Perbicaraan kes bunuh anak perempuan 5 tahun: Mangsa kelihatan sangat kurus, kata doktor SGH
Dr Teo Tess Lin memberi keterangan pada Jumaat (22 Sep) pada hari keempat perbicaraan bapa berusia 43 tahun yang dituduh membunuh anak perempuannya yang berusia lima tahun.
Dr Teo menemui kanak-kanak perempuan itu ketika beliau bertugas di jabatan kecemasan tersebut pada 12 Ogos 2017.
Identiti lelaki itu tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti anak-anaknya yang masih hidup.
Sebelum kematiannya, kanak-kanak perempuan itu dipercayai telah dianiaya dan berbogel di dalam tandas bersama saudara lelakinya dan hanya dibenarkan keluar apabila bapa atau ibu tirinya perlu menggunakan tandas.
MANGSA KELIHATAN KURUS DAN TIDAK TERURUS
Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Derek Ee mengenai keadaan tubuh mangsa, Dr Teo berkata apa yang paling beliau ingat ialah bagaimana kanak-kanak itu kelihatan "sangat, sangat kurus" ketika pertama kali melihatnya.
"Pada ketika itu, saya tidak pernah melihat kanak-kanak sekurus itu," kata Dr Teo, "Malah hingga sekarang."
Menurut Dr Teo, beliau dapat melihat beberapa luka di jari kakinya, serta bintik merah pada anggota badannya yang mungkin bermakna proses jangkitan sudah berlaku.
Apabila ditanya sama ada Dr Teo atau pasukannya tahu bahawa kanak-kanak itu sudah mati pada masa mereka mula-mula melihatnya, beliau berkata bahawa maklumat awal yang mereka dapat ialah kanak-kanak itu "tidak bertindak balas" jadi mereka mencuba resusitasi dan intubasi.
Walau bagaimanapun, keputusan telah dibuat untuk menamatkan prosedur tersebut selepas 20 minit. Kanak-kanak itu kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Merujuk kepada laporan perubatan yang telah disiapkan oleh Dr Teo pada 30 Ogos 2017, DPP Ee meminta beliau menjelaskan kecederaan kepala yang diperhatikannya pada kanak-kanak itu.
Kecederaan-kecederaan itu termasuk lebam pada dahi kirinya dan di bahagian belakang kepalanya, perubahan warna gelap di bahagian atas, bahagian luar tempurung kepalanya, dan kudis di bahagian kanan dahinya.
Laporan Dr Teo juga mengatakan bahawa kanak-kanak itu diperhatikan sebagai "cachectic" dan diminta oleh DPP Ee untuk menjelaskannya.
Dr Teo berkata: "Ia biasanya digunakan untuk menggambarkan pesakit yang menghidap barah kerana mereka kehilangan banyak jisim otot sehingga terdapat banyak tisu lembut yang menjejas badannya yang pada asasnya bermakna dia sangat kurus."
Dr Teo adalah salah seorang daripada empat saksi yang dijadual memberi keterangan pada Jumaat, termasuk penganalisis Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Leong Hsiao Tung yang ditanya mengenai laporan toksikologi yang telah disediakannya.
Laporan itu menyatakan bahawa semasa kematian kanak-kanak itu, bahan-bahan daripada ubat antimuntah dan antihistamin dikesan pada kedua-dua sampel darah dan air kencing kanak-kanak itu.
Memandangkan pihak pendakwa sudah meneliti semua saksi yang dikenal pasti untuk bahagian perbicaraan ini, lelaki itu akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada 19 Mac 2024, untuk meneruskan perbicaraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.