Skip to main content

Singapura

Perbicaraan bekas juri Singapore Idol Ken Lim atas kesalahan berkaitan seks pada Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan bekas juri Singapore Idol Ken Lim atas kesalahan berkaitan seks pada Nov

Ken Lim Chih Chiang di luar Mahkamah Negara pada 30 Mac 2023. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 22 Sep 2023 04:57PM
SINGAPURA: Bekas juri Singapore Idol Ken Lim Chih Chiang dijangka akan dibicarakan atas kesalahan-kesalahan menghina atau mencabul kehormatan wanita, yang dilemparkan terhadapnya oleh lima orang mangsa.

Menurut rekod mahkamah, hari pertama perbicaraan lelaki berusia 59 tahun itu adalah pada 17 Nov, dengan tarikh perbicaraan selepas itu ditetapkan pada April dan Mei tahun depan.
Lim berdepan dengan tujuh tuduhan secara keseluruhannya. Dia dituduh mencabul seorang wanita berusia 25 tahun di pejabatnya di Hype Records di Henderson Road pada 23 Nov 2021.

Ini merupakan kesalahan terbaharu yang dikenakan terhadapnya, dengan dakwaan pertama pada Mac tahun ini.

Enam kesalahan lain adalah kerana menghina kehormatan empat lagi wanita di pejabat atau rumahnya antara 1998 dengan 2013.

Antara tuduhan terhadap Lim, dia didakwa memberitahu seorang artis wanita bahawa dia tidak berpengalaman secara seksual dan dia boleh membantunya dalam hal ini.

Dia juga dituduh bertanya kepada dua wanita lain sama ada mereka masih dara dan mengatakan kepada mereka "bagaimana jika saya mengadakan hubungan seks dengan anda sekarang".

Lim dibela para peguam dari WongPartnership, yang terdiri daripada Peguam Kanan Tan Chee Meng, Encik Paul Loy dan Encik Calvin Ong.

Tarikh perbicaraan ditetapkan selepas sidang pra-perbicaraan pada petang Jumaat (22 Sep).

Jika didapati bersalah kerana mencabul kehormatan, dia berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Hukuman itu juga termasuk sebatan rotan, tetapi pesalah berusia 50 tahun dan ke atas tidak boleh dirotan.

Atas setiap tuduhan menghina kehormatan wanita, Lim berdepan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita