Skip to main content

Singapura

Perbicaraan Pritam Singh: Saksi terakhir tidak dipanggil beri keterangan; pendakwa & pembela akan bentang hujah bertulis

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan Pritam Singh: Saksi terakhir tidak dipanggil beri keterangan; pendakwa & pembela akan bentang hujah bertulis

Pritam Singh, bersama peguam dan bapanya meninggalkan Mahkamah Negara pada 24 Oktober 2024. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 24 Oct 2024 02:52PM Dikemas Kini : 24 Oct 2024 02:58PM
SINGAPURA: Pihak pendakwa menutup kes terhadap ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh pada hari kesembilan perbicaraan tanpa memanggil saksi terakhir, iaitu seorang pegawai penyiasat, untuk memberi keterangan.

Dalam perbicaraan singkat pada pagi Khamis (24 Okt), kedua-dua pihak menyelesaikan urusan pentadbiran, termasuk garis masa untuk menyerahkan hujah bertulis, sebelum menggulung bahagian pertama perbicaraan.

Encik Pritam, 48 tahun, berdepan dua pertuduhan di bawah Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa) kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) pada 10 Disember dan 15 Disember 2021 apabila disoal siasat tentang pembohongan oleh mantan Anggota Parlimen WP Raeesah Khan di Parlimen.

Cik Raeesah menyampaikan ucapan palsu di Parlimen tentang dirinya menemani seorang mangsa rogol ke balai polis.

Tuduhan ke atas Encik Pritam timbul daripada testimoninya sebelum COP, yang diadakan untuk menyiasat tingkah laku Cik Raeesah, tentang apa yang beliau mahu Cik Raeesah lakukan - iaitu berterus terang atau terus berbohong.

Semasa disoal siasat sebelum COP di bilik perbicaraan awam di Dewan Parlimen, Encik Pritam dituduh membuat keterangan palsu yang:

-Di penghujung pertemuannya dengan Cik Raeesah dan AP WP Cik Sylvia Lim dan Encik Muhammad Faisal Abdul Manap pada 8 Ogos 2021, Encik Pritam mahu Cik Raeesah menjelaskan di Parlimen bahawa apa yang beliau katakan tentang dirinya menemani mangsa rogol ke balai polis adalah tidak benar.

- Apabila Encik Pritam bercakap kepada Cik Raeesah pada 13 Oktober 2021, beliau mahu menyampaikan kepada Cik Raeesah bahawa jika isu itu dibangkitkan di Parlimen keesokan harinya, Cik Raeesah perlu menjelaskan bahawa kenyataan mengenai dirinya menemani mangsa rogol adalah satu pembohongan.

Kertas-kertas pertuduhan masing-masing setebal 17 dan 20 muka surat kerana ia mengandungi petikan-petikan transkrip antara Encik Pritam dengan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, yang menyoal Encik Pritam. Kedua-duanya peguam.

Peguam bela Andre Jumabhoy dan Encik Aristotle Emmanuel Eng merancang untuk memfailkan hujah bertulis bahawa tiada kes untuk dijawab pihak pembela berhubung tuduhan pertama.

Tuduhan itu berkait pertemuan pada 8 Ogos 2021 dengan para pemimpin WP, di mana Cik Raeesah mengaku kepada mereka bahawa beliau berbohong.

Jika berjaya dan hakim menerima hujah pihak pembela, ini bermakna tuduhan pertama akan ditolak dan kes diteruskan dengan tuduhan kedua.

Mahkamah juga mungkin meminda pertuduhan atau mendakwa dengan tuduhan baharu sebelum memanggil Encik Pritam untuk memberi keterangan.

Hakim perlu membuat keputusan sama ada terdapat beberapa bukti yang "sememangnya tidak boleh dipercayai", dan yang memenuhi "setiap elemen" pertuduhan seperti yang dihujahkan oleh pihak pendakwa.

Jika ada, hakim akan memanggil Encik Pritam untuk memberi keterangan dan membuka kes untuk membela Encik Pritam.

Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan meminta pihak pembela memfailkan hujah bertulis mengenai tiada kes untuk dijawab berhubung tuduhan pertama sebelum waktu tengah hari 30 Oktober.

Pihak pendakwa perlu membalasnya menjelang 2 November.

Hakim Tan juga meminta kedua-dua pihak menjelaskan butiran pertuduhan kepadanya, memandangkan perkataan tertentu yang digunakan dalam tuduhan ke atas Encik Pritam seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan tidak ditemui dalam petikan-petikan kenyataan Encik Pritam sebelum COP.

Selepas itu, perbicaraan akan disambung semula pada 5 November, hari pertama bagi pusingan seterusnya.

Hakim dijangka membuat keputusan pada waktu itu, tentang sama ada kes pihak pendakwa cukup kukuh untuk dijawab oleh pihak pembela.

Jika begitu, beliau akan memanggil Encik Pritam untuk memberi keterangan. Jika tidak, kesimpulan negatif boleh dibuat. Encik Pritam belum mengesahkan secara rasmi sama ada beliau akan memberi keterangan, dan peguamnya belum mengesahkan siapa lagi yang mungkin dipanggil sebagai saksi pihak pembela.

Terdapat tujuh hari lagi sebelum perbicaraan pada November bermula.
 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita