepadu yang dipanggil Perennial Tianjin South High-Speed ​​Railway (HSR) International Healthcare and Business City (PIHBC Tianjin), yang terletak bersebelahan dengan Stesen Kereta Api Laju (HSR) Tianjin Selatan.
Related article image
Perennial Tianjin South High-Speed ​​Railway (HSR) International Healthcare and Business City (PIHBC Tianjin) di bandar Tianjin, China. (Gambar: Perennial Holdings)
PIHBC Tianjin ialah kemudahan yang mengintegrasikan jagaan warga emas, jagaan perubatan dan hospitaliti di sekitar sistem HSR China, menyediakan khidmat penjagaan kepada masyarakat di Daerah Xiqing dan wilayah Beijing-Tianjin-Hebei yang lebih luas melalui rangkaian kereta api bawah tanah dan rangkaian Stesen HSR Tianjin Selatan yang terletsak bersebelahan.

Hospital Besar Perennial Tianjin sebanyak 500 katil, merupakan sebahagian daripada ekosistem hospital PIHBC Tianjin, bersama-sama dengan Hospital Pemulihan Tianjin sebanyak 200 katil, hospital pemulihan pertengahan, Hospital Otak Perennial Eber dengan sebanyak 300 katil, hospital otak, dan Hospital Kejururawatan Perennial dengan 300 katil.

PIHBC Tianjin juga terdiri daripada Masyarakat Jagaan Warga Emas Perennial dengan lebih 1,800 katil dan empat hotel dengan penarafan bintang yang berbeza sebanyak kira-kira 1,000 bilik.

"Hospital Besar Perennial Tianjin akan membuka jalan untuk menarik lebih ramai pesakit asing yang mendapatkan rawatan perubatan privet di Tianjin, sekali gus meningkatkan kedudukan antarabangsa industri perubatan negara itu dan memacu pertumbuhan industri pelancongan perubatan Tianjin," kata Encik Pua.

"Sokongan menyeluruh dan sangat cekap pemerintah Tianjin di seluruh kementerian sepanjang proses kelulusan yang ketat menyediakan perkhidmatan kelas pertama kepada syarikat asing yang sangat kondusif untuk perniagaan."

Perennial Holdings sedang mengembangkan portfolio hospitalnya di China, dengan lebih 3,000 katil bakal dibangunkan dalam pembangunan jagaan kesihatan khusus yang akan dibangunkan di Kunming, Xi'an dan Guangzhou.

"Dasar China yang berpandangan jauh memberikan isyarat positif yang kuat kepada masyarakat pelabur antarabangsa, di samping meningkatkan keyakinan pelabur yang berminat terhadap sektor jagaan kesihatan China dan memacu pelaburan asing dan kerjasama asing-tempatan dengan prospek pertumbuhan China yang terbentang luas," kata Encik Pua.

“Kami yakin dengan trajektori pertumbuhan pasaran jagaan perubatan China dan kami akan secara aktif menjalin kerjasama antara hospital tempatan-asing dan pertukaran pengetahuan serta membawa masuk karyawan dan kepakaran perubatan asing untuk meningkatkan piawai jagaan perubatan privet bagi melengkapkan khidmat jagaan kesihatan awam pemerintah untuk memanfaatkan masyarakat.”
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita