Perbicaraan COI SingHealth: Kakitangan IHIS disoal tentang tindakan atasi kelemahan
Satu kelemahan keselamatan yang dipercayai dipergunakan dalam serangan siber SingHealth hangat dibicarakan pada hari keenam perbicaraan awam Jawatankuasa Siasatan (COI) hari ini (28 Sep).
SINGAPURA: Satu kelemahan keselamatan yang dipercayai dipergunakan dalam serangan siber SingHealth hangat dibicarakan pada hari keenam perbicaraan awam Jawatankuasa Siasatan (COI) hari ini (28 Sep).
COI menimbulkan soalan tentang tahap kelemahan itu dan meneliti langkah-langkah susulan yang diambil Integrated Health Information Systems atau (IHIS) ke atasnya.
Dalam kenyataan pembukaannya minggu lalu, Peguam Cara Negara Kwek Mean Luck mengenal pasti kelemahan itu sebagai satu faktor yang mungkin menyumbang kepada pencerobohan data besar-besaran.
Kelemahan sofwe pertama kali dikemukakan oleh Encik Zhao Hainan, seorang bekas pekerja IHIS.
Dalam emel kepada salah seorang pembekal khidmat pesaing, Encik Zhao menyatakan bahawa kelemahan itu membolehkan para pengguna untuk mengawal pangkalan data dengan mudah dan ini boleh mengakibatkan kebocoran data perubatan yang serius malah mengancam keselamatan negara.
Emel itu kemudian dikirimkan kepada seorang kakitangan kanan IHIS dan Encik Zhao diberhentikan kerja.
Hari ini (28 Sep), Timbalan Pengarah SingHealth Clarence Kua disoal selama dua jam, tentang mengapa tiada sebarang tindakan lanjut diambil untuk menyiasat kelemahan itu.
Encik Zhao mendakwa dalam kenyataannya kepada jawatankuasa tersebut bahawa beliau sudah menyampaikan maklumat tentang kelemahan sofwe berkenaan kepada Encik Kua.
Namun, penasihat undang-undang IHIS meragui kenyataan Encik Zhao membayangkan beliau mungkin berbohong.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif IHIS Dr Chong Yoke Sin juga memberi keterangan. Beliau menerangkan bahawa beliau percaya kelemahan yang dikatakan Encik Zhao merujuk kepada satu operasi komputer yang dibangunkan IHIS dan bukan sofwe yang baru dibangunkan.
Sebaliknya, beliau menyifatkan Encik Zhao sebagai 'kelemahan' dalam insiden ini kerana mendedahkan maklumat kepada pesaing dan meletakkan IHIS dalam kedudukan yang terancam.
Perbicaraan awam diteruskan minggu depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.