Perbicaraan 'ragging' SCDF: Pegawai waran dijel 13 bulan suruh rakan sekerja tolak NSF ke dalam perigi pam
Pegawai waran Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang menyuruh rakan sekerjanya untuk menolak anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) Kok Yuen Chin ke dalam perigi, dijatuhi hukuman penjara 13 bulan pada Rabu (20 Nov).
SINGAPURA: Pegawai waran Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang menyuruh rakan sekerjanya untuk menolak anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) Kok Yuen Chin ke dalam perigi, dijatuhi hukuman penjara 13 bulan pada Rabu (20 Nov).
Pegawai Waran Pertama Mohamed Farid Mohd Saleh, 36 tahun, didapati bersalah kerana menghasut Staf Sarjan Muhammad Nur Fatwa Mahmood untuk melakukan perbuatan cuai itu yang menyebabkan kematian Korporal Kok, 22 tahun.
Pada 31 Okt, Hakim Daerah Victor Yeo diberitahu bahawa Farid menyuruh Fatwa menolak Korporal Kok Yuen Chin ke dalam perigi pam sedalam 12 meter pada malam 13 Mei tahun lalu, di Balai Bomba Tuas View.
CPL Kok, yang tidak tahu berenang, mati lemas selepas acara bagi meraikan Tempoh Tamat Perkhidmatannya (ORD) menjadi huru-hara.
Menurut keterangan Fatwa, para anggota yang bertugas di Balai Bomba Tuas View ketika itu berkumpul di sekitar upacara "kolam" itu apabila Farid memberitahunya dalam bahasa Melayu: "Wa, tolak dia."
"Wa" merujuk kepada singkatan nama Fatwa.
Bagaimanapun, Farid memberitahu mahkamah bahawa dia tidak berkata demikian kepada Fatwa dan tidak mempunyai alasan bagi CPL Kok ditolak ke dalam perigi.
Semasa Farid dijatuhi hukuman, Hakim Yeo berkata bahawa Farid tidak menampilkan diri sebagai saksi yang boleh dipercayai.
Secara keseluruhan, seramai lima pegawai SCDF didakwa atas pelibatan mereka dalam kematian Kok.
Fatwa sudah menjalani hukuman penjara selama setahun dan empat minggu. Staf Sarjan Adighazali Suhaimi dijel sebulan pada Disember 2018 kerana memadamkan bukti.
Perbicaraan bagi pegawai atasan Farid, Pegawai Waran Kanan Pertama Nazhan Mohamed Nazi dan Leftenan Chong Chee Boon Kenneth, dijadual berlangsung bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.