Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Percubaan WP untuk mempolitikkan' laporan COP 'dikesali'; dapatan 'berdasarkan bukti objektif': Speaker Parlimen

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Percubaan untuk mempolitikkan dapatan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) berhubung aduan terhadap Cik Raeesah Khan kerana berbohong di Parlimen amat "dikesali", menurut Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin pada Jumaat (11 Feb). 

Encik Tan berkata demikian menyusuli satu kenyataan Parti Pekerja (WP) awal hari ini, di mana mereka menyuarakan keprihatinan  terhadap saranan COP untuk merujukkan dua ketua parti itu kepada pihak pendakwa raya bagi kemungkinan dikenakan tuduhan. 

"Kenyataan itu membayangkan seakan-akan saranan COP itu berkaitan dengan kerja-kerja politik Encik Pritam Singh dan Encik Muhamad Faisal Abdul Manap sebagai Anggota Parlimen (AP) pembangkang, dan juga ia akan menjejas pembangunan sebuah masyarakat  demokratik," kata Encik Tan. 

Tambahnya, dapatan COP adalah "berdasarkan bukti objektif, yang boleh dilihat semua orang". 

"COP meneliti sikap Encik Singh dan Encik Faisal. Tingkah laku mereka apabila berdepan dengan COP berpotensi dianggap sebagai kesalahan jenayah," kata Encik Tan. 

Satu usul untuk membahaskan laporan itu di Parlimen minggu depan sudah difailkan. WP menyatakan ketua parti Encik Singh, pengerusi WP Sylvia Lim dan naib pengerusi Encik Faisal akan membentangkan pendangan mereka berhubung laporan itu di Parlimen. 

"Usual berkaitan dapatan dan saranan COP akan dibahaskan dan diputuskan mengikut merit masing-masing, di depan khalayak awam. Percubaan untuk mempolitikkan isu ini sebelum ia dibahaskan amat dikesali," kata Encik Tan. 

COP mendedahkan laporan terkininya pada Khamis (10 Feb) tentang aduan yang dikemukakan terhadap Cik Raeesah, bekas AP WP, kerana berbohong di Parlimen, telah mendampingi seorang mangsa serangan seksual ke stesen polis. Cik Raeesah juga mendakwa pihak polis telah salah mengendalikan kes tersebut. 

Jawatankuasa tersebut menyarankan Cik Raeesah didenda S$35,000 kerana memberi kenyataan palsu di Parlimen pada 3 Ogos dan mengulanginya pada 4 Oktober.

Ia juga mengesyorkan agar Encik Singh dan Encik Faisal dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi kemungkinanan atas dakwaan jenayah, dengan menyatakan bahawa ia "berpuas hati" bahawa pemimpin WP itu tidak bercakap benar, walaupun di bawah sumpah. 

Dalam kenyataannya  pada Jumaat (11 Feb), WP menyatakan: "Parti Pekerja menyuarakan keprihatinan terhadap perkembangan ini. Kali terakhir pertuduhan jenayah dikenakan terhadap seorang AP Pembangkang berkaitan dengan kerja politik mereka adalah pada tahun 1980-an." 

Berdasarkan dapatan COP, Encik Tan berkata  Parlimen berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Encik Singh dan Encik Faisal. 

"Berdasarkan bukti yang diberikan oleh pemimpin WP, termasuk nota yang dikemukakan oleh Cik Sylvia secara sukarelanya, COP berpuas hati bahawa Encik Singh telah berbohong,meskipun di bawah sumpah. Dan beliau memberi panduan kepada Cik Raeesah untuk meneruskan pembohongannya," kata Encik Tan lagi. 

"Encik Faisal secara langsung dan berulang kali enggan menjawab pertanyaan COP, walaupun sudah diberi amaran bahawa ia mungkin dianggap sebagai satu kesalahan dan penghinaan terhadap Parlimen.

"Berdasarkan penemuan ini, Parlimen mempunyai kuasa untuk mengenakan sekatan terhadap Encik Singh dan Encik Faisal. Namun, daripada sekatan dikenakan Parlimen, COP menyarankan supaya Parlimen mempertimbang untuk merujukkan perkara ini kepada pihak pendakwa raya."

Dengan itu, Encik Singh dan Encik Faisal akan mempunyai "peluang yang terbaik untuk membebaskan diri, jika mereka benar-benar tidak bersalah", tambah Encik Tan. 

"Pendakwa raya harus mempertimbangkan isu ini sekali lagi; dan jika dakwaan dikenakan, Encik Singh dan Encik Faisal akan mempunyai peluang penuh untuk membela diri mereka di Mahkamah Undang-undang," katanya. 

Proses undang-undang berhubung perkara itu adalah cara "bagaimana demokrasi harus berfungsi", kata Encik Tan. 

"Sebuah sistem demokratik yang kukuh memerlukan mereka yang dipilih untuk menghormati institusi demokrasi, khususnya Parlimen, dan mendukung undang-undang kita, termasuk undang-undang terhadap sumpah bohong dan bercakap putar belit," katanya. 

"Ini akan menyanggahi demokrasi bagi  seorang AP yang berbohong, meskipun sudah mengangkat sumpah, lalu kemudian menyatakan pembohongan sedemikian tidak harus ditangani, atau dia tidak  boleh disentuh undang-undang kerana kedudukannya." 

WP menyatakan  Encik Singh dan Encik Faisal akan bekerjasama dengan pendakwa raya dan akan membela diri mereka di mahkamah jika tuduhan dikenakan. 

"Mahkamah akan memutuskan sama ada tuduhan akan dikenakan berhubung tingkah laku Encik Singh dan Encik Faisal semasa berdepan dengan COP," kata Encik Tan.

"Dan apapun dapatan COP, Mahkamah akan memberikan kata putus. Itulah yang disarankan COP." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan