Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perdaus, AMP & Taman Bacaan kutuk keganasan di tempat ibadat susuli insiden tikaman Gereja St Joseph

Anggaran Waktu Membaca:
Perdaus, AMP & Taman Bacaan kutuk keganasan di tempat ibadat susuli insiden tikaman Gereja St Joseph

Gambar: Jeremy Long/CNA

Diterbitkan : 10 Nov 2024 01:35PM Dikemas Kini : 10 Nov 2024 03:25PM

SINGAPURA: Badan Melayu/Islam Singapura, Perdaus dan AMP Singapore sekeras-kerasnya mengutuk tindakan keganasan, dalam apa jua bentuk sekalipun, terutamanya di tempat ibadat.

Ini selepas seorang paderi ditikam di Gereja St Joseph, di Upper Bukit Timah pada Sabtu (10 Nov), semasa berlangsungnya satu upacara misa.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad, Perdaus menyuarakan rasa "terkejut dan sedih" terhadap insiden yang menimpa paderi Gereja St Joseph.

Mengulas mengenai serangan itu, Perdaus menyatakan, ruang ibadat sedemikian adalah tempat perlindungan yang "suci dan selamat, di mana individu dapat mencari ketenangan serta bimbingan".

Perdaus menambah, kesucian ruang sebegitu harus "sentiasa dilindungi daripada sebarang bentuk pencerobohan atau keganasan".

Dalam menegakkan nilai keharmonian dan saling menghormati dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama, Perdaus juga menggesa orang ramai supaya mengukuhkan ikatan persefahaman dan toleransi yang menyatukan penduduk di negara ini.

"Marilah kita komited untuk bekerjasama ke arah masyarakat yang yang aman, adil dan inklusif, di mana semua boleh beribadah dengan selamat dan damai."

Perdaus turut menyampaikan ucapan agar Paderi Lee cepat sembuh, dan menyuarakan sokongannya terhadap seluruh masyarakat Katolik dalam masa sukar ini.

Berkongsi sentimen serupa, AMP Singapore menegaskan bahawa tindakan sedemikian "tidak boleh diterima sama sekali".

"AMP meluahkan keprihatinan mendalam berhubung serangan pisau yang berlaku di Gereja St Joseph.

"Kami menyampaikan ucapan cepat sembuh kepada mangsa.

"Keganasan dalam sebarang bentuk sekalipun tidak akan diterima sma asekali dan tidak harus diberi tolak ansur," menurut AMP Singapore dalam catatannya di laman Facebook.

Dalam kenyataannya hari ini (10 Nov), Taman Bacaan menekankan keperluan untuk meningkatkan tahap kewaspadaan masyarakat demi menjaga kesejahteraan semua rakyat Singapura.

"Kami menggalakkan orang ramai supaya sentiasa prihatin terhadap persekitaran mereka dan melaporkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. Bekerjasama secara kolektif untuk
menjaga persekitaran kita boleh meningkatkan keselamatan untuk semua orang, terutamanya ruang-ruang yang dikhaskan untuk ibadat dan sokongan masyarakat. Untuk memupuk persefahaman dan rasa hormat dalam masyarakat berbilang agama dan budaya, kami percaya bahawa dialog antara agama sangat penting. Dialog sedemikian boleh membantu menghakis salah tanggapan, dan mengukuhkan nilai bersama yang menyatukan kita sebagai sebuah negara," menurut kenyataan media Taman Bacaan.

Sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, Pejabat Perhubungan Ketua Biskop menyatakan bahawa Paderi Lee sedang pulih di hospital.

Ini selepas beliau menjalani pembedahan untuk menutup lukanya.

Paderi Lee masih dirawat di Hospital Universiti Singapura supaya keadaannya dapat terus dipantau.

Sementara, suspek insiden tikaman itu akan didakwa di mahkamah pada Isnin kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata berbahaya.

Jika didapati bersalah, suspek itu boleh dipenjara sehingga 15 tahun, serta didenda atau disebat.

Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan