Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan Iris Koh, doktor dan pembantu dituduh tipu MOH berkait vaksin COVID-19 bermula

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan Iris Koh, doktor dan pembantu dituduh tipu MOH berkait vaksin COVID-19 bermula

(Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 16 Dec 2024 06:14PM Dikemas Kini : 16 Dec 2024 06:16PM
SINGAPURA: Perbicaraan pengasas Healing the Divide Iris Koh, Jipson Quah, seorang doktor yang digantung tugas dan pembantunya Thomas Chua Cheng Soon bermula di Mahkamah Negara pada Isnin (16 Dis).

Ketiga-tiga individu dituduh bersubahat menipu Kementerian Kesihatan (MOH) bahawa pesakit sudah disuntik vaksin COVID-19, Sinopharm, sedangkan mereka tidak menerimanya.

Dakwaan itu berlaku pada 2021 dan 2022, apabila langkah-langkah pembezaan berdasarkan vaksinasi bagi kegiatan-kegiatan seperti makan di kedai makan dan kembali ke pejabat dilaksanakan di Singapura.

Mahkamah Daerah diberitahu butiran lanjut tentang bagaimana skim tersebut beroperasi, termasuk bagaimana Koh didakwa merujuk pesakit kepada Dr Quah, yang berkata dia ditawarkan sehingga S$6,000 untuk memberikan suntikan larutan garam kepada sebuah keluarga, yang dicatat sebagai vaksin COVID-19 .

Koh, 58 tahun, adalah pengasas Healing the Divide, sebuah kumpulan yang menentang vaksin COVID-19.

Dia berdepan 14 tuduhan, di mana pendakwa akan meneruskan tujuh tuduhan bersubahat menipu MOH. Koh diwakili oleh Encik Wee Pan Lee dari Wee, Tay & Lim.

Tujuh pertuduhan yang lain ditolak sedang perbicaraan diteruskan. Ini adalah kerana Koh menghasut anggota Healing the Divide untuk "membanjiri" talian pemerintah dan mengganggu doktor di pusat vaksinasi, menganjurkan perhimpunan awam menentang program imunisasi COVID-19 negara, dan enggan menandatangani dan mengoyakkan salinan kenyataan polisnya.

Bagi Dr Quah, 36, pendakwa meneruskan 17 pertuduhan bersubahat menipu MOH. Dia sudah digantung daripada amalan perubatan oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC) pada Mac 2022, dan diwakili oleh Encik Adrian Wee dari Lighthouse Law.

Chua, pembantu doktor berusia 43 tahun, berdepan tujuh tuduhan bersubahat menipu MOH, dan mewakili dirinya sendiri.

Kes pendakwa adalah Koh akan merujuk orang yang tidak ingin divaksinasi kepada Dr Quah, di mana dia akan mencatat mereka sudah menerima suntikan vaksin COVID-19, meskipun mereka tidak menerimanya.
Sebelum ini, MOH menyatakan bahawa Dr Quah merupakan pemegang lesen atau pengurus Medical Clinic, Mayfair Medical Clinic, Mayfair Medical Clinic (Yishun Chong Pang) dan Ong Clinic & Surgery (Yishun).

Chua, yang bekerja untuk Dr Quah di klinik tersebut, didakwa membantunya untuk berhubung dengan pesakit dan tahu bahawa doktor memberi suntikan larutan garam dan bukan vaksin.

Pendakwa berkata Dr Quah dan Chua mengakui kesalahan tersebut dalam kenyataan polis mereka. Mereka akan berusaha untuk membuktikan kes pendakwa menggunakan 11 kenyataan yang dicatat setiap lelaki.

Pendakwa juga akan memanggil individu lain yang bersubahat atau pesakit lain yang dinamakan dalam tuduhan, yang mendapatkan khidmat dengan Dr Quah di kliniknya, untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Paul Quan.

"RUJUKAN" DARIPADA KOH

Pendakwa berkata bahawa Dr Quah mula berkenalan dengan Koh pada tahun 2021.

Penolong Superintendan Polis Karl Elliott Lim Peng, yang merupakan saksi pertama pendakwa, membentangkan kenyataan kepada mahkamah yang direkodnya daripada Dr Quah pada 21 Januari 2022.

Dalam kenyataan tersebut, Dr Quah berkata Koh menemani seorang pesakit wanita ke salah sebuah kliniknya pada Julai 2021. Dia hanya mengenali Koh daripada apa yang dilaporkan media mengenainya pada masa itu.

Dr Quah berkata pesakit meminta melakukan ujian darah untuk menentukan sama ada dia mempunyai komplikasi akibat vaksin, dan dia melakukannya.

Selepas itu, Koh "berterima kasih" dan ingin tahu sama ada Dr Quah boleh menjalankan ujian darah untuk pesakit lain yang mempunyai gejala serupa. Mereka bertukar nombor dan saling menghubungi antara satu sama lain.

Menurut kenyataan Dr Quah, selepas pemerintah mula memperkenalkan lebih banyak langkah yang dibezakan dengan vaksin, Koh bertanya kepadanya sama ada dia menawarkan vaksin Sinopharm. Apabila Dr Quah mengesahkannya, Koh berkata dia akan merujuk pesakit kepadanya untuk mendapatkan vaksin.

Dalam kenyataan tersebut, Dr Quah mendakwa pemahamannya ialah Koh akan merujuk pesakit kepadanya untuk mendapatkan vaksin Sinopharm.

Pada 2021, seorang pesakit wanita melawat kliniknya dan memperkenalkan dirinya sebagai "rujukan" daripada Koh. Menurut Dr Quah, wanita itu berkata dia ingin mendapatkan vaksin COVID-19, namun takut dengan kesan sampingan, dan "memohon" kepadanya untuk memberikan suntikan alternatif.

Dr Quah juga memberitahu ASP Lim bahawa dari masa ke masa, lebih ramai pesakit datang dan memperkenalkan diri mereka sebagai rujukan dari Koh, dan berkata bahawa mereka takut untuk dapatkan vaksinasi.

Dr Quah berkata dalam kenyataan itu bahawa pada kebanyakan waktu, dia tidak tahu terlebih dahulu sama ada pesakit itu bersubahat dengan Koh, walaupun Koh akan mengirimkan mesej kepadanya dari masa ke semasa terlebih dahulu untuk memberitahu identiti pesakit dan bila mereka akan datang.

Dr Quah berkata bagi semua pesakit yang mendapatkan vaksin Sinopharm, dia akan menyediakan dan melakukannya mengikut prosedur standard.

Namun jika mereka mengenal pasti diri mereka sebagai "rujukan daripada Iris" dan berkata mereka takut mendapatkan vaksin, Dr Quah akan menawarkan suntikan larutan garam dan menganggap mereka sudah menerima vaksin Sinopharm, katanya.

Dr Quah mendakwa bahawa beberapa pesakit datang kepadanya kerana mereka tidak ingin diberhentikan kerja. Manakala yang lain ingin "melepasi" sekatan sosial yang dikenakan ke atas orang yang tidak divaksinasi.

“TANDA BERTERIMA KASIH” BAGI SUNTIKAN GARAM

Dr Quah memberitahu ASP Lim bahawa dia tidak berniat untuk membahayakan sesiapa atau meraih keuntungan melalui suntikan garam, tetapi ingin membantu mereka yang memerlukan.

Menurut kenyataan tersebut, Dr Quah berkata bahawa sebuah keluarga terdiri dari tiga orang menawarkannya S$1,000 hingga S$6,000, untuk suntikan garam yang akan dicatat sebagai vaksinasi COVID-19.

Bagaimanapun, Dr Quah berkata dia mentafsirkan pemberian itu sebagai "tanda berterima kasih" dan bukannya pembayaran.

Dr Quah menambah bahawa dia tidak akan menolak pesakit yang menawarkan bayaran lebih.
Dr Quah juga memberitahu ASP Lim bahawa dia membenarkan Chua menyimpan kira-kira 30 peratus daripada hasil pendapatan itu, kerana dia ingin membantu Chua memperbaiki keadaan kewangannya.

Jika didapati bersalah tidak jujur ​​membuat penyataan palsu, Dr Quah boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan