Perbicaraan Ong Beng Seng untuk mengaku bersalah ditangguh; tunggu laporan perubatan
Perbicaraan mahkamah hartawan hartanah Ong Beng Seng untuk mengaku bersalah dijadualkan semula berikutan persidangan pra-perbicaraan pada Rabu (26 Mac) di mana beliau meminta lebih banyak masa untuk mendapatkan laporan perubatan yang lebih terperinci daripada doktornya.
Ong Beng Seng tiba di Mahkamah Negara, Singapura, pada 4 Oktober 2024. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Ong, yang didiagnosis dengan barah sumsum tulang, pada awalnya dijadualkan untuk mengaku bersalah pada 2 April.
Dia menghadapi tuduhan yang ada kaitan dengan mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran, yang telah sabit kesalahan memperoleh barangan berharga sebagai kakitangan awam dan menghalang proses keadilan.
"Encik Ong telah meminta lebih banyak masa untuk mendapatkan laporan yang lebih terperinci daripada doktor-doktor mengenai keadaan perubatannya, dan pemantauan serta rawatan berterusan yang diperlukan," menurut jurucakapnya.
"Ini akan memastikan semua maklumat yang relevan dapat dibentangkan kepada, dan dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh, pihak pendakwa dan mahkamah."
Perbicaraan seterusnya bagi Encik Ong merupakan persidangan pra-perbicaraan yang ditetapkan pada 25 April.
Encik Ong dikenali sebagai individu yang membawa Formula 1 ke Singapura pada 2008.
Ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di Singapura itu dikenakan dua tuduhan pada Oktober 2024, yang serupa dengan tuduhan yang diakui S Iswaran pada September 2024.
Encik Ong dituduh membantu S Iswaran memperoleh perjalanan ke Doha di mana segala perbelanjaannya dibiayai, pada nilai sekitar S$20,850 pada Disember 2022.
Ini termasuk penerbangan keluar dengan menggunakan pesawat privet Encik Ong dari Singapura ke Doha, penginapan satu malam di Four Seasons Hotel Doha, dan penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura.
Tuduhan kedua mendakwa bahawa Encik Ong menghalang proses keadilan kerana dengan sengaja membantu S Iswaran pada Mei 2023, ketika Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) memulakan siasatannya, dengan membayar S$5,700 kepada Singapore GP bagi tiket penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura.
Encik Ong merupakan pengarah urusan Hotel Properties Limited (HPL), yang sebelum ini menyatakan dalam pengumuman Bursa Singapura (SGX) bahawa Encik Ong akan mengaku bersalah atas tuduhan menghalang proses keadilan, sambil mengakui pertuduhan lain yang akan diambil kira semasa penghakiman.
Menurut HPL ketika itu, Encik Ong "sesuai untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pengarah urusan".
S Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada Oktober tahun lalu dan telah dipindahkan ke tahanan rumah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.