Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan kes ajaran sesat bermula; saksi pendakwa kongsi bukti pengalaman hadiri dua kelas dipimpin Mohd Razif Radi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perbicaraan seorang lelaki yang didakwa menyebar ajaran bertentangan dengan syariah Islam termasuk mengaku dirinya sebagai seorang khalifah dan kononnya boleh memanggil roh ‘Mbah’ bermula di mahkamah pada Isnin (24 Jun).

Mohd Razif Radi dibicarakan kerana menyebarkan ajaran yang, antara lain, membolehkan orang Islam melakukan nikah batin dan berjudi.

Rakyat tempatan berusia 66 tahun itu, dikenakan satu pertuduhan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) kerana menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan hukum Islam.

'

Mohd Razif dituduh melakukan kesalahan tersebut antara tahun 2004 hingga 2020.

Ajaran sesat yang didakwa disebarkan Razif dilakukan termasuk:

a. Perjudian dibenarkan,
b. 'Nikah batin' antara lelaki dan wanita boleh dianggap sebagai sah,
c. Mengaku dirinya sebagai Nabi dan boleh menyeru roh 'Mbah' yang dikatakan merupakan Nabi terakhir atau keturunannya

Mohd Razif mendakwa 'Mbah' adalah nabi terakhir atau dari keturunan nabi tersebut.

SEORANG LELAKI HADIR SEBAGAI SAKSI PENDAKWA; KATAKAN PENGIKUT WANITA CIUM TANGAN 'MBAH'

Saksi pertama tampil memberi keterangan di hadapan Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan dan mengakui pernah mengikuti 'kelas' pimpinan Mohd Razif sebanyak dua kali.

Dia tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.

Saksi itu memberitahu mahkamah dia diperkenalkan kepada kelas pimpinan Mohd Razif menerusi isteri dan sepupu isterinya.

Dia mengakui pernah mengikuti 'kelas' pimpinan Razif yang diadakan selepas waktu Maghrib sehingga 10.00 atau 11.00 malam sebanyak dua kali.

Kelas itu diadakan di sebuah rumah di Teck Whye.

Pengikut 'kelas' katanya, tidak melebihi 20 orang dan kebanyakannya adalah wanita.

Mereka akan duduk di dalam satu bulatan dan akan disediakan makanan untuk jamuan selepas kelas.

Dia memberitahu mahkamah, Mohd Razif akan menyeru roh 'Mbah' dan dilihat seperti sedang menurun lalu berbual dalam loghat Indonesia.

Menurutnya, pengikut wanita dalam kelas itu menjadi "terpegun dan mencium tangan" Mohd Razif apabila 'roh Mbah' didakwa telah memasuki tubuhnya.

Dia mula menjadi curiga selepas melihat kejadian sedemikian.

Saksi itu juga berkata 'Mbah' menjanjikan pengikutnya akan masuk ke syurga.

Apabila disoal tentang kegiatan berjudi oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hidayat Amir, saksi itu berkata pengikut Mohd Razif akan berkongsi duit untuk membeli tiket 4D atau TOTO.

Duit kemenangan akan dikongsikan antara mereka.

Namun apabila disoal oleh peguam bela, Encik Simon Tan tentang perkara itu, dia berkata tidak ingat sama ada insiden itu berlaku atau tidak.

Menurut saksi itu lagi, dia tidak lagi mengikuti kelas Mohd Razif selepas sesi kedua kerana Mohd Razif tidak dapat menerima dengan baik soalan yang diajukannya.

Menurut lelaki itu, Mohd Razif yang mengimamkan solat semasa sesi-sesi yang dihadirinya.

Dia bertanya sama ada lelaki lain boleh mencuba mengimamkan solat jemaah, dan mendapat bimbingan Mohd Razif jika ada kesalahan.

Walau bagaimanapun, pertanyaannya itu membuat menjadi Razif marah.

Dia berkata isterinya menasihatkannya untuk berhenti ke kelas itu selepas sesi kedua.

PERMOHONAN UNTUK PERINTAH MAHKAMAH

Sebelum perbicaraan bermula pada pagi Isnin, Encik Hidayat membuat dua permohonan.

Yang pertama, agar nama tiga orang saksi pendakwa untuk memberikan bukti-bukti menerusi pautan kamera serta kesemua saksi pendakwa tidak didedahkan di bawah perintah mahkamah.

Encik Hidayat berkata saksi pendakwa melahirkan "rasa tertekan" perlu memberi keterangan di khalayak ramai kerana keterangan mereka yang "bersifat sensitif", yang akan "melangkaui isu agama dan budaya yang sememangnya sensitif".

Ini termasuk topik-topik seperti nikah batin dan kesannya terhadap keluarga mereka.

Peguam Mohd Razif, Encik Simon Tan juga memfailkan permohonan perintah mahkamah yang serupa untuk saksi peguam bela.

Beliau berkata ia adalah "perkara yang sangat, sangat sensitif" yang "biasanya akan memberi kesan kepada kedudukan mereka dalam masyarakat Islam".

Tambahnya, kebanyakan saksi adalah wanita, yang mungkin mempunyai "rasa gentar dan takut" jika memberi keterangan secara "terbuka di mahkamah" termasuk di hadapan bekas pasangan mereka.

Encik Tan berkata saksi pembelaan "telah dipulaukan dalam masyarakat Islam".

Pihak pendakwaan membantah permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk melindungi identiti saksi pembelaan.

Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan pada mulanya membenarkan permohonan perintah mahkamah untuk saksi-saksi pendakwa dan beberapa bukti didapatkan menerusi pautan kamera.

Encik Shaiffudin menerangkan kepada pihak peguam bela bahawa beliau tidak akan menerima permohonan perintah mahkamah kepada saksi bela tetapi sebaliknya mengatakan bahawa pihak peguam bela boleh membuat permohonan yang bersesuaian pada waktu yang berkaitan.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis menyatakan bahawa mereka memulakan siasatan ke atas kes itu selepas Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) membuat laporan terhadap Mohd Razif pada 24 Ogos 2021.

Jika sabit kesalahan melakukan ajaran yang melanggar hukum Islam, dia boleh dipenjara sehingga 12 bulan, didenda S$2,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan diteruskan pada pagi Selasa (25 Jun).

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan