Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pereka tari Melayu Norhaizad Adam diberi Anugerah Seniman Muda 2021

Seniman tarian Norhaizad Adam diangkat sebagai salah seorang penerima Anugerah Seniman Muda di Istana pada Rabu (24 Nov), suatu pengiktirafan yang beliau anggap sebagai "mengesahkan cita-cita saya sebagai seorang seniman tari Melayu".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seniman tarian Norhaizad Adam diangkat sebagai salah seorang penerima Anugerah Seniman Muda di Istana pada Rabu (24 Nov), suatu pengiktirafan yang beliau anggap sebagai "mengesahkan cita-cita saya sebagai seorang seniman tari Melayu".

Anugerah berprestij bagi golongan seniman muda tempatan itu diberi kepada penerima di bawah usia 35 tahun dalam bidang seni sastera, seni persembahan, seni visual dan filem.

Ia disampaikan Presiden Halimah Yacob hari ini.

Tahun ini, termasuk Haizad, enam seniman kesemuanya menjadi penerima pengiktirafan tersebut. Mereka terdiri daripada penyanyi dan penggubah lagu Charlie Lim, pemuzik Carnatic Chitra Poornima Sathish, penggiat seni teater Han Xuemei, penulis dan pengarah Yeo Siew Hua serta seniman sekitaran dan pendidik Zen Teh Shi Wei.

Setiap penerima Anugerah Seniman Muda layak menerima geran S$20,000 bagi menyokong pembangunan artistik mereka dalam masa dua tahun selepas menerima anugerah itu. Dengan enam anugerah yang diberikan tahun ini, seramai 169 penggiat seni sudahpun diberikan Anugerah Seniman Muda tersebut.

MENGENALI KESENIAN MELAYU NORHAIZAD ADAM

Gerak tari tradisional Melayu seperti lenggok tangan 'petik bunga' mungkin suatu kebiasaan dalam reka tari Melayu. Namun dari lensa Norhaizad Adam, gerak tari tersebut lebih sekadar suatu pergerakan semata-mata.

Beliau melihat falsafah di sebalik sesuatu gerak tari itu dan bagaimana ia boleh menimbulkan isu-isu kemasyarakatan dan kemanusiaan.

"Saya melihat... gerak tari Melayu sendiri ‘petik bunga’ dan bagaimana gerak-geri ini relevan dengan gerak-geri pada masa sekarang.

"Ini juga untuk menimbulkan wacana atau perbincangan sesama orang Melayu," kata Haizad kepada BERITAmediacorp.

Pendekatan bukan konvensional sebeginilah yang menyerlahkan potensinya untuk menghasilkan karya seni dan mewujudkan pucuk kepimpinan cemerlang sebagai Pengarah Artistik syarikat tariannya P7:1SMA.

ISU DI SEBALIK ‘MERENJIS’

Malah semasa pandemik ini juga, Haizad yang pernah mempersembahkan karyanya di Venice, Melbourne, Taipei, Paris, Vienna, Solo, Cyprus, turut menghasilkan karya reka tari yang berkisar di sebalik gerak tari 'merenjis'.

Jadi apa perspektif yang dapat ditimbulkan menerusi gerak tari tersebut?

"Merenjis ia sebagai sejenis berkat. Jadi saya timbulkan soalan seperti apa berkat baru yang dapat kami sedari bagi meningkatkan masyarakat (dalam amsa pandemik ini).

"Merenjis juga wujud di majlis-majlis perkahwinan... dan upacara merenjis dah tak ada lagi – merenjis air. Jadi bagaimana kami dapat menyesuaikan diri, menyoal tentang keselamatan dan juga apa seterusnya bagi tradisi untuk berubah," kongsi Haizad.

PERUBAHAN TARIAN MELAYU

Mula menari tarian Melayu tradisional sejak 17 tahun lalu, Haizad yang pernah menghasilkan karya bagi 'da:ns festival', Pesta Seni Antarabangsa Singapura (SIFA)dan Pesta Penulis Singapura, jelas lebih selesa dengan tarian Melayu yang 'experimental' dan kontemporari sekarang ini.

“Bagi saya untuk tari Melayu menjadi lebih menarik, kita harus mencari jalan untuk mendidik terutama sekali adat budaya orang Melayu untuk generasi-generasi muda dan dari situ juga berikan semangat untuk mereka menjadi kreatif dan inovatif dengan amalan-amalan ini dan membuat satu karya yang bermakna,” jelas Haizad.

Malah karya Haizad, iaitu Belon, salah satu daripada kerja seninya yang berjaya 'bertapak' di luar negara, selepas menjadi sebahagian daripada Pesta Tarian Antarabangsa Vienna pada tahun 2015.

Seniman tarian berusia 34 tahun ini juga berharap karya beliau dijadikan inspirasi kepada masyarakat dan dapat menjadikan orang "rasa berani untuk menilaikan prinsip kemanusiaan mereka".

Dengan berkat semua sumbangan, faksafah dan kematangannya berkarya itulah, Haizad menjadi calon dan seterusnya penerima Anugerah Seniman Muda 2021 dari Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

TERUS HASILKAN KARYA BERMAKNA

Semasa ditanya tentang apa yang mahu dirancangkannya bagi geran $20,000 itu, ini jawapan beliau: “Saya rasa dengan geran ini saya akan terus berkarya membuat seni tari yang amat bermakna dan mungkin berkolaborasi dengan teknologi sedia ada dan meramalkan apa selanjutnya bagi tarian Melayu dalam bidang persembahan.”

Meskipun lebih menonjolkan reka tari yang luar dari kebiasaan tarian Melayu tradisional, Haizad tetap berharap seni tarian tersebut dihargai di dalam dan luar negara.

“Saya harap seni tari Melayu terutama sekali di Singapura mendapat pengiktirafan yang sepatutnya.

"Bukan sahaja di Singapura, tapi insya-Allah di merata dunia juga, baik tradisional mahupun kontemporari dan menimbulkan karya-karya tari Melayu yang berkualiti,” kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan