Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbezaan perlu diketepikan demi kepentingan dunia, kata Dr Balakrishnan

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata negara-negara perlu mengetepikan perbezaan dan memberi tumpuan kepada cabaran-cabaran yang dihadapi bersama demi kepentingan dunia.

Berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York Dr Balakrishnan juga memberi amaran bahawa sistem berbilang pihak sejagat sedang diuji dengan hebat.

Beliau menarik perhatian kepada krisis yang berlaku sekarang seperti perang di Ukraine, persaingan antara Amerika Syarikat dengan China, kenaikan inflasi dan perubahan iklim.

Krisis-krisis itu, kata Dr Balakrishnan, memberi kesan terhadap satu sama lain dan menjadikan keadaan lebih buruk.

"Order baru dunia sedang dibentuk dan saat pelaksanaannya adalah yang paling berbahaya. Adakah kita akan mempunyai dunia yang lebih berpecah-belah, kurang makmur dan kurang aman?", kata beliau.

"Atau bolehkah kita memperkukuhkan sistem berbilang pihak dan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk menangani cabaran masa depan, menegakkan dan mengukuhkan sistem antarabangsa berasaskan peraturan dan bersama-sama memanfaatkan peluang yang diwujudkan oleh teknologi baru seperti digital, biologi dan tenaga boleh diperbaharui untuk mencipta era baru yang penuh keamanan dan kemakmuran?" tambah Dr Balakrishnan.

Beliau menambah, "Singapura percaya satu-satunya jalan ke hadapan adalah dengan menegakkan sistem berbilang pihak yang inklusif dan berasaskan peraturan yang menjaminkan keamanan dan kemajuan sejak Perang Dunia II."

Dr Balakrishnan berkata jika negara-negara tidak melindungi sistem berbilang pihak dan undang-undang antarabangsa, maka tiada sebab untuk negara-negara besar mahupun kecil seperti Singapura untuk memberi kerjasama pada landasan yang sama.

Beliau menambah walaupun sistem berdasarkan peraturan bukanlah sempurna, ia adalah pilihan terbaik bagi menangani cabaran-cabaran rentas nasional.

"Realiti geopolitik hari ini menjadikannya lebih sukar untuk menjalin konsensus mengenai rangka kerja sedemikian. Namun seperti yang ditunjukkan oleh pengalaman kami dengan COVID-19, kerjasama berbilang pihak adalah satu-satunya jalan ke hadapan," ujar beliau.

"Pada akhirnya, kita berkongsi planet ini. Walaupun kita berbeza, nasib kita saling terkait dan tiada sesiapa yang selamat sehingga semuanya selamat. Ini berlaku semasa pandemik, perubahan iklim, pemuliharaan lautan dan banyak cabaran lain yang dikongsi bersama."
Sumber : CNA/AI/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan