Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan bermula bagi kes saman fitnah Lee Hsien Loong terhadap Leong Sze Hian

Perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong terhadap penulis blog, Leong Sze Hian bermula pada Selasa (6 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan bermula bagi kes saman fitnah Lee Hsien Loong terhadap Leong Sze Hian

Leong Sze Hian dan PM Lee Hsien Loong. (Gambar-gambar: Gaya Chandramohan, Jeremy Long)

Diterbitkan : 06 Oct 2020 11:51AM Dikemas Kini : 06 Oct 2020 01:12PM

SINGAPURA: Perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong terhadap penulis blog, Leong Sze Hian bermula pada Selasa (6 Okt).

Perbicaraan itu dijangka berlansgsung sepanjang minggu ini dan diadili Hakim Aedit Abdullah, dengan Encik Lee diwakili oleh Peguam Kanan Davinder Singh, dan sepasukan peguam lain, manakala ahli politik pembangkang Lim Tean mewakili Encik Leong.

Encik Lee, menyaman Encik Leong pada lewat 2018 berhubung satu catatan awam di Facebook yang dikongsi di lamannya pada 7 Nov 2018, yang mengandungi pautan kepada satu rencana oleh laman web The Coverage.

Rencana itu mendakwa bahawa Encik Lee membantu bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam pengubahan wang yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Para peguam Encik Lee berkata kiriman itu mengandungi dakwaan "palsu dan tidak berasas", yang "amat berunsur fitnah", termasuk dakwaan yang kelihatan menuduh dengan palsu bahawa Encik Lee "bersubahat dalam kegiatan jenayah berkaitan 1MDB".

Encik Leong, 66, berkata pada Disember 2018 bahawa dia mematuhi notis daripada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 10 Nov untuk memadamkan catatan tersebut, sambil menambah bahawa dia "hanya berkongsi" rencana itu tanpa ulasan.

Selepas kes difailkan, peguam Encik Leong kemudian memfailkan tuntutan balas, yang mendakwa bahawa saman fitnah yang dikemukan Encik Lee adalah satu "penyalahgunaan mahkamah". Bagaimanapun tuntutan balas ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dan kemudian oleh Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan mengarahkan Encik Leong untuk membayar kos S$20,000 kepada Perdana Menteri pada September lalu, selepas menekankan bahawa hujah menyalahgunakan mahkamah bukan sebahagian daripada undang-undang Singapura dan seorang plaintif mempunyai hak untuk memilih siapa untuk disaman fitnah.

Encik Lee tiba pada sekitar pukul 9.30 pagi pada Selasa, dalam sut kelabu dan tali leher berwarna hijau. Beliau melambai kepada orang ramai di balai awam apabila beliau memasuki bilik mahkamah. Had 20 orang ditetapkan kerana langkah jarak selamat COVID-19.

Encik Lim dan Encik Leong memberi komen kepada pihak media di luar Mahkamah Agung sebelum masuk pada sekitar pukul 9.45 pagi, dengan Encik Leong berkata bahawa beliau hanya "bercakap benar".

Orang awam telah beratur untuk tiket-tiket ke balai awam seawal pukul 5.30 pagi, dan tiket-tiket diberikan pada pukul 7.00 pagi.

Perbicaraan itu diadakan selepas peguam Encik Leong diberkas pada Jumaat atas dakwaan pecah amanah dan menghendap

Dia dibebaskan pada hari yang sama.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan