Perdaus berwajah baru demi beri kesegaran dalam berkhidmat kepada masyarakat
Perdaus kini berwajah baru dengan logo-logo baru yang dirasmikan hari ini (7 Dis) sebagai sebahagian daripada usaha penjenamaan semulanya dalam memberi kesegaran untuk berkhidmat kepada masyarakat.
SINGAPURA: Perdaus kini berwajah baru dengan logo-logo baru yang dirasmikan hari ini (7 Dis) sebagai sebahagian daripada usaha penjenamaan semulanya dalam memberi kesegaran untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Sempena usaha tersebut juga, kelas-kelas pendidikan Perdaus kini dihimpunkan menjadi Imad Perdaus.
Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Sekitaran dan Sumber Air Dr Amy Khor merasmikan pusat pendidikan Imad Perdaus (Bukit Batok), yang sebelum ini dikenali sebagai Perdaus Hong Kah.
Menelan belanja $145,000, projek ubah elok di Imad Perdaus itu bertujuan meningkatkan pembelajaran para pelajar dengan mewujudkan sekitaran yang lebih kondusif.
Kali terakhir pusat itu menjalani kerja naik taraf besar-besraan adalah lebih 15 tahun lalu.
LAMBANG SEMANGAT BARU UNTUK BERKHIDMAT
Perasmian tersebut turut diadakan sempena pelancaran logo-logo baru bagi melambangkan semangat baru Perdaus untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Ini termasuk usaha lebih bersepadu dan fokus bagi cabang pendidikan moral dan pendampingan Imad Perdaus dan pusat pembangunan awal kanak-kanak Iyad Perdaus.
Menurut Presiden Perdaus, Encik Safarin Amerudin masyarakat menjadi sumber inspirasi kepada semangat baru, sifat dinamik dan paparan segarnya ini.
"Penjenamaan semula ini ialah satu usaha untuk mencergaskan lagi Perdaus.
"Dari situ kita mengharapkan ia akan lagi dapat menyegarkan lagi program yang ada, menambah baik program yang kami lakukan selama ini dan juga mencerminkan masyarakat yang menjalani perubahan pada masa hadapan," kata beliau.
ALU-ALUKAN KHIDMAT BERMUTU PADA MASA DEPAN
Dengan pusat pendidikan yang "luas dan selesa", Dr Khor yang juga Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Hong Kah North mengalu-alukan khidmat bermutu pada masa hadapan.
"Pusat ini sudah menyaksikan ramai yang ikut serta dan membangun menjadi anggota berharga dalam masyarakat.
"Saya berasa teruja bagi fasa selanjutnya untuk Perdaus dan mengharapkan masa depan cerah yang berterusan, dengan mendampingi masyarakat dan menyediakan program dan khidmat berkualiti," kata Dr Khor.
Memberi khidmat kepada masyarakat sejak lebih 50 tahun lalu, Perdaus kini mempunyai dua pusat pendidikan Imad Perdaus di Bukit Batok dan Bedok.
Pertubuhan itu juga memiliki tiga cawangan Iyad Perdaus di Jurong East, Choa Chu Kang dan Hougang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.