Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Percubaan Kerjaya hulur lebih bantuan kepada pekerja bergaji rendah-sederhana

Mereka yang ingin mencuba lebih banyak jenis pekerjaan dan menilai kerjaya baru akan mendapat sokongan tambahan menerusi program Percubaan Kerja yang diperluas.

Anggaran Waktu Membaca:
Percubaan Kerjaya hulur lebih bantuan kepada pekerja bergaji rendah-sederhana

Menteri Negara Tenaga Manusia Sam Tan bertemu seorang pekerja landskap di NUS. (Gambar: Calvin Hui)

Diterbitkan : 05 Mar 2018 06:47PM Dikemas Kini : 05 Mar 2018 06:50PM

SINGAPURA: Mereka yang ingin mencuba lebih banyak jenis pekerjaan dan menilai kerjaya baru akan mendapat sokongan tambahan menerusi program Percubaan Kerja yang diperluas.

Demikian menurut Menteri Kedua Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen hari ini (5 Feb).

"Terdapat skop untuk mempertingkat para pekerja dari golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan dengan membantu mereka mendapatkan pekerjaan lebih baik," kata Cik Teo semasa membahaskan peruntukan Belanjawan bagi Kementerian Tenaga Manusia.

"Sebahagian daripadanya dilakukan menerusi usaha-usaha untuk meningkatkan dan merubah pekerjaan. Namun sebahagian yang lain adalah untuk membantu para pekerja mengakses pekerjaan sedemikian."

Program Percubaan Kerja, yang juga sebahagian daripada insiatif Suai-Maju yang membantu pekerja rakyat Singapura menyesuaikan diri dengan perubahan tuntutan pekerjaan dan meningkatkan kerjaya mereka, "terbukti bermanfaat mengisi jurang maklumat", menurut Cik Teo, sedang beliau mendedahkan program Percubaan Kerjaya yang dipertingkat.

Di bawah Percubaan Kerjaya, elaun maksimum latihan bagi Rakyat Singapura (SC) akan digandakan dari $1,200 kepada $2,400 sebulan.

SC yang aktif mencari kerja dalam tempoh enam bulan atau lebih juga boleh menerima insentif bernilai $1,000 bagi mengekalkan pekerja.

Sebelum ini, ia hanya diberikan kepada mereka yang aktif mencari kerja selama 12 bulan atau lebih.

Selain itu, sokongan gaji maksimum bagi para majikan yang menggajikan mereka yang sudah mengikuti program Percubaan Kerjaya juga akan dinaikkan dari $3,600 kepada $5,400 bagi setiap individu yang digajikan selama tempoh enam bulan, kata Cik Teo.

"Untuk menyokong budaya inklusif di tempat kerja, insentif tambahan untuk mengekalkan pekerja dan sokongan gaji bagi para majikan akan diluaskan kepada orang kurang upaya tanpa mengira tempoh mereka tidak bekerja," menurut kenyataan media yang dikeluarkan Workforce Singapore (WSG).

Perubahan-perubahan itu akan berkuat kuasa mulai 1 April.

Tahun lalu, jumlah pemohon kerja menerusi Percubaan Kerja meningkat empat kali ganda dari sekitar 100 hingga 500, kata Cik Teo.

LEBIH BANYAK SOKONGAN BAGI PEKERJA BERPANGKAT RENDAH

Berhubung pekerja berpangkat rendah pula, Cik Teo berkata mereka merangkumi 40 peratus atau 10,800 orang yang mengikuti inisiatif Suai-Maju. Mereka boleh menjalani program-program Penempatan dan Latihan Pekerja (PnT) untuk menimba kemahiran baru dan memainkan peranan baru.

Lebih 2,000 pekerja ditempatkan di bawah program PnT pada tahun lalu, naik lebih 50 peratus berbanding 2016, kata Cik Teo.

Untuk menambah sokongan bagi pekerja berpangkat rendah yang sebelum ini lama menganggur, WSG mulai 1 April akan menghulurkan lebih banyak sokongan gaji bagi para majikan yang menggajikan dan mengajar kemahiran baru kepada pekerja Rakyat Singapura yang sudah menganggur selama enam bulan atau lebih.

Dana itu akan dihadkan pada 90 peratus gaji bulanan, dengan agihannya dihadkan pada $3,000 sebulan.

Sebelum ini dananya dihadkan pada 70 peratus daripada gaji bulanan, dengan agihan dihadkan pada $2,000 sebulan.

PROGRAM BARU PENUKARAN PROFESIONAL

Selain peningkatan kepada program PnT, WSG juga akan mempertingkat program penempatan dan latihan (AnT) dengan memperkenalkan tiga program baru Penukaran Karyawan (PCP) menjelang suku kedua tahun ini.

Program baru itu adalah bagi pengatur program kecerdasan buatan, jurutera robotik dan pakar penghasilan makanan. Ini adalah bidang-bidang di mana tuntutan bagi tenaga manusia dijangka meningkat," kata Cik Teo.

Selain itu, Cik Teo berkata model PCP akan disesuaikan lebih awal seiring dengan syarikat-syarikat dan bukan setakat menunggu sehingga pekerja diberhentikan.

"Kuncinya adalah untuk mendampingi syarikat-syarikat lebih awal sebelum mereka menetapkan perancangan mereka," tambah Cik Teo.

Dengan melakukan sedemikian, kemungkinan besar kakitangan sedia ada boleh membentuk sebahagian daripada masa depan syarikat dan bukan setakat sebahagian daripada sejarah syarikat."

Contohnya, WSG boleh memperkenalkan pengerahan semula PCP seperti Perbankan Pelanggan dalam syarikat, di mana kakitangan dilatih dan dikerahkan semula.

"Sedang bank itu membuat perubahan kepada khidmat-khidmat barisan hadapannya, ratusan juruwang menyesuaikan diri untuk melakukan pemasaran digital, analisis data dan pembangunan produk," kata Cik Teo.

"Kakitangan sedemikian boleh mengelak daripada melalui proses pemberhentian yang memeritkan dan pada masa yang sama, membantu majikan mereka memenuhi keperluan tenaga manusia."

KEMAS KINI PERANGKAAN

Yang paling utama, kata Cik Teo, inisiatif Suai-Maju itu sudah membantu lebih 25,000 pemohon kerja mendapat kerja dan kerjaya baru pada tahun lalu, naik 20 peratus berbanding 21,000 pada 2016.

Namun daripada 25,000 pemohon kerja itu, sekitar 60 peratus atau 15,000 melibatkan pemadanan kerja yang tidak sesuai.

"Para pemohon kerja ini sudah bersedia untuk bekerja namun belum dipadankan dengan majikan yang sesuai," jelas beliau, sambil menambah WSG dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) kemudian membantu mereka mendapatkan pemadanan yang sesuai.

Untuk mencapai matlamat ini, Cik Teo mengumumkan perubahan Bank Pekerjaan Nasional pada wadah baru yang dipanggil MyCareersFuture.

"MyCareersFuture akan dilengkapi dengan ciri-ciri baru untuk membantu para pemohon kerja dan majikan mendapatkan pemadanan yang lebih sesuai," kata Cik Teo.

Misalnya, wadah baru itu dilengkapi ciri bijak pemadanan kerja dan boleh menyarankan pekerjaan terbaik yang paling menepati kemahiran para pemohon.

Ia juga mengetengahkan pekerjaan-pekerjaan yang disokong oleh program-program Suai-Maju seperti PCP untuk membantu menangani masalah pemadanan pekerjaan dan kemahiran.

MyCareersFuture sudah beroperasi sejak 2 Januari lalu, dengan portal tersebut dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku kedua tahun ini.

Dari segi masalah pemadanan pekerjaan, di mana jurang kemahiran dan gaji menyulitkan para pemohon kerja untuk mendapatkan pekerjaan, Cik Teo berkata 40 peratus dripada 25,000 pemohon kerja melibatkan mereka yang berdepan dengan isu pekerjaan yang tidak sesuai. Jumlah itu sudah bertambah dari 25 peratus pada 2016.

Cik Teo menambah penempatan kes pemadanan kerja kurang sesuai naik seganda dari sekitar 5,000 pada tahun 2016 kepada sekitar 10,000 tahun lalu. Ini sekaligus menggambarkan bahawa "banyak usaha sudah dilaksanakan untuk menangani isu tersebut".

Merujuk kepada peningkatan PCP dan Program Sokongan Kerjaya yang diadakan tahun lalu, Cik Teo berkata "tumpuan utama" adalah untuk menyokong pemohon kerja dengan masalah pemadanan kemahiran atau gaji, "kerana mereka memerlukan lebih banyak bantuan".

"Sejauh ini, inisiatif Suai-Maju sudah berjaya menyediakan perantaraan sesuai bagi para pemohon kerja di pelbagai peringkat," kata beliau.

"Sekalipun demikian, kami sentiasa mencari cara lebih baik untuk mempertingkat program-program sedia ada atau memperkenalkan inisiatif baru yang akan membantu para pemohon kerja." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan