Skip to main content

Singapura

Perdagangan barangan anggota CPTPP melonjak 15% meski semasa pandemik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Oct 2022 07:10PM Dikemas Kini : 08 Oct 2022 09:28PM
SINGAPURA: Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) menyaksikan perdagangan barangan antara negara-negara anggota melonjak hampir 15 peratus tahun lalu.

Khidmat telekomunikasi dan maklumat juga dijangka terus meningkat ekoran satu garis panduan baru bagi perkhidmatan profesional.

Tidak lama lagi, syarikat-syarikat boleh mewujudkan kehadiran komersil di lebih banyak pasaran di negara-negara anggota CPTPP.

Ini hasil daripada garis panduan baru mengenai perkhidmatan profesional, yang mahu mewujudkan sekitaran perdagangan lebih konsisten dan mesra perniagaan.

Para anggota CPTPP kini mengalu-alukan peluang-peluang baru seperti invois digital, pembayaran elektronik dan perdagangan kredit karbon.

Diharapkan, menerusi kadar cukai yang rendah serta rantaian bekalan berdaya tahan, ia membantu memacu aliran perdagangan dan pelaburan bagi ekonomi seperti Malaysia yang menyertai CPTPP baru-baru ini.

Ekonomi lain seperti Britain juga sudah memohon untuk menyertai CPTPP.

Walaupun perbincangan sebelum ini terhambat dek isu cukai pertanian, Singapura sebagai Pengerusi CPTPP berharap rundingan dapat dihuraikan tidak lama lagi.

"Penyertaan Britain akan menjadi piawai, sebagai penanda aras bagi penyertaan ekonomi lain pada masa depan. Lantas, penting bagi kami mengekalkan piawai ekonomi yang memohon dan saya fikir kami semua mempunyai konsensus bahawa penting bagi kami memastikan kami tidak tertekan dari segi masa dengan berkompromi dan mengurangkan mutu serta piawai perjanjian," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong

"Lantaran itu, penting bagi kami memberi masa yang cukup untuk berunding demi kemajuan," tambah beliau.

Buat masa ini, ada 11 anggota ekonomi CPTPP termasuk Australia, Brunei, New Zealand dan Kanada.

Secara bersama, CPTPP mewakili 14 peratus ekonomi sejagat dengan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sekitar $13 trilion.

Satu semakan sedang dijalankan untuk menilai kesan dan manfaat perjanjian berkenaan bagi para anggota.

New Zealand akan menjadi pengerusi seterusnya dan tuan rumah mesyuarat pada tahun depan.
Sumber : CNA/RU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita