Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan Pritam Singh: Bekas penolong Raeesah Khan mengaku bohong, sunting mesej dalam bukti kepada COP

Dalam satu kejutan di perbicaraan kes ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh, Cik Loh Pei Ying iaitu bekas kader dan penolong Cik Raeesah Khan mengaku berbohong.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan Pritam Singh: Bekas penolong Raeesah Khan mengaku bohong, sunting mesej dalam bukti kepada COP

(Dari kiri ke kanan) Loh Pei Ying, Raeesah Khan dan peguam Pritam Singh Andre Jumabhoy di luar Mahkamah Negara pada 17 Oktober 2024. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 17 Oct 2024 07:56PM Dikemas Kini : 17 Oct 2024 08:02PM
SINGAPURA: Dalam satu kejutan di perbicaraan kes ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh, Cik Loh Pei Ying iaitu bekas kader dan penolong Cik Raeesah Khan mengaku berbohong.

Cik Loh bertutur dengan penuh yakin, tenang dan lancar semasa memberi keterangan bagi pihak pendakwaan mengenai kesan akibat pembohongan Cik Khan.

Namun, ketika disoal balas oleh peguam Encik Pritam iaitu Encik Andre Jumabhoy Cik Lohyang rasa tertekan, mengaku telah menyunting mesej yang sepatutnya diserahkan dalam dokumen kepada Jawatankuasa Hak Istimewa (COP).

Menurutnya, ini kerana ia disampaikan oleh seorang anggota parti WP dan temannya, Encik Yudhishthra Nathan, sambil berkata "kita harus teruskan dengan pembohongan itu sahaja".

Namun, Cik Loh memberikan alasan lain sebab mesej itu dipadamkan, yang juga tidak benar.

Cik Loh, yang meninggalkan WP pada November 2022, menjadi saksi pendakwa pada hari keempat perbicaraan terhadap Encik Pritam, yang sejauh ini telah membongkar pelbagai pembohongan.

Encik Pritam mencabar dua tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) mengenai apa yang beliau ingin lakukan selepas mendapati bahawa Cik Raeesah telah berbohong di Parlimen.

Cik Raeesah memberi anekdot palsu di Parlimen pada 3 Ogos 2021 bahawa beliau menemani seorang mangsa rogol ke balai polis, di mana mangsa didakwa ditegur mengenai pakaiannya dan bahawa dia minum alkohol.

Cik Raeesah hanya mengaku telah berbohong pada November 2021 dan sebuah Jawatankuasa Hak Istimewa ditubuhkan bagi menyiasat tingkah lakunya.

Dalam keterangannya, Cik Raeesah mendakwa Encik Pritam telah memberinya nasihat supaya meneruskan dengan pembohongannya bagi satu tempoh masa.

Cik Raeesah didenda S$35,000 dan beliau meletak jawatan sebagai seoranga Anggota Parlimen serta anggota WP.

Encik Pritam didakwa atas kesalahan berbohong di Parlimen.

Sejauh ini, Encik Pritam berkeras mengatakan beliau tidak pernah memberitahu Cik Raeesah supaya teruskan pembohongannya, namun Cik Raeesah dan Cik Loh berkata sebaliknya.

PEMBOHONGAN CIK LOH

Sebelum perbicaraan kes berakhir pada lewat petang Khamis, Encik Jumabhoy menyoal Cik Loh mengenai dokumen yang dia siapkan untuk diserahkan kepada COP.

Dokumen itu mengandungi mesej daripada kumpulan sembang antara Cik Raeesah dengan Encik Nathan, yang merupakan anggota pasukan media WP dan seorang lagi anggota kadre.

Selain daripada pemimpin parti, hanya Cik Loh dan Encik Nathan tahubahawa cerita tentang mangsa rogol adalah tidak benar.

Cik Loh telah menyatakan bahawa dia menyunting mesej tertentu kerana ia berkaitan dengan anggota parlimen lain.

"Itu jelas satu pembohongan, bukan," kata Encik Jumabhoy.

Cik Loh berhenti seketika, menundukkan kepalanya dan menjawab: "Benar."

"Dalam COP, anda menyerahkan dokumen dan sengaja menyuntingnya, bukan?" tanya Encik Jumabhoy.

Cik Loh berkali-kali cuba meminta untuk dibenarkan menjelaskan, tetapi tiada kebenaran diberikan.

"Jawab soalan saya," kata Encik Jumabhoy.

"Anda menyerahkan dokumen dan dengan sengaja menyembunyikan komen ini. Dan anda menyembunyikannya atas dasar ia adalah mengenai sesuatu perkara yang lain."

"Saya menyembunyikannya, ya," kata Cik Loh. "Saya menyembunyikannya kerana pada ketika ini saya tahu Encik Nathan berasa kesal kerana membuat cadangan itu."

"Anda menyembunyikannya atas dasar ia adalah mengenai suatu perkara yang lain. Ia satu pembohongan," kata Encik Jumabhoy.

"Ya," Cik Loh mengaku.

"Di peringkat ini ia jelas sekali bukan anda harus berterus terang," kata Encik Jumabhoy. "Encik Nathan mencadangkan bahawa - kita harus meneruskan dengan pembohongan ini lagi, bukan?"

"Itu adalah cadangannya, ya," jawab Cik Loh.

"Dan anda berasa begitu yakin dalam sekitaran paling formal, untuk menyerahkan versi palsu apa yang dikatakan oleh beliau?" soal Encik Jumabhoy.

Cik Loh kemudian berkata beliau tidak menyembunyikan mesej itu untuk melindungi integriti Cik Raeesah, Encik Nathan atau dirinya sendiri.

"Saya bimbang jika dokumen ini didedahkan kepada umum dan saya tidak mahu dia diserang atas kata-katanya itu, tetapi seluruh perbualan itu telah disahkan oleh seorang kakitangan parlimen kanan dan Cik Rahayu Mahzam yang duduk di sebelah saya dan mengesahkan setiap mesej sebelum ia disunting daripada telefon bimbit saya, mereka bersetuju bahawa ia harus disunting," katanya.

Cik Loh berkata beliau meluangkan masa tiga jam untuk melihat mesej-mesej WhatsApp dengan Cik Rahayu dan seorang lagi anggota kakitangan parlimen sebelum Cik Loh pulang ke rumah dan menyediakan dokumen yang mengandungi mesej-mesej bagi COP.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan