Skip to main content

Singapura

Perbincangan keluarkan rizab semasa pandemik dilakukan dengan teliti, serius: Halimah Yacob

Anggaran Waktu Membaca:
Perbincangan keluarkan rizab semasa pandemik dilakukan dengan teliti, serius: Halimah Yacob

Presiden Halimah Yacob berucap di Parlimen pada 10 Apr 2023.

Diterbitkan : 12 Sep 2023 11:36AM Dikemas Kini : 13 Sep 2023 02:10PM
SINGAPURA: Perbincangan mengenai keputusan menggunakan rizab Singapura semasa pandemik COVID-19 dijalankan secara teliti dan serius, kata Presiden Halimah Yacob yang akan mengundurkan diri sebagai ketua negara esok (13 Sep).

Dalam satu wawancara bersama CNA yang disiarkan pada 12 September, beliau berkata: "Kami mengadakan banyak mesyuarat. Dan mesyuarat itu bukan cuma (selama) setengah jam. Ia berlarutan sehingga beberapa jam kerana saya perlu mengajukan soalan, saya perlu yakin, saya mahukan lebih banyak maklumat."

Singapura pertama kali menggunakan rizabnya pada 2009, di mana S$4.9 bilion dikeluarkan untuk membantu ekonomi negara mengharungi krisis kewangan global.

Lebih sedekad kemudian, Singapura sekali lagi menggunakan rizab berjumlah S$40 bilion kesemuanya semasa pandemik COVID-19 yang berlaku antara 2020 hingga 2022.

Perbincangan tentang rizab negara berlangsung sedang langkah-langkah jarak sosial perlu dipatuhi. Ini bermakna separuh Majlis Penasihat Presiden dan para pegawai kementerian perlu berada dalam bilik berasingan untuk menyertai mesyuarat menerusi Zoom, kongsi Puan Halimah.

"Ia benar-benar sukar... dan dilakukan dalam persekitaran di mana kita menghormati peranan satu sama lain. Kita faham tentang apa yang perlu dilakukan dan pemerintah juga bertanggungjawab untuk memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi semasa krisis meruncing itu," katanya lagi.

"Saya memainkan peranan untuk melindungi rizab dan memastikan permohonan pemerintah munasabah."

Puan Halimah, yang merupakan Presiden kelapan Singapura, akan mengundurkan diri pada 13 September.

Mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pula akan mengangkat sumpah sebagai presiden seterusnya pada keesokan harinya.

MENGHARUNGI COVID-19

Sebagai Presiden Singapura semasa pandemik COVID-19, Puan Halimah berkata salah satu perkara yang sangat dibimbangkan adalah bagaimana Singapura akan mengharungi krisis global yang sangat besar itu.

"Persoalannya adalah sama ada kemudahan kesihatan kita, ekonomi kita, rakyat kita dapat mengharungi dan bangkit daripada... gangguan sangat teruk seperti itu," ujarnya sambil menambah, keadaan yang dihadapi Singapura ketika itu lebih membimbangkan berbanding waktu SARS.

Puan Halimah juga risau tentang bagaimana rizab Singapura akan digunakan untuk menangani situasi tersebut.

"Mengenai rizab negara, saya benar-benar faham, saya hanya boleh mengeluarkan rizab masa lalu dalam keadaan sangat genting," tambahnya.

Apabila mendapat permohonan daripada pemerintah untuk menggunakan rizab demi membantu rakyat mengharungi pandemik, Puan Halimah berkata beliau pertama sekali menilai sama ada keadaan waktu itu sememangnya mencemaskan.

"Ia satu cabaran berganda, di mana krisis kesihatan dan ekonomi berlaku, dan (kami) yakin ada keperluan untuk mengeluarkan rizab masa lampau kerana rizab sedia ada pemerintah waktu itu tidak mencukupi untuk menjalankan program, membina kemudahan, membeli kit-kit ART, menyokong program vaksinasi dan sebagainya," tambah beliau.

Selepas menilai bahawa situasi benar-benar genting, soalan seterusnya adalah berapa banyak rizab masa lampau boleh dikeluarkan.

Masih segar dalam ingatan Puan Halimah waktu beliau perlu mengadakan perbincangan dengan para menteri dan pegawai pemerintah, untuk mengajukan soalan dan mendengar sendiri daripada mereka tentang jumlah wang yang diperlukan.

Proses tersebut katanya, "sangat tegang".

"Apabila anda katakan situasi kesihatan begitu kritikal, apa sebenarnya yang dimaksudkan? (Bagi) hospital, bila anda katakan ia akan berdepan kesukaran, tidakkah anda mempunyai kemudahan tambahan? Apa yang dimaksudkan?" tambah Puan Halimah.

"Jadi sebaik sahaja kita menjawab perkara-perkara itu, kita seterusnya berbincang tentang berapa banyak (rizab) yang mahu dikeluarkan. Dan ini sesuatu yang pemerintah perlu jelaskan, berbilion dolar yang diperlukan akan digunakan untuk tujuan dan program apa?"

"Apabila mereka sudah menjelaskan semua perkara itu, baru kita faham situasinya dengan lebih baik lalu berbincang tentang sama ada kita ingin meluluskan permohonan pemerintah untuk mengeluarkan rizab lalu."

Salah satu pertimbangan Puan Halimah adalah untuk memastikan masih ada baki dalam rizab untuk menyokong generasi masa hadapan.

"Ia tentunya salah satu pertimbangan... tentang sama ada kita akan mengurangkan modal negara apabila meluluskan perbelanjaan rizab," tambahnya.

"Namun keadaan waktu itu sudah kritikal dan rizab disimpan bukan hanya untuk masa depan tetapi juga untuk menyokong rakyat Singapura sedia ada, yang merupakan orang tua generasi masa depan itu."

Misalnya, mereka yang bergelar ibu bapa mungkin hilang pekerjaan, atau pendapatannya berkurangan kerana syarikat-syarikat tidak dapat terus membayar gaji penuh mereka.

"Seandainya ibu bapa tidak boleh melakukan itu, generasi masa hadapan akan terjejas. Bermakna, mereka tidak boleh menjaga keluarga masing-masing."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita