Perbicaraan SBS Transit: Hakim minta pengesahan bekas pemandu bas
Perbicaraan kes seorang bekas pemandu bas terhadap pengendali pengangkutan SBS Transit dijangka diteruskan pada satu tarikh kelak. Ini selepas hakim mengesahkan dengan plaintif utama pada Isnin (29 Nov) bahawa beliau tidak mahu hakim menarik diri seperti yang diminta oleh bekas peguamnya, M Ravi.

Peguam Lim Tean dan anak guamnya, bekas pemandu bas Chua Qwong Meng (tiga dari kiri). (Gambar: Lim Tean/Facebook)
SINGAPURA: Perbicaraan kes seorang bekas pemandu bas terhadap pengendali pengangkutan SBS Transit dijangka diteruskan pada satu tarikh kelak. Ini selepas hakim mengesahkan dengan plaintif utama pada Isnin (29 Nov) bahawa beliau tidak mahu hakim menarik diri seperti yang diminta oleh bekas peguamnya, M Ravi.
Pada hari pertama perbicaraan minggu lalu, Encik Ravi mendakwa hakim bertindak "berat sebelah" dan memanggil peguam SBS Transit, Davinder Singh seorang "badut".
Encik Ravi kemudian digugurkan daripada perbicaraan kes tersebut, dengan anak guamnya Chua Qwong Meng berkata beliau "malu" dengan sikap peguam itu.
Encik Chua hadir ke mahkamah bersama peguam baru yang dilantiknya, iaitu Lim Tean, pada pagi Isnin. Seramai 12 pemandu bas lain terkait dengan kes terhadap SBS Transit.
Encik Lim, yang dikatakan mengambil alih kes itu secara percuma, memberitahu Hakim Audrey Lim: "Sepanjang minggu lalu, sejak peristiwa dramatik pada Isnin (22 Nov), banyak yang sudah berlaku. Saya dihubungi sekitar hari Rabu dan saya bersetuju untuk mewakili Encik Chua."
Encik Lim berkata beliau diberitahu bahawa hakim mahu mendengar sendiri daripada Encik Chua tentang niatnya berhubung prosiding itu.
Hakim Lim menjelaskan beliau menyuruh Encik Chua hadir ke mahkamah kerana tiada kejelasan sebelum Jumaat berhubung siapa yang akan mengambil alih kesnya.
Berpaling kepada Encik Chua, Hakim Lim berkata beliau mahu mengesahkan jika Encik Chua masih berhasrat untuk membuat permohonan bagi meminta beliau menarik diri daripada kes itu, seperti yang dikatakan Encik Ravi pada Isnin lalu.
Encik Lim berkata: "Saya ingin mengatakan dengan jelas secara rasmi bahawa Encik Chua tidak sesekali berniat untuk memohon agar Yang Arif menarik diri, dan beliau tiada niat sedemikian."
Hakim itu kemudian membangkitkan satu lagi perkara untuk diberikan penjelasan: "Seperkara lagi yang saya mahu Encik Chua sahkan adalah - Encik Ravi mengatakan pada Isnin beliau mahu membebaskan Encik Chua. Saya tidak pasti apakah maksud permohonan itu. Saya hanya mahu memastikan tiada permohonan seumpama itu dibuat."
Encik Lim menekankan anak guamnya berniat untuk meneruskan tindakan guaman. Beliau menegaskan lagi bahawa apa yang dinyatakan oleh Encik Ravi semasa perbicaraan lalu "dilakukan tanpa arahan beliau langsung".
Encik Singh mengesahkan beliau tiada masalah dengan hakim yang mengendalikan perbicaraan tersebut. Encik Singh berkata beliau tidak memfailkan notis tertentu kerana "peristiwa pada Isnin dan ketidakpastian yang menyusul".
Hakim menetapkan semula perkara itu bagi persidangan pra-perbicaraan pada Disember. Perbicaraan akan disambung semula pada satu tarikh kelak.
Encik Chua, yang bekerja untuk SBS Transit dari April 2017 hingga awal 2020, mendakwa SBS Transit melanggar Akta Pekerjaan dengan tidak memberi beliau hari cuti setiap minggu dan bahawa beliau menerima gaji kurang daripada kerja lembur yang dilakukannya.
Encik Chua memulakan samannya terhadap SBS Transit pada September 2019. Walaupun kes itu dikemukakan oleh Encik Chua, 12 lagi pemandu dikaitkan dengannya, dengan Encik Chua mendakwa bahawa kira-kira S$720,000 terlibat dalam dakwaan kesemua 13 saman itu.
Sejak peristiwa Isnin lalu, Persatuan Guaman yang mengawal selia peguam di Singapura, menyatakan ia memantau dengan teliti perkara berkaitan Encik Ravi dan akan mengambil "tindakan yang sewajarnya".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.