Perbincangan permintaan M'sia untuk tangguhkan HSR masih dijalankan
Perbincangan mengenai permintaan Malaysia untuk menangguhkan kerja-kerja binaan bagi projek Kereta Api Laju (HSR) masih dijalankan dan perjanjian dua hala berhubung projek itu masih lagi berkuatkuasa, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Jumaat (24 Ogos).
SINGAPURA: Perbincangan mengenai permintaan Malaysia untuk menangguhkan kerja-kerja binaan bagi projek Kereta Api Laju (HSR) masih dijalankan dan perjanjian dua hala berhubung projek itu masih lagi berkuatkuasa, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Jumaat (24 Ogos).
Akhbar The Straits Times, sebelum ini menukil sumber tidak dinamakan, sebagai melaporkan bahawa Singapura sudah bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek tersebut. Laporan itu juga menyatakan bahawa kedua-dua negara sedang "mengkaji berapa lama projek tersebut harus ditangguhkan".
Memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, MOT menyatakan: "Perbincangan antara Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan, dengan Menteri bagi Ehwal Ekonomi Malaysia, Mohamed Azmin Ali, berhubung permintaan untuk menangguhkan projek HSR masih berlangsung. Perjanjian Dua Hala HSR juga masih berkuatkuasa, kecuali Singapura dan Malaysia sama-sama bersetuju untuk mengubahnya."
Kerja-kerja pembinaan projek itu yang dianggarkan bernilai antara sekitar RM50 bilion (S$16.8 bilion) hingga RM60 bilion (S$20 bilion) dijadual bermula pada tahun ini dengan khidmat kereta api itu dijangka mula beroperasi pada 2026.
Bagaimanapun dalam satu sidang media Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa Malaysia akan membatalkan projek itu sambil mengatakan bahawa projek itu tidak akan memberi manfaat kepada negaranya.
Namun kemudian, beliau berkata bahawa Malaysia akan meminta untuk menangguhkan projek tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.