Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pereka, studio reka bentuk dipelawa kirimkan cadangan, hasilkan produk kontemporari diilhamkan daripada seni kraf tradisional tempatan

Mula belajar menganyam ketupat sejak usia sembilan tahun lagi, tradisi yang diamalkan sekitar 50 tahun lamanya ini jelas sebati dengan naluri Cik Anita Tompang, 58 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mula belajar menganyam ketupat sejak usia sembilan tahun lagi, tradisi yang diamalkan sekitar 50 tahun lamanya ini jelas sebati dengan naluri Cik Anita Tompang, 58 tahun.

Malah Cik Anita juga akur cukup merindui semangat kemasyarakatan dan kenangan menganyam sehingga 2,000 ketupat dengan lebih 10 keluarga Melayu lain di kuarters Jervois Road sewaktu Hari Raya dahulu.

Lantaran itu, Cik Anita jelas teruja apabila ditawarkan untuk menghidupkan semula dan mewujudkan kesedaran tentang seni kraf menganyam ketupat, yang sememangnya kurang diamalkan sekarang ini.

"Saya rasa generasi saya banyak yang tahu menganyam ketupat tetapi generasi anak-anak saya dah banyak kekurangan dari segi itu. Walaupun mereka cakap tak praktikal, ini bukan soal praktikal. Ini untuk memartabatkan kita punya budaya supaya ia tidak pupus," jelas Cik Anita.

"KRAF X REKA BENTUK" PELAWA PEREKA KERJASAMA DENGAN PENGAMAL SENI KRAF TRADISIONAL

Cik Anita merupakan salah seorang daripada empat pengamal tradisional veteran yang bekerjasama dengan Lembaga Warisan Negara (NHB) di bawah Pelan Warisan SG Kita untuk menyediakan platform bagi seni kraf tradisional tempatan serta menyebarkan warisan budaya tidak ketara Singapura dengan lebih meluas.

Lagi tiga pengamal seni kraf tradisional terdiri daripada Encik Jimm Wong yang mahir dalam pembuatan tanglung tradisional Cina, Cik Vijaya Mohan yang kreatif dalam hiasan dan rekaan Rangoli serta Encik Raymond Wong yang pakar dalam jahitan manik dan sulaman tangan Peranakan.

Dipanggil "Kraf X Reka Bentuk", para pereka dan studio reka bentuk dipelawa untuk mengirimkan cadangan mereka bagi menghasilkan produk kontemporari dan moden yang diilhamkan daripada seni kraf tradisional tempatan tersebut.

Mereka yang terpilih juga akan berkolaborasi dengan empat pengamal seni kraf itu bagi menghasilkan produk-produk kontemporari bagi pasaran tempatan.

Timbalan Pengarah Pendidikandan Pendampingan Masyarakat NHB, Cik Norsaleen Salleh berkongsi: "Melalui skim Kraf dan Reka Bentuk, NHB berharap dapat menambahkan usaha kami untuk meningkatkan profil pengamal kraf tradisional tempatan untuk menyumbang kepada daya maju dan kelestarian kraf-kraf ini dan untuk mencergaskan semula industri kraf tradisional tempatan kami."

DIBERI $6,000 BAGI HASILKAN PROTOTAIP PRODUK

Setiap pereka atau studio reka bentuk yang terpilih bakal menerima $6,000 dan boleh mendapat pulangan wang sehingga $2,000 bagi bahan-bahan yang dibeli untuk menghasilkan prototaip produk tersebut.

Hasil kerja mereka juga akan dipamerkan di ruang-ruang dan platform online NHB pada April tahun depan.

(Gambar-gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Tarikh tutup bagi para pereka dan studio reka bentuk mengirimkan cadangan mereka adalah pada 1 Oktober ini.

Maklumat lanjut boleh didapati di go.gov.sg/craftxdesign2021

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan