Skip to main content

Singapura

Perbicaraan fitnah Bloomberg: Tan See Leng dakwa kenyataan pakar dalam artikel dicadang wartawan

Merujuk kepada mesej WhatsApp antara seorang wartawan Bloomberg dengan seorang pakar hartanah, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata pada Jumaat (10 Apr) bahawa wartawan tersebut mencadangkan satu kenyataan kepada pakar berkenaan yang kemudiannya dimasukkan ke dalam rencana.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan fitnah Bloomberg: Tan See Leng dakwa kenyataan pakar dalam artikel dicadang wartawan

Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng dan wartawan Bloomberg, Low De Wei. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)

SINGAPURA: Merujuk kepada mesej WhatsApp antara seorang wartawan Bloomberg dengan seorang pakar hartanah, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata pada Jumaat (10 Apr) bahawa wartawan tersebut mencadangkan satu kenyataan kepada pakar berkenaan yang kemudiannya dimasukkan ke dalam rencana.

“Saya berasa amat kecewa seorang wartawan boleh menulis dengan cara sedemikian dan bekerja dengan agensi bereputasi seperti Bloomberg, yang selama ini saya hormati,” kata Dr Tan dalam perbicaraan fitnah yang beliau dan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam kemukakan terhadap agensi berita tersebut.

Bloomberg dan wartawannya, Encik Low De Wei, terlibat dalam perbicaraan yang tertumpu kepada rencana yang ditulis Encik Low berhubung Banglo Kelas Baik (GCB) yang turut merujuk kepada urus niaga hartanah melibatkan kedua-dua menteri itu.

Rencana tersebut memetik Encik Alan Cheong, pengarah eksekutif penyelidikan Singapura di Savills Singapore, dalam laporan yang bertajuk “Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy”.

Encik Cheong dipetik sebagai berkata bahawa “masalah ketidaktelusan ialah kesan tanggapan awam adalah jauh lebih buruk daripada masalah sebenar”, dan bahawa “keadaan boleh menjadi tidak terkawal jika tiada elemen semak dan imbang”.

Sebagai maklum balas terhadap dakwaan itu, peguam bela Bloomberg, Peguam Kanan Sreenivasan Narayanan, berkata berdasarkan mesej WhatsApp tersebut, mana-mana individu yang munasabah akan memahami bahawa Encik Low hanya sekadar mengesahkan kenyataan tersebut dengan sumber beliau, “bukan meletakkan kata-kata dalam mulutnya”.

Menjawab perkara tersebut, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata beliau tidak dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh Encik Sreenivasan, sambil menambah bahawa susunan mesej itu “menunjukkan dengan sendirinya”.

Apabila Encik Sreenivasan menegaskan bahawa perkara itu “cukup jelas”, Dr Tan berkata: “Saya tidak tahu. Kerana jelas sekali, wartawan itu mempunyai piawaian yang sangat berbeza apabila bertanya kepada saya.”

Dalam memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan, Dr Tan turut menjelaskan bahawa Encik Low sebelum ini menulis kepada setiausaha akhbarnya untuk mendapatkan komen, dengan menyatakan bahawa beliau merancang untuk melaporkan satu “kisah lebih luas” mengenai urus niaga GCB yang “tidak direkodkan secara terbuka”, termasuk pembelian GCB milik Dr Tan bernilai S$27.3 juta di Brizay Park pada 2023 yang tidak dikaveatkan.

Kaveat ialah dokumen undang-undang yang difailkan dengan Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk merekodkan kepentingan seseorang terhadap sesuatu hartanah. Ia bertujuan melindungi kepentingan pembeli selepas menandatangani pilihan pembelian atau perjanjian jual beli, sekali gus menghalang penjual daripada menjual kepada pihak lain.

“APA YANG PERLU DIULAS?”

Dr Tan berkata beliau “benar-benar tidak tahu apa yang perlu diulas”, sambil menjelaskan bahawa beliau menerima banyak pertanyaan media sebagai seorang menteri.

“Jika saya tahu bahawa laporan lebih luas itu sebenarnya merangkumi semua butiran ini, tentang bagaimana orang cuba menyembunyikan, melindungi dan merahsiakan perkara tersebut, serta kaitannya dengan pengubahan wang haram dan apa yang berlaku di bidang kuasa lain, selain ketiadaan pendedahan mandatori dan serta semak dan imbang, saya tidak akan memandang ringan perkara ini.

“Saya pasti akan mendapatkan nasihat undang-undang dengan segera,” kata beliau.

Dr Tan menambah, emel Encik Low kepada setiausaha akhbarnya “sekadar hanya untuk memenuhi syarat”.

Apabila melihat artikel yang diterbitkan, Dr Tan berkata beliau “sangat terganggu” dan merasakan bahawa ia menggunakan susunan serta pemilihan perenggan yang “sangat halus” tetapi “merosakkan”.

Ketika ditanya peguam Bloomberg, Dr Tan bersetuju bahawa Encik Low secara terbuka menyatakan urus niaganya akan digambarkan sebagai “disembunyikan”.

Namun, beliau, yang merupakan seorang pengamal perubatan veteran, menyifatkannya sebagai “terselindung”, dengan menggunakan analogi rawatan barah kulit untuk menjelaskan pandangannya.

“Jika saya mahu membuang barah kulit, saya tidak hanya melihat pada barah itu sahaja. Saya perlu memahami pendekatan menyeluruh terhadap pesakit tersebut, dan dalam konteks ini, saya tidak fikir orang hanya akan melihat satu ayat yang ringkas dan mengabaikan keseluruhan maksud atau bayangan yang cuba disampaikan oleh rencana berkenaan,” kata beliau.

DAVINDER SINGH SOAL EDITOR BLOOMBERG

Selepas Dr Tan selesai memberi keterangan, Bloomberg memanggil saksi pertamanya, editor eksekutif kanan Bloomberg News, Madeleine Lim.

Dalam soal balas, Peguam Kanan Davinder Singh, yang mewakili kedua-dua menteri, mempersoalkan tindakan editorial Bloomberg, termasuk keputusannya untuk menghapuskan sekatan berbayar terhadap artikel tersebut yang didakwa “memburukkan lagi fitnah”.

Encik Singh menunjukkan satu emel yang dihantar Cik Lim kepada kakitangan Bloomberg sekitar Krismas 2024, di mana beliau meminta rencana itu untuk dibuka kepada umum “agar orang ramai boleh membacanya dan membuat penilaian sendiri”.

Langkah itu diambil selepas Bloomberg menerima arahan daripada pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) untuk memaparkan notis-notis pembetulan pada rencana tersebut.

Dalam afidavitnya, Cik Lim berkata sekatan berbayar itu ditarik bagi mematuhi arahan tersebut.

Ini kerana notis tidak dapat dipaparkan dengan jelas sementara rencana tersebut diletakkan di sebalik sekatan berbayar.

Namun, Encik Singh berhujah bahawa tujuan sebenar tindakan tersebut adalah untuk membolehkan orang ramai membaca laporan tersebut serta kenyataan Bloomberg yang mempertahankannya.

“Saya mencadangkan bahawa berdasarkan dokumen ini, tindakan itu memburukkan lagi fitnah,” kata beliau.

Cik Lim tidak bersetuju.

Encik Singh turut mendakwa langkah itu bertujuan untuk "menunjukkan kepada dunia bahawa Bloomberg" tidak menerima pendirian pemerintah Singapura dan sedang mencabarnya.

“Anda mahu dilihat sebagai menentang pemerintah Singapura,” kata beliau.

Cik Lim sekali lagi tidak bersetuju.

ISU KERAHSIAAN SUMBER?

Encik Singh juga mempersoalkan tindakan Bloomberg yang tidak mengemukakan beberapa emel dalaman yang diminta bagi perbicaraan tersebut, yang hanya diserahkan menyusuli arahan mahkamah.

Cik Lim berkata beliau menganggap emel-emel tersebut tidak relevan bagi kes itu, sambil menjelaskan cara bilik berita Bloomberg berfungsi di mana pelbagai pihak menyumbang idea dan maklumat.

“Akhirnya, kami tidak menulis laporan mengenai pembelian rumah Encik Shanmugam, sebaliknya laporan trend berhubung GCB,” kata beliau.

Cik Lim turut menyebut kerahsiaan sumber sebagai sebab mengapa emel tersebut tidak dikemukakan secara sukarela sebagai bukti oleh Bloomberg.

Encik Singh bagaimanapun berkata emel-emel tersebut boleh disunting sebelum diserahkan.

Salah satu emel yang tidak dikemukakan melibatkan komen bahawa Encik Shanmugam menjual banglonya kepada isteri seorang ahli perniagaan China, yang dirujuk di mahkamah sebagai “Encik X”.

Encik Shanmugam sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau tidak mengetahui pemilik yang menerima manfaat sebenar GCB miliknya di Queen Astrid Park, yang dijual pada harga S$88 juta kepada satu amanah dengan nama Jasmine Villa Settlement, diuruskan oleh UBS Trustees.

Namun, agensi pemerintah mengetahui identiti pembeli tersebut kerana urus niaga itu perlu diisytiharkan, kata beliau sebelum ini.

KENAL PASTI DAN MEMALUKAN?

Dalam satu lagi soalan, Encik Singh bertanya sama ada Bloomberg berniat untuk “mengenal pasti dan memalukan” para individu yang disebut dalam rencana itu, dengan merujuk kepada emel dalaman yang membangkitkan kebimbangan tentang nada laporan tersebut.

Cik Lim menafikan perkara itu.

“Tidak. Kami menulis tentang individu berpendapatan tinggi, itu memang apa yang kami lakukan," kata Cik Lim dalam maklum balasnya. "Kami mahu bersikap adil dan tepat. Memalukan seseorang bukan sesuatu yang kami lakukan."

Emel oleh editor Bloomberg, Stephanie Phang, turut bertanya sama ada pasukan itu “selesa dengan nada” laporan tersebut.

“Adakah kita dilihat berat sebelah terhadap golongan kaya dari China, contohnya?" tulis emel tersebut. "Perlukah kita mendapatkan nasihat peguam untuk memastikan ia tidak menjadi isu jika kita menamakan dan memalukan para individu dalam laporan ini jika pembelian mereka tidak diketahui sebelum ini.”

Encik Singh kemudian bertanya sama ada emel itu tidak relevan kepada kes fitnah tersebut, namun Cik Lim berkata beliau tidak pasti mengapa ia dirangka sedemikian rupa.

“Saya tidak dapat menilai sama ada ia relevan atau tidak, tetapi apa yang boleh saya katakan ialah … ini sebahagian daripada proses penghasilan laporan, yang teliti dalam menguatkuasakan piawaian penyuntingan kami, bagi pengurusan kanan meneliti laporan dan memberi maklum balas,” kata Cik Lim.

Sebagai maklum balas, Encik Davinder Singh menarik perhatian bahawa Cik Lim sebelum ini yakin emel terdahulu berkaitan kerahsiaan sumber adalah tidak relevan kepada kes tersebut.

“Tetapi sekarang apabila saya bertanya tentang kerelevanan, anda berkata anda tidak dapat menilai sama ada ia relevan,” kata Encik Singh.

Perbicaraan akan disambung semula pada Isnin, dengan Encik Sreenivasan Narayanan dijangka menyambung soal balas terhadap Cik Lim. Selepas itu, Encik Low dijangka dipanggil untuk memberi keterangan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita