Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbezaan tarikh Aidiladha mungkin boleh berlaku di antara negara-negara MABIMS: Muis

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Walaupun terdapat persetujuan di antara negara-negara Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama (MABIMS), perbezaan tarikh-tarikh sambutan perayaan, kemungkinan boleh berlaku.

Demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) semasa satu sesi taklimat bersama media.

"Kalau dari segi dapatan saintifik dan juga berdasarkan pada kriteria yang dipersetuju negara-negara MABIMS adalah tidak mungkin ataupun hampir mustahil anak bulan boleh kelihatan di ufuk barat bagi semua negara MABIMS. Ini berdasarkan pada dapatan dan juga laporan. Tapi boleh sahaja ianya berlaku," kata Timbalan Mufti, Ustaz Mohd Murat Aris.

Negara-negara MABIMS terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Penjelasan itu dibuat menyusuli kekeliruan pada tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri di antara negara-negara MABIMS tahun ini apabila Singapura menjadi satu-satunya negara yang menyambut 1 Syawal sehari lebih lewat berbanding negara-negara anggota lain iaitu pada 3 Mei.

Ustaz Murat menambah, masyarakat tidak perlu berasa 'hairan' dan 'khuatir' sekiranya terdapat perbezaan sekali lagi memandangkan ia bukanlah satu perkara yang luar biasa.

"Bukan sahaja dalam konteks kita di rantau dan zaman in, bahkan ia pernah berlaku dalam zaman sahabat sendiri dan ia juga pernah berlaku di rantau ini terutama sekali dalam zaman-zaman sebelum awal 70-an umpamanya, ialah perkara biasa," tambah Ustaz Murat.

Perbezaan pada awal kalendar Hijrah kerap berlaku di rantau ini iaitu pada 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2021.

Bagaimanapun, untuk Hari Raya Aidiladha akan datang, Ustaz Murat menjangkakan persamaan tarikh sambutan boleh berlaku dalam kalangan negara-negara MABIMS berdasarkan perkiraan hisab dan kriteria Imkanur Rukyah.

Ini berdasarkan tarikh 1 Zulhijjah yang dijangka jatuh bersamaan dengan 1 Julai. 

"Mungkin akan jatuh pada 1 Julai disebabkan berdasarkan kepada kedudukan anak bulan dan juga jarak lengkung antara anak bulan dan matahari ketika matahari terbenam adalah sangat rapat ataupun darjahnya terlalu rendah dan terlalu rapat."

Dari sudut penetapan ini, ada kemungkinan negara-negara MABIMS menyambut Aidiladha pada 10 Julai atau 10 Zulhijjah.

"Kebersamaan itu boleh berlaku dan ini berdasarkan kepada apa yang kita saling faham memahami dimana kita ada tukar-tukar di antara negara-negara dan hal ini sebenarnya berterusan," jelas Ustaz Murat.

Imkanur Rukyah bermaksud kemungkinan melihat anak bulan dan digunakan untuk menganggarkan kedudukan anak bulan.

Ustaz Murat berkata anak bulan dijangka tidak dapat dicerap pada 29 Zulkaedah, maka bulan Zulkaedah mungkin akan dicukupkan kepada 30 hari.

Anggota Jawatankuasa dan pakar falak, Ustaz Dr Firdaus Yahya menjelaskan tidak ada tuntutan agama untuk sesebuah negara mengikut negara lain.

Sebaliknya, masyarakat perlu memberikan kepercayaan kepada pemimpin agama negara yang didiami itu sendiri. 

"Kita perlu menghargai kesatuan lebih daripada perpecahan. Dan Islam menetapkan bahawasanya ketentuan sesebuah negara itu bergantung kepada pemimpinnya (Ulil Amri) nya dan Al-Quran menyuruh kita untuk taat pada Ulil Amri. Maka kita perlu taat pada Ulil Amri tersebut. Bukannya pemimpin negara lain, tetapi pemimpin negara kita sendiri," ujar Ustaz Firdaus.

BOLEH LAKUKAN PUASA ARAFAH MENGIKUT JADUAL JEMAAH HAJI BERWUKUF?

Dalam pada itu, Ustaz Firdaus turut memberi penerangan mengenai amalan puasa Arafah yang selaras dengan ibadah wukuf yang dilakukan jemaah Haji pada 9 Zulhijjah. 

"Katakanlah wukuf di Saudi itu sehari lebih awal daripada 9 Zulhijjah di Singapura dan mereka hendak berpuasa pada hari tersebut. Ia tidak ada masalah untuk dia berpuasa. Kerana di dalam Islam kita ada namakan sebagai puasa Tarwiyah iaitu puasa pada 8 Zulhijjah," kata Ustaz Dr Firdaus.

Pada keesokan harinya, mereka boleh berpuasa dengan niat 9 Zulhijjah di Singapura.

"Tidaklah niat dengan puasa Arafah, tapi niat dengan mengikut kepada tarikh pada kalendar pada negara tersebut," tambahnya.

Ustaz Dr Firdaus turut menggalak masyarakat yang mahu berpuasa daripada 1 sehingga 9 Zulhijjah juga dibolehkan, kerana 'besar pahalanya'.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa