Skip to main content

Singapura

Perbicaraan bermula bagi 3 wanita didakwa anjur 'perarakan' ke Istana sokong Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan bermula bagi 3 wanita didakwa anjur 'perarakan' ke Istana sokong Palestin

Dari kiri: Siti Amirah Mohamed Asrori, Annamalai Kokila Parvathi dan Mossamad Sobikun Nahar. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 01 Jul 2025 09:11PM Dikemas Kini : 01 Jul 2025 09:13PM
SINGAPURA: Perbicaraan bagi tiga wanita yang dituduh menganjurkan perarakan pro-Palestin ke Istana tahun lalu bermula pada Selasa (1 Jul), dengan pihak pembelaan menzahirkan niat untuk bergantung kepada insiden serupa yang pernah berlaku sebelum ini tanpa pendakwaan.

Siti Amirah Mohamed Asrori, 30 tahun, Mossammad Sobikun Nahar, 26 tahun, dan Annamalai Kokila Parvathi, 36 tahun, masing-masing didakwa menganjurkan perarakan yang berlaku antara pukul 2.00 petang hingga 3.00 petang pada 2 Februari 2024 di sepanjang pekarangan Istana, iaitu kawasan larangan.

Ketiga-tiga warga Singapura itu hadir dalam satu perbicaraan bersama untuk membela diri terhadap satu pertuduhan di bawah Akta Ketenteraman Awam.

Peguam mereka, Uthayasurian Sidambaram, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak menyedari bahawa menggunakan laluan tersebut untuk menyerahkan surat secara langsung kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) – yang terletak di Istana – adalah dilarang.

Ini berdasarkan kejadian serupa yang lebih kecil beberapa minggu sebelumnya, di mana tiada pendakwaan dibuat, kata beliau.

PEGAWAI PENYIASAT BERI KETERANGAN

Pada 2 Februari 2024, sekumpulan kira-kira 70 orang – menurut maklumat yang diberikan polis sebelum ini – berkumpul di luar Plaza Singapura sebelum bergerak ke Istana.

Niat mereka, menurut pembelaan, adalah untuk menyerahkan surat mengenai isu Palestin kepada PMO, yang mempunyai tempat penghantaran surat di pintu belakang Istana.

Tanpa sebarang ucapan pembukaan, pihak pendakwaan memulakan kes mereka di hadapan Hakim Daerah John Ng dengan memanggil saksi pertama, iaitu pegawai penyiasat Muhammad Faizal.

Pihak pendakwaan kemudian memainkan empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam pergerakan kumpulan itu ketika mereka menuju ke Istana. Rakaman pertama menunjukkan kumpulan itu berkumpul di luar pintu masuk utama Plaza Singapura dari pukul 1.51 tengah hari pada 2 Februari 2024.

Ketiga-tiga wanita itu dilihat berinteraksi dengan ahli kumpulan, dengan Mossamad dan seorang wanita lain dilihat mengeluarkan payung dengan rekaan tembikai dari sebuah kotak. Warna tembikai sama dengan warna bendera Palestin, dan buah itu menjadi simbol perpaduan Palestin. Ahli kumpulan kemudian dilihat berjalan dengan payung yang terbuka.

Apabila disoal oleh pihak pendakwaan, Encik Faizal berkata kawasan di luar Plaza Singapura tempat kumpulan itu berkumpul bukan sebahagian daripada zon larangan. Namun beliau menyatakan bahawa kawasan lain betul-betul di luar Istana, di mana kumpulan itu dilihat bergerak, adalah kawasan larangan. Ini termasuk laluan dan bahu jalan berumput di sepanjang Buyong Road, Cavenagh Road, dan ruang di luar pintu utama Istana, di sepanjang Orchard Road.

HUJAH PEGUAM BELA

Di mahkamah, Encik Uthayasurian menjelaskan bahawa pembelaan akan merujuk kepada kes-kes sebelum ini, di mana surat dihantar ke Istana.

Semasa soal jawab Encik Faizal, peguam bela berusaha untuk mengemukakan bukti berkait lima insiden sedemikian.

Beliau menarik perhatian kepada salah satu insiden, pada 11 Januari 2024, di mana katanya sekumpulan 17 orang menyerahkan surat secara langsung juga berkait isu Palestin kepada PMO. Tiada tindakan diambil terhadap mereka, katanya.

Berdasarkan insiden ini, anak guamnya percaya bahawa menyerahkan surat dalam kumpulan adalah sah, kata Encik Uthayasurian.

Pihak pendakwaan, yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Sunil Nair, membantah bukti yang dikemukakan.

Encik Nair berkata terdapat bukti yang tidak mencukupi mengenai insiden-insiden sebelum ini untuk membuat perbandingan yang bermakna. Beliau menambah bahawa pengetahuan tentang kesalahan terdahulu di mana tindakan tidak diambil tidak boleh menjadi pembelaan untuk melakukan jenayah.

Mempertimbangkan hujah pihak pendakwaan, Hakim Ng menolak permohonan pembelaan untuk mengemukakan bukti tersebut.

Dalam soal jawabnya terhadap Encik Faizal, Encik Uthayasurian juga bertanya kepada pegawai polis itu sama ada terdapat laluan alternatif untuk menyerahkan surat ke pintu belakang Istana tanpa menggunakan zon larangan. Encik Faizal menjawab tiada.

Encik Uthayasurian kemudian bertanya bagaimana Encik Faizal membuat kesimpulan bahawa kumpulan itu merupakan satu perarakan. Beliau menjawab bahawa kumpulan itu bergerak dengan tujuan dan mempunyai elemen-elemen umum yang dapat dilihat oleh orang ramai, seperti payung tembikai. Apabila ditanya sama ada kumpulan itu memaparkan plakad atau melaungkan slogan, Encik Faizal berkata tidak.

Pihak pembelaan kemudian menyatakan kepada Encik Faizal bahawa semua individu yang berjalan di laluan tersebut mempunyai surat untuk diserahkan secara langsung kepada PMO. Pegawai penyiasat Faizal bersetuju.

Encik Uthayasurian bertanya kepadanya sama ada sesiapa yang terlibat dalam kumpulan itu sudah diberi amaran bahawa acara tersebut tidak boleh diteruskan tanpa permit, dan Encik Faizal menjawab bahawa tiada permohonan atau permit dimohon.

Perbicaraan akan disambung semula pada Rabu (1 Jul) dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil lebih ramai saksi. Seseorang yang sabit kesalahan menganjurkan perarakan yang dilarang boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita