Skip to main content

Singapura

Perbicaraan Hyflux: Penganalisis India ramal kebergantungan projek Tuaspring pada jualan elektrik

Di tengah-tengah cadangan “beli” daripada para penganalisis selepas Hyflux mengumumkan projek Tuaspring yang memenangi tender PUB bagi sebuah loji nyahgaram, seorang penganalisis India yang kurang dikenali mencadangkan agar para pelabur menjual saham syarikat tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan Hyflux: Penganalisis India ramal kebergantungan projek Tuaspring pada jualan elektrik

(Dari kiri): Pengasas Hyflux, Olivia Lum, peguamnya Peguam Kanan Davinder Singh dan mantan ketua komunikasi korporat Hyflux, Winnifred Heap Ah Lan, di Mahkamah Negera pada 21 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 10 Sep 2025 02:55PM
SINGAPURA: Di tengah-tengah cadangan “beli” daripada para penganalisis selepas Hyflux mengumumkan projek Tuaspring yang memenangi tender PUB bagi sebuah loji nyahgaram, seorang penganalisis India yang kurang dikenali mencadangkan agar para pelabur menjual saham syarikat tersebut.

Beliau membuat kesimpulan bahawa sebahagian besar daripada tenaga elektrik yang dijana loji kuasa baharu dalam projek Tuaspring perlu dijual kepada grid untuk mencapai sasaran keuntungannya.

Perkara itu didedahkan di mahkamah pada Rabu (10 Sep) oleh peguam pengasas Hyflux, Olivia Lum Ooi Lin, ketika menutup sesi soal balas terhadap saksi pendakwaan Winnifred Heap Ah Lan, yang mengetuai komunikasi korporat Hyflux semasa syarikat berkenaan membida tender PUB pada 2010 dan 2011.

Laporan penganalisis India itu dianggap penting kerana ia berpotensi menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya seorang penganalisis sedar akan kepentingan penjualan elektrik terhadap keuntungan projek tersebut.

Lum, 64 tahun, dituduh mengabaikan maklumat berikut sebagai pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Hyflux dalam kenyataan maklumat tawaran kepada para pelabur dan pengumuman kepada Bursa Singapura:
  • Bahawa projek Tuaspring merupakan peluasan Hyflux ke dalam perniagaan baharu melibatkan penjualan elektrik
  • Bahawa hasil daripada penjualan elektrik dijangka membentuk sebahagian besar daripada pendapatan projek
  • Bahawa keuntungan projek Tuaspring bergantung kepada hasil daripada penjualan elektrik yang dijana loji kuasa

Lum dibicarakan bersama mantan ketua pegawai kewangan, Cho Wee Peng, 56 tahun, serta empat lagi mantan pengarah bebas Hyflux.

Kes pendakwaan ialah Hyflux menggambarkan projek Tuaspring terutamanya sebagai sebuah loji nyahgaram ketika mendapatkan dana daripada para pelabur, sedangkan projek itu bergantung kepada penjualan elektrik daripada loji kuasa yang dibina untuk membekalkan tenaga kepada loji nyahgaram.

Hakikat bahawa syarikat itu menceburi perniagaan elektrik buat pertama kali, dengan risiko yang berkaitan, didakwa tidak didedahkan kepada orang awam, dan akhirnya syarikat itu memasuki proses pembubaran selepas menanggung kerugian besar akibat pasaran tenaga yang lemah.

LAPORAN PENGANALISIS

Peguam kanan Davinder Singh pada Rabu bersama Cik Heap meneliti pelbagai laporan penganalisis. Cik Heap sendiri merupakan seorang penganalisis sebelum menyertai Hyflux pada 2009.

Laporan-laporan itu bertarikh 8 Mac 2011, sehari selepas Hyflux mengumumkan kemenangan tender PUB.

Kebanyakan laporan mengesyorkan untuk “beli” saham Hyflux berikutan projek Tuaspring yang dianggarkan bernilai S$890 juta.

Namun, seorang penganalisis daripada firma bernama IIFL mengambil masa sehari untuk mengeluarkan analisis dengan tajuk “Hyflux – SELL”, kata Encik Singh.

Dalam laporan itu, yang dipaparkan di skrin, penganalisis tersebut menulis: “Kami percaya kapasiti loji kuasa tersebut melebihi keperluan loji nyahgaram dan Hyflux perlu melakukan jualan komersial sekurang-kurangnya 65 peratus daripada kapasiti kuasa lebihan bagi mencapai sasaran IRR ekuiti rendah belasan peratus bagi projek tersebut.”

IRR merujuk kepada kadar pulangan dalaman, dan IRR rendah belasan merujuk kepada IRR 10 hingga 14 peratus – dianggap kadar pertumbuhan positif tetapi sederhana yang sering dilihat dalam pelaburan konservatif atau berisiko rendah.

Walaupun penganalisis itu menaikkan harga sasaran Hyflux daripada S$1.60 kepada S$1.79, beliau mengekalkan saranan jualannya, “disebabkan oleh kekurangan kepastian terhadap pesanan masa depan” atau projek-projek masa depan Hyflux.

Laporan itu turut menyatakan anggaran sebanyak 87 peratus kapasiti loji kuasa — atau 358MW daripada 411MW — boleh dijual secara komersial, dan Hyflux perlu menjual sekurang-kurangnya 65 peratus daripada kapasiti lebihan itu ke grid untuk mencapai sasaran keuntungan projek.

Apabila ditanya, Cik Heap berkata penganalisis itu kelihatan bukan daripada kumpulan biasa dan mungkin tidak dijemput untuk menghadiri sesi taklimat penganalisis pada 7 Mac 2011, yang juga merupakan hari pengumuman kemenangan projek berkenaan.

Beliau menambah bahawa syarikat penganalisis itu juga tidak kelihatan seperti sebuah syarikat tempatan.

Encik Singh menunjukkan kepada Cik Heap satu emel yang beliau hantarkan kepada Lum dan Cho sekitar masa pengumuman tersebut, dengan tajuk “Indian analyst”. Dalam emel berkenaan, beliau menulis bahawa penganalisis tersebut “menelefon lagi”.

“Pada asasnya dia membuat kiraan dan membuat kesimpulan bahawa; kita hanya perlukan sekitar 60MW, jadi sebahagian besar perlu dijual ke pasaran komersial. Dia juga merasakan bahawa sukar untuk kita mencapai IRR belasan peratus jika tidak menjual ke grid,” tulis Cik Heap dalam emelnya.

Beliau menambah bahawa penganalisis itu turut ingin tahu bagaimana Hyflux akan “mengiktiraf hasil penjualan tenaga kita”, dan Cik Heap menjelaskan bahawa kedua-dua loji itu diintegrasikan di bawah satu projek dan satu wadah bertujuan khas.

Beliau menambah bahawa beliau turut menekankan kepada penganalisis itu bahawa “tenaga merupakan peluasan daripada strategi air kami dan adalah sangat penting”, justeru “tidak seharusnya dilihat secara berasingan”.

Encik Singh kemudian meneliti bersama Cik Heap laporan-laporan penganalisis lain yang mengesyorkan untuk “beli” saham Hyflux, termasuk laporan daripada DBS Group Research Equity dan Kim Eng.

Satu laporan oleh JP Morgan menyatakan bahawa penjualan kuasa lebihan adalah jauh lebih daripada separuh tenaga yang dijana loji kuasa, menunjukkan bahawa penganalisis tersebut sedar tentang aspek penjanaan kuasa itu.

Selepas Encik Singh menamatkan soal balas beliau terhadap Cik Heap pada lewat pagi, Encik Thong Chee Kun dari Rajah & Tann pula menjalankan soal balas ringkas bagi pihak anak guamnya, Cho.

Encik David Chan dari Shook Lin & Bok, yang mewakili empat lagi pengarah bebas, akan menjalankan soal balasnya pada Rabu petang. Selepas itu, pihak pendakwa akan membuat pemeriksaan semula ringkas terhadap Cik Heap.

Saksi seterusnya ialah daripada PUB. Keterangannya akan diberikan sepenuhnya secara tertutup – secara peribadi – atas sebab keselamatan negara berkaitan harga air.

Jika disabit kesalahan kerana bersetuju dengan kegagalan yang disengajakan Hyflux dalam mendedahkan maklumat berhubung penjualan elektrik kepada bursa sekuriti, Lum boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$250,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan membuat tawaran sekuriti kepada orang ramai dengan mengabaikan maklumat mengenai penjualan elektrik, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$150,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita