Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Percubaan pelepasan imigresen tanpa pasport dimulakan di Lapangan Terbang Changi mulai 5 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Jul 2024 02:20PM Dikemas Kini : 31 Jul 2024 08:45PM
SINGAPURA: Para pelancong di Lapangan Terbang Changi boleh melalui imigresen tanpa perlu menyerahkan pasport mereka tidak lama lagi.

Mulai 5 Ogos, para penduduk Singapura boleh melalui beberapa laluan automatik tertentu di Terminal 3 dengan hanya menggunakan pengesanan biometrik muka dan mata mereka, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (31 Jul).

Ia sebahagian daripada percubaan bagi sistem pelepasan tanpa pasport yang akan dilancarkan secara berperingkat di Lapangan Terbang Changi menjelang akhir September dan juga di Pusat Pelayaran Marina Bay pada Disember depan.

Proses pelepasan sebegini mengurangkan tempoh yang diambil oleh pelancong untuk melalui imigresen sebanyak 40 peratus, menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada rancangan ICA untuk pendigitalan pelepasan sempadan, bagi meningkatkan pengalaman pelancong dan memperkukuhkan keselamatan di sempadan, menurutnya.

ICA menambah bahawa sistem pelepasan kod QR di pusat pemeriksaan darat Singapura bersama Malaysia juga akan diperluaskan kepada para penunggang motosikal menjelang bulan depan.

Sistem itu diperkenalkan kepada kereta pada 19 Mac, sebelum ia diperluaskan kepada para pemandu bas pada 15 April.
Pemandu menunjukkan kod QR kepada pegawai ICA di pusat pemeriksaan Woodlands pada 29 Julai 2024. (Gambar: Try Sustrino Foo/CNA)
TIDAK PERLU TUNJUKKAN PASPORT

Di bawah konsep pelepasan baharu ICA, terdapat dua jenis pelepasan imigresen tanpa pasport bagi memastikan proses itu lebih cepat dan kurang rumit.

Cara yang pertama tidak memerlukan sebarang token pengenalan.

Penduduk Singapura boleh melalui imigresen di pusat pemeriksaan udara dan laut di negara tanpa memerlukan pasport mereka pada waktu ketibaan atau ketika berangkat. Ini juga boleh dilakukan oleh para pelancong luar negara ketika berangkat daripada Singapura.

Kesemua pelancong boleh menggunakan laluan automatik bagi pengesanan. Bagaimanapun, ini tidak meliputi kanak-kanak di bawah usia enam tahun, kerana ciri-ciri fizikal dan biometrik bagi sekumpulan ini masih berkembang dan tidak memberikan cara pengesanan yang boleh dipercayai.

Jenis pelepasan yang kedua adalah dengan kegunaan sistem kod QR, yang sejauh ini diperkenalkan buat kereta di kedua-dua pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas.

"Pelepasan tanpa token boleh dilakukan di pusat pemeriksaan udara dan laut kerana ICA akan mengetahui terlebih dahulu, para pelancong yang akan melalui pusat pemeriksaan berdasarkan kenyataan yang diserahkan oleh pengendali syarikat penerbangan dan pelayaran,"menurut agensi itu.

"Di pusat pemeriksaan darat, maklumat pelancong tidak disediakan terlebih dahulu."

Oleh itu, kod QR diperkenalkan sebagai cara mengenal pasti sebagai ganti kepada pasport, untuk mempercepatkan proses di pusat pemeriksaan darat, menurut ICA.

PELEPASAN KOD QR BAGI PENUNGGANG MOTOSIKAL

Agensi itu turut melaksanakan pelepasan kod QR secara berperingkat sejak Mac lalu, berikutan percubaan selama tiga bulan.

"Hari ini, lebih 70 peratus pelancong yang menaiki kereta, pemandu bas menggunakan kod QR bagi pelepasan imigresen," menurut ICA.

Ini akan diperluaskan kepada penunggang motosikal serta penumpangnya pada 15 Ogos, dan pemandu kenderaan kargo dan pembantu mereka menjelang akhir bulan ini.

Pada Disember, penggunaan kod QR akan dilaksanakan bagi para penumpang bas dan mereka yang melalui pusat pemeriksaan dengan berjalan kaki.

"Inisiatif ini akan menjimatkan sekitar 30 peratus waktu yang diambil oleh pelancong melalui imigresen di pusat pemeriksaan darat," menurut ICA."

ICA turut memberi peringatan kepada para pelancong walaupun Singapura melaksanakan pelepasan imigresen tanpa pasport, mereka tetap memerlukan pasport mereka bagi pelepasan di negara-negara lain.

"ICA juga kadang-kala mungkin memerlukan pelancong menunjukkan pasport mereka buat pengesahan ," tambahnya.

Pegawai ICA akan terus berada di situ bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan dengan pelepasan imigresen tanpa pasport atau automatik, menurutnya.

"ICA sedang berusaha secara berterusan untuk mempertingkatkan pengalaman dan kecekapan pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan kami," kata Penolong Pesuruhjaya Phua Chiew Hua, timbalan pengarah bahagian operasi agensi itu.

"Singapura merupakan yang pertama di dunia untuk melaksanakan pelepasan tanpa token secara besar-besaran."
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan