Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perenang S'pura Teong Tzen Wei minta maaf setelah akui ambil dadah

Anggaran Waktu Membaca:
Perenang S'pura Teong Tzen Wei minta maaf setelah akui ambil dadah

Perenang Teong Tzen Wei. (Gambar: Andy Chua/SportSG)

Diterbitkan : 29 Sep 2022 02:12PM Dikemas Kini : 29 Sep 2022 02:15PM
SINGAPURA: Atlit negara Teong Tzen Wei memohon maaf kepada keluarganya dan fraterniti renang kerana mengambil dadah, sambil menambah bahawa dia tidak sepatutnya melakukan demikian.

Pada Rabu (29 Sep), Sport Singapore (SportSG) mendedahkan Teong sebagai perenang ketiga, selepas Joseph Schooling dan Amanda Lim, yang disiasat atas kesalahan berkaitan dadah.

Menurut SportSG, ketiga-tiga perenang itu mengaku mengambil dadah terkawal di luar negara sebagai atlit TeamSG. Namun mereka diuji negatif semasa disiasat oleh Biro Narkotik Pusat (CNB).

Dalam satu kenyataan yang diterima melalui Persatuan Renang Singapura pada Khamis (29 Sep), Teong berkata: "Saya ingin meminta maaf kepada keluarga saya, rakan-rakan perenang lain dan Persatuan Renang Singapura. Ini merupakan sesuatu yang benar-benar saya kesali dan sebagai atlit elit, saya tidak sepatutnya melakukan demikian."

"Saya terima sekatan yang dikenakan terhadap saya dan saya faham bahawa sebagai atlit negara, saya perlu mematuhi kod tatalaku bagi semua atlit yang membawa bendera Singapura. Saya akan berusaha untuk menjadi versi lebih baik diri saya dan bangkit lebih kuat."

Teong mengeluarkan kenyataan itu menyusuli permohonan maaf oleh Schooling dan Lim.

Schooling, Lim dan Teong juga sudah diberikan surat amaran, tambah SportSG.

Semua sokongan kepada Teong, Schooling dan Lim akan digantung selama sebulan. Bermakna ketiga-tiga atlit di bawah skim prestasi tinggi tidak akan menerima geran bantuan latihan atau mempunyai akses kepada kemudahan-kemudahan sains sukan dan perubatan sukan.

Menurut SportSG, tindakan yang diambil terhadap mereka bertiga "menekankan tanggungjawab mereka sebagai atlit negara", sambil menambah bahawa ia sudah mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hasil siasatan CNB.

"Ketiga-tiga atlit itu memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses semakan dalaman dan mengaku mengambil dadah," menurut SportSG.

"Mereka sudah menzahirkan kekesalan atas kesilapan dalam membuat pertimbangan dan mereka merayu agar diberikan peluang kedua untuk membuktikan diri serta memenuhi peranan dan tanggungjawab mereka sebagai atlit negara."


Schooling, Lim dan Teong berazam untuk menjauhi dadah terkawal pada masa akan datang dan "komited untuk membuat perubahan dengan menyumbang kembali kepada masyarakat sukan dan memainkan peranan dalam pendidikan serta usaha-usaha lain yang dapat menghindari orang lain daripada melakukan kesilapan yang sama," menurut agensi tersebut.

"SportSG akan terus menyokong kesemua tiga atlit selepas tempoh penggantungan, dalam kegiatan sukan serta pemulihan berterusan daripada episod ini."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan