Perenang Melayu pertama negara, Ardi Zulhilmi ingin jadi contoh kepada atlit muda imbangi masa & pelajaran
SINGAPURA: Bagi seorang atlit negara seperti Ardi Zulhilmi Mohamed Azman, tidak mudah untuk imbangi masa belajar dengan latihan sukan.
Perenang Melayu pertama negara ini bagaimanapun berjaya untuk tempuhi segala cabaran dengan sokongan ibu bapanya.
Atas pencapaian dan sumbangan beliau memimpin pasukan renang Politeknik Temasek sehingga berjaya bergelar 'Juara', Ardi diiktiraf dengan Anugerah Kecemerlangan bagi Olahragawan dalam Anugerah Kecemerlangan Pelajar Temasek (TSEA) 2024.
Ini selain merangkul Anugerah Emas Kegiatan Ko-Kurikular (CCA).
"Saya rasa gembira sebab ia bukanlah mudah, tetapi atas sokongan ibu bapa saya, pihak sekolah dan rakan-rakan saya di politeknik, ia bantu saya mendorong saya melebihi batas saya. Jadi saya rasa segala kepujian juga perlu diberikan kepada mereka," luah Ardi.
PENGORBANAN PERLU DILAKUKAN ATLIT NEGARA ARDI UNTUK KECAPI KEJAYAAN
Namun, pengorbanan demi pengorbanan perlu dilakukan atlit berusia 21 tahun itu.
Menjelang musim pertandingan misalnya, beliau perlu jalani 10 sesi renang dan tiga sesi gim setiap minggu.
Hujung minggunya pula dihabiskan untuk berlatih dan ulang kaji pelajaran.
Ardi malah sering berbincang dengan guru dan jurulatihnya tentang jadual latihan renang dan sekolah untuk bantu mengimbangi kedua-dua keutamaannya itu.
"Tiada masa untuk diri sendiri kerana saya sangat sibuk dengan latihan dan selepas latihan saya ingin belajar dengan kawan saya sehingga malam, jadi tiada masa untuk berfikir untuk diri sendiri," kongsi Ardi kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Saat itu sangat sukar tetapi ibu bapa saya yang menyokong saya sepanjang kerjaya renang saya sejak saya berusia empat tahun lagi apabila saya memulakan kerjaya renang saya. Mereka adalah motivasi terbesar saya mendorong diri saya untuk menjadi pelajar atlit yang lebih baik," tambah beliau.
ARDI HARAP DAPAT WAKILI SG DALAM SUKAN SEA 2025
Lulusan Diploma dalam Pemasaran itu bukan sahaja catat kemenangan dalam pertandingan-pertandingan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IHL), malah mewakili Singapura dalam Sukan Asia dan Sukan SEA di mana beliau berjaya sumbang pingat perak tahun lalu.
Beliau berharap dapat terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
"Saya akan menjalankan Perkhidmatan Negara (NS) dahulu tetapi semasa menjalankan NS, insya-Allah saya akan cuba untuk masih berlatih bagi pasukan negara dan insya-Allah tahun hadapan boleh bersaing dalam Sukan SEA di Thailand 2025 dan selepas itu, saya juga ingin ke universiti," dedah Ardi, yang mempunyai dua orang adik-beradik.
Menerusi anugerah itu, Ardi juga berharap dapat beri inspirasi dan semangat buat pelajar lain yang mahu menjadi seorang atlit.
"Anugerah seperti ini (beri peluang) untuk menjadi contoh bagi atlit-atlit di politeknik ini untuk menjadi pelajar atlit yang lebih baik dan mencapai potensi mereka sepenuhnya. Untuk saya, saya lakukan yang terbaik sahaja. Dari situ, saya rasa saya akan menjadi contoh yang baik untuk atlit-atlit atau pelajar di politeknik ini," ujar Ardi.
Secara keseluruhannya, lebih 2,000 pelajar diiktiraf dalam TSEA 2024 yang memberikan pujian tertinggi untuk pelajar atas pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang bukan akademik seperti CCA dan Sukan.
Ia juga termasuk seni, sukan, kepimpinan, keusahawanan dan kemampanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.