Perbicaraan Pritam Singh atas dakwaan bohong kepada Parlimen bermula 14 Okt
Setiausaha agung Parti Pekerja (WP) itu dijangka mempertikai dua tuduhan berhubung dakwaan berbohong kepada sebuah jawatankuasa Parlimen pada 2021.
(Gambar: CNA/Eugene Goh)
SINGAPURA: Perbicaraan Ketua Pembangkang, Pritam Singh akan bermula di Mahkamah Negara pada Isnin (14 Okt).
Setiausaha agung Parti Pekerja (WP) itu dijangka mempertikai dua tuduhan berhubung dakwaan berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen yang bersidang pada November 2021 untuk meneliti kontroversi pembohongan melibatkan mantan Anggota Parlimen (AP) partinya, Raeesah Khan.
Jawatankuasa itu mendapati Cik Raeesah telah menyalahguna hak istimewa parlimen dan mengusulkan agar mantan AP GRC Sengkang itu didenda S$35,000.
Jawatankuasa itu turut mengusulkan untuk merujuk Pritam dan naib pengerusi WP Faisal Manap kepada pihak pendakwa raya dengan kemungkinan dikenakan tuduhan jenayah.
Encik Singh didakwa pada Mac 19 kerana memberi jawapan palsu kepada Jawatankuasa Hak-hak Istimewa Parlimen pada 10 dan 15 Disember 2021, yang menyiasat kes pembohongan Raeesah berhubung ucapannya dalam sidang parlimen pada 3 Ogos 2021.
Encik Singh dikenakan dua pertuduhan di bawah Akta Hak-hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa Parlimen dan mengaku tidak bersalah.
Beliau merupakan orang pertama dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa), atau PPIPA, sejak kemerdekaan negara ini. Encik Faisal pula tidak menghadapi sebarang tuduhan namun diberi nasihat oleh polis untuk membiasakan dirinya dengan kelakuan yang dijangkakan daripada Anggota Parlimen.
Perbicaraan kes Encik Singh di Mahkamah Negara akan dilakukan di hadapan Hakim Daerah, Luke Tan.
Ia akan berlangsung selama dua minggu bulan ini dan akan diteruskan bulan depan pada tarikh yang belum ditetapkan.
Sekiranya didapati bersalah, Encik Singh boleh dikenakan denda sehingga S$7,000 bagi setiap pertuduhan, atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun Pejabat Peguam Negara (AGC) mengatakan pihak pendakwa akan meminta hukuman denda bagi setiap pertuduhan, jika Encik Singh didapati bersalah.
Seseorang Anggota Parlimen boleh hilang kerusi parlimennya jika dikenakan denda sekurang-kurangnya S$10,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.