Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan lelaki S'pura didakwa bunuh isteri dimulakan di Britain

Lelaki rakyat Singapura, Fong Soong Hert memberitahu polis beliau "tiba-tiba hilang pertimbangan dan hanya mahu dia diam."

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan lelaki S'pura didakwa bunuh isteri dimulakan di Britain

Pek Ying Ling dibunuh suaminya Fong Soong Hert pada Disember 2021. (Gambar: Facebook/Northumbria Police)

NEWCASTLE, UK: Mahkamah di Britain mendengar bagaimana lelaki rakyat Singapura, yang sedang dibicarakan kerana membunuh isterinya, memberitahu polis dia "tiba-tiba hilang pertimbangan".

Fong Soong Hert, 51, hadir di Mahkamah Newcastle Crown pada Isnin (1 Ogos) selepas mengaku tidak bersalah awal tahun ini. Isterinya Pek Ying Ling disahkan meninggal dunia di County Aparthotel di Newcastle pada 7.32 pagi pada 6 Disember 2021.

Mahkamah diberitahu bahawa pasangan itu, yang sedang bercuti di Britain, dirakam melalui CCTV pulang ke hotel mereka pada awal pagi 6 Disember.

Beberapa jam kemudian, anak lelaki sulung mereka dikejutkan oleh panggilan dari bapanya yang mengatakan: "Saya cederakan ibu anda. Dia sudah tidak ada lagi."

Mahkamah diberitahu bahawa apabila anaknya bertanya apa yang dia maksudkan, Fong menjawab: "Dia sudah meninggal dunia".

Menurut pihak pendakwa, polis tiba di hotel tersebut dan mendapati Pek di atas katil, tanpa sebarang tanda beliau masih hidup. Bedah siasat juga merumuskan kecederaannya selaras dengan beliau ditekup bantal.

Fong kemudian ditangkap. Ketika di balai polis di Newcastle, dia memberitahu polis: "Saya tiba-tiba hilang pertimbangan. Saya hanya mahu dia diam."

PERBICARAAN

Pada sesi perbicaraan, Fong hadir di mahkamah di belakang skrin dengan memakai baju sejuk berwarna kelabu. Dia bercakap bagi mengesahkan nama dan tarikh lahirnya.

Juri berkenaan, yang dianggotai 12 orang, mengangkat sumpah dan memberitahu mereka mesti membuat keputusan berdasarkan bukti yang dibentangkan di mahkamah. Kes itu dijangka berlangsung selama seminggu.

Sambil mewakili pihak pendakwa, Peter Makepeace QC menyatakan pasangan itu datang ke Britain selepas perjalanan ke Dubai dan Eropah.

Semasa berada di Isle of Skye, pulau kecil berhampiran Scotland, Fong terjatuh di tempat yang curam apabila sedang keluar berjalan pada 27 Nov.

Dia dapat berjalan pulang ke hotel mereka, di mana dia dibantu para kakitangan. Mahkamah mendengar ambulans dipanggil dan Fong diberi campuran ubat tahan sakit oleh paramedik sebelum dibawa ke hospital untuk diperiksa.

Dia bermalam di hospital dan dibenarkan pulang keesokan paginya, sebelum meneruskan perjalanan mereka di sekitar Scotland dalam kereta sewa.

Di destinasi seterusnya, Inverness, Fong masih kesakitan daripada insiden itu dan meminta diperiksa sekali lagi di hospital kedua dan dibenarkan pulang.

Pasangan itu meneruskan perjalanan ke Edinburgh untuk bertemu anak lelaki sulung mereka, sebelum melakukan perjalanan bersama ke Newcastle menaiki kereta api.

Pihak pendakwa berkata keluarga itu meluangkan masa bersama-sama, dengan menonton bola sepak dan menikmati pemandangan.

Sepanjang tempoh itu, Fong jatuh beberapa kali dan diperiksa lagi di hospital.

Selepas dibenarkan pulang, pasangan itu pulang ke hotel mereka. Pada 12.17 tengah malam pada 6 Dis, mereka dilihat menerusi rakaman CCTV memasuki bilik mereka. Itulah kali terakhir Pek dilihat masih hidup.

Perbicaraan kes itu diteruskan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan